Tuesday, January 19, 2016

2497) SINAR ONLINE - 19/1/16 - IBU BAPA PERLU BERJIMAT CERMAT BERDEPAN DENGAN KENAIKAN HARGA BARANG


Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata,  salah satu langkah berjimat cermat adalah membawa bekal ke sekolah sekaligus ia dapat mengurangkan pengaliran wang keluar.



NADZIM JOHAN - Ibu bapa disarankan mendidik anak-anak berjimat cermat bagi membolehkan mereka mengurus kewangan ketika berdepan kenaikan harga barangan termasuk makanan dan minuman di kantin sekolah.

“Perkara ini harus dididik sejak anak-anak masih kecil supaya ia dapat dipraktikkan bila mereka berada di bangku sekolah dan juga dewasa kelak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Selain pendidikan ibu bapa di rumah, menurutnya, pihak sekolah juga harus memantau harga makanan dan minuman yang dijual di kantin agar harga dikawal.

“Jika harga makanan dan minuman yang dijual mahal, ia membebankan pelajar miskin khususnya dan sekaligus memaksa mereka mengikat perut.

“Justeru itu, pihak sekolah harus mempunyai rekod pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kewangan serta menubuhkan tabung bagi membantu golongan berkenaan.

“Kita tidak mahu pelajar-pelajar ini terganggu proses pembelajaran mereka hingga memaksa mereka mengikat perut ekoran tiada duit untuk berbelanja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara ini berlaku berikutan agensi pelaksana yang bertanggungjawab dalam mengawal kenaikan harga barangan tidak melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

“Mereka lebih banyak bermesyuarat daripada bertugas dan memantau perkara ini.

“Agensi pelaksana harus bertindak berhubung isu ini, jika ada aduan bertindak segera...jangan sampai ia membebankan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, peranan berhubung isu ini melibatkan semua pihak termasuk kementerian, sekolah, ibu bapa dan juga pelajar.




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...