Friday, January 8, 2016

2458) UTUSAN MALAYSIA - 8/1/16 - BUKAN SALAH IMIGRESEN INI ISU KELUARGA ZAHNITA


KUALA LUMPUR 7 Jan. – Jabatan Imigresen menafikan dakwaan model dan bekas pelakon, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 30, yang menyalahkan pihaknya kerana mengeluarkan pasport baharu untuk dua orang anaknya tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, pengeluaran pasport baharu oleh pihaknya itu berdasarkan rujukan laporan polis yang dibuat oleh suami Zahnita Dorothy mengenai kehilangan pasport lama semasa proses berpindah rumah.

“Sebenarnya bukan salah Imigresen. Ini isu keluarga yang dibabitkan dengan imigresen. Kita telah menerima laporan polis balai Bukit Jelutong yang dibuat suaminya pada 17 November lalu mengenai kehilangan pasport anak­nya semasa pindah rumah.

“Sehubungan itu, kita juga ada menghantar surat kepada Zahnita Dorothy pada 31 Disember lalu bagi memaklumkan kedudukan sebenar, selain turut menghantar salinannya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sakib bagaimanapun berkata, pihaknya tetap akan menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.
Zahnita Dorothy dalam sidang akhbar bersama PPIM di sini hari ini mempersoalkan tindakan Imigresen yang mengeluarkan pasport baharu untuk dua orang anaknya iaitu Zahrafeena Abd. Zackery, 9, dan Zasharayna Abd. Zackery, 3, sebelum dibawa lari oleh suami ke Phuket, Thailand atas alasan bercuti.

Menurutnya, beliau dan suami, Abd. Zackery Ghouse Abd. Gafoor, 37, yang kini dalam proses penceraian dan menuntut hak penjagaan anak tertekan dengan keadaan itu memandangkan hampir enam ming­gu tidak berjumpa dengan anak selepas diambil secara paksa dari penjagaannya pada 15 November lalu.

“Saya difahamkan mereka telah keluar negara berdasarkan perbualan telefon dengan anak pertama yang mengatakan sedang berada di Thailand pada 2 Disember sebelum pulang ke tanah air pada 9 Disember lalu.

“Walaupun kedua-dua anak saya telah dipulangkan kembali, saya hairan bagaimana suami boleh diberikan pasport baharu sedangkan segala dokumen asal yang sah termasuk surat beranak mereka berdua berada dalam simpanan saya,” katanya yang lebih dikenali sebagai Zahnita Wilson.

Yang hadir sama dalam sidang akhbar itu aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Mazlina Abu Bakar dan Syed Kamarul Zaman Syed Abdullah.

Menurut Zahnita Dorothy, beliau telah merujuk kepada pihak imigresen berkenaan pembaharuan dokumen yang dibuat di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam pada hujung November lalu itu namun kesal kerana tidak diberikan penjelasan yang wajar.

Sehubungan itu, Zahnita Dorothy yang juga Duta Jakel berkata, selepas membuat aduan kepada PPIM pada 29 Disember, beliau membuat laporan polis mengenai isu pengeluaran pasport baharu dua anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 4 Januari lalu.

Sementara itu, Mazlina berkata, pihaknya kesal dengan tindakan tersebut dan meminta pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen menyiasat sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawainya.

“Kita bimbang sekiranya proses pengeluaran pasport baharu untuk seorang kanak-kanak dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul boleh membawa kepada aktiviti yang lebih berbahaya seperti kes pemerdanganan manusia dan sindiket penculikan.” katanya.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...