Monday, January 4, 2016

2533) UTUSAN MALAYSIA - 4/1/16 - KAJI SEMULA SISTEM SUBSIDI LPG



KUALA LUMPUR 3 Jan. – Kerajaan perlu mengkaji semula sistem yang diguna pakai dalam skim subsidi gas petroleum cecair (LPG) bagi mengelakkan individu-individu tidak bertanggungjawab daripada terus meraih keuntungan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu sensitif dan tidak perlu menunggu lama untuk mengubah sistem sedia ada bagi memastikan negara tidak terus menanggung kerugian.

“Perkara berhubung penyelewengan bahan bersubsidi ini telah banyak diperkatakan sejak dari dulu lagi. Sepatutnya, kerajaan perlu prihatin dan bertanggungjawab bagi memastikan perkara ini tidak berlaku.

“Jangan lambat bertindak dan membiarkan yang bocor terus bocor sementara sindiket mengaut terus keuntungan.

“Mereka perlu memandang serius perkara ini kerana kita tidak mahu kesudahannya rakyat me­rana dan terbeban,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan akibat ketirisan skim LPG bersubsidi, kerajaan kerugian RM800 juta tahun lalu.

Kerugian itu merupakan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan subsidi yang diperuntukkan kerajaan bagi bahan tersebut iaitu RM2 bilion setahun. Perkara ini berlaku berikutan kegiatan penyeludupan dan penyalahgunaan bahan tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, penyelewengan LPG bersubsidi memerlukan pemantauan bagi memastikan mereka yang bersalah dikenakan tindakan.

“Kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu meningkatkan pemantauan dan jika perlu ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan” katanya.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...