Thursday, January 28, 2016

2525) HARIAN METRO - 28/1/16 - DAUN BETIK LEBIH BAWA MUDARAT



Daun betik bukan penawar demam denggi, malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut kepada yang mengamalkan pemakanan daun itu.

Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, kebanyakan pesakit demam denggi di negara ini diberikan daun betik kononnya boleh mengubati penyakit terbabit dengan lebih cepat dan berkesan.

Hakikatnya, mereka tidak mengetahui bahawa daun betik tiada khasiat, malah boleh menyebabkan pesakit menghidap pelbagai penyakit lain seterusnya berisiko maut.

“Saya sudah membuat kajian mengenai penggunaan daun betik sebagai penawar demam denggi dan hasilnya tumbuhan itu tidak membantu, malah berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya mempunyai ‘cyanide’ yang berperanan seperti racun.

“Oleh itu, penggunaan daun betik perlu dihentikan serta-merta kerana menjadikan pesakit demam denggi bertambah teruk, malah sistem imunisasi turut terganggu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai perlu menitik berat mengenai pengambilan makanan yang berkhasiat dan memenuhi nutrisi badan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil sebarang makanan yang boleh memudaratkan kesihatan walaupun ia adalah daripada turun temurun kerana kesannya boleh dilihat dalam jangka panjang apabila seseorang sentiasa sakit dan menghidap penyakit kronik,” katanya.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...