Wednesday, November 5, 2014

2215) ARKIB BERITA PPIM 28/10/2014 - BERNAMA - Kerajaan Disaran Naikkan Cukai Jalan Kenderaan Mewah


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kerajaan disaran menaikkan kadar cukai jalan bagi kenderaan mewah berbanding menjual harga petrol RON95 kepada golongan berpendapatan tinggi mengikut harga pasaran, dalam usahanya menampung keperluan subsidi rakyat, demikian menurut seorang ahli akademik.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata pengguna seharusnya diberi kebebasan untuk memilih sama ada ingin menggunakan petrol RON95 atau RON97.

"Mungkin ada pengguna berpendapatan rendah ingin menggunakan RON97 kita tidak boleh halang dan mungkin juga pengguna berpendapatan tinggi mahu menggunakan RON95 kerana mengikut kesesuaian kenderaan berkenaan," katanya mengulas ura-ura kerajaan itu.

Khamis lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilapor sebagai berkata harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah berdasarkan harga pasaran mulai Jun tahun hadapan.

Harga RON95 yang disubsidi ketika ini ialah RM2.30 seliter dan harga RON97 adalah RM2.80.

PERTIMBANG LANGKAH

Shazali menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang menetapkan golongan berpendapatan tinggi membayar harga pasaran untuk RON95, merujuk kepada ketiadaan mekanisme yang betul untuk membuat pengiraan pendapatan sebenar pemilik kereta.

"Kos sara hidup telah meningkat dan mereka (dalam semua kumpulan pendapatan) telah mengikat perut mereka...rakyat mengambil pelbagai pendekatan untuk mengurangkan perbelanjaan mereka. Adalah tidak adil untuk membebankan mereka," katanya kepada Bernama.

Justeru untuk bertindak adil dan saksama, beliau mencadangkan supaya kerajaan menaikkan cukai jalan bagi kenderaan mewah untuk mengimbangi subsidi yang diperuntukkan kepada petrol RON95.

"Apa yang saya katakan ialah meningkatkan cukai jalan (untuk kereta mewah) tetapi membiarkan mereka (pemilik) terus menggunakan subsidi petrol RON95," katanya.

PENDAPATAN ISI RUMAH

Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria berkata mengkaji semula penyelarasan mekanisme pemberian subsidi harus dibuat berdasarkan semua peringkat termasuk pendapatan isi rumah.

"Kita tidak mempunyai sebarang mekanisme yang boleh mengukur dan mensyaratkan supaya pengguna menggunakan RON95 bergantung kepada pendapatan mereka.

"Saya rasa ini bergantung kepada tanggungjawab sosial mereka (golongan berpendapatan tinggi) sekiranya mereka ingin membantu golongan pendapatan sederhana mungkin mereka boleh membeli petrol yang tiada subsidi kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan berpendapatan tinggi dan sederhana mempunyai persamaan daripada corak perbelanjaan memandangkan mereka menghadapi tekanan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Kita boleh mengukur daripada segi pendapatan tetapi kita tidak boleh mengukur daripada segi tanggungan contohnya jika individu itu mempunyai pendapatan sekitar RM5,000 dan mempunyai lima orang anak maka corak perbelanjaan mereka berbeza.

"Bagi mereka berpendapatan RM10,000 ke atas dan memakai kereta mewah mungkin anak mereka hanya seorang dua jadi corak perbelanjaan mereka dan gaya hidup mereka berbeza," katanya.

Yang sedemikian, Siti Rahayu berkata jika kerajaan ingin memperkenalkan sistem kad bagi penggunaan membeli petrol bersubdidi, sistem itu hendaklah bukan sahaja mengambil kira pendapatan isi rumah tetapi juga jumlah keseluruhan perbelanjaan.

UBAH MENTALITI

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata beliau menyokong langkah kerajaan untuk hanya membenarkan golongan berpendapatan rendah membeli bahan bakar bersubsidi.

"Adalah adil bagi golongan berpendapatan tinggi membayar RON95 mengikut harga pasaran. Subsidi kerajaan seharusnya disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan," katanya.

Menyarankan para pengguna mengambil langkah penjimatan berkesan dengan merancang perbelanjaan serta mengawal aliran keluar masuk kewangan, beliau berkata mereka juga seharusnya memikirkan usaha untuk menambah sumber pendapatan keluarga dan merancang perjalanan dalam situasi bahan bakar yang meningkat.

-- BERNAMA


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...