Friday, November 21, 2014

2233) ARKIB BERITA PPIM - 14/11/2014 BERNAMA - Caj Rawatan Sebenar Bantu Kurangkan Subsidi, Sekat Kemasukan PATI

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Cadangan kerajaan untuk mengenakan caj rawatan dan perubatan sebenar kepada warga asing yang mendapatkan perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan mampu mengurangkan subsidi perubatan, sekali gus membantu menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin.

Beberapa ahli ekonomi berpendapat langkah kerajaan itu adil kepada rakyat Malaysia, khusus pembayar cukai, untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang lebih cekap di klinik dan hospital kerajaan.

Langkah yang akan dilaksanakan itu dijangka menjimatkan perbelanjaan perubatan negara yang mencecah sehingga RM100 juta setahun. Ketika ini, pesakit warga asing dikenakan RM60 bagi rawatan pesakit luar, pakar dan susulan di hospital kerajaan.

KURANGKAN SUBSIDI

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata cadangan menaikkan kos perkhidmatan itu wajar bagi tujuan memberi keutamaan kepada rakyat di negara ini, sekali gus mengurangkan subsidi yang ditanggung kerajaan.

"Bagus dan memang itulah yang sepatutnya. Jika kita tak buat begitu seolah-olah tiada beza rakyat yang membayar cukai dengan warga asing yang tidak membayar cukai dan tinggal di negara ini.

"Selain dapat mengurangkan subsidi untuk mereka, kita juga tidak perlu memperuntukkan kos bukan-bukan seperti kos perubatan kepada mereka yang bukan rakyat kita," katanya.

Amir Hussin berkata kadar kos perkhidmatan bagi rakyat dan warga asing yang tidak jauh berbeza pada ketika ini turut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat.

"Kita sebagai rakyat Malaysia sama-sama membayar cukai tetapi jika orang lain (warga asing) turut sama menikmatinya, maka tak ada bezanya. Justeru, sudah tiba masanya untuk melaksanakan perkara ini kerana sekarang kita turut mengalami masalah kebanjiran warga asing," katanya.

Pada masa ini, warga asing termasuk pekerja dan penuntut yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan menikmati subsidi perubatan 30 hingga 40 peratus.

ADIL KEPADA PEMBAYAR CUKAI

Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Rohaila Yusof berpendapat ia adalah suatu langkah tepat dan adil, khususnya kepada pembayar cukai.

"Sememangnya kegunaan untuk sosial (termasuk perubatan) datang daripada kutipan hasil kerajaan yang utama iaitu cukai. Dan sudah tentu apabila rakyat membayar cukai, mereka hendak lihat pembangunan dan faedah kebajikan disalurkan kepada mereka.

"Kenapa mereka (warga asing) juga boleh mendapatkan kos rawatan pada harga yang rendah di tempat kita sedangkan kita pula perlu membayar pada harga tinggi apabila ke negara mereka," katanya.

Jemaah Menteri, dalam mesyuarat Kabinet pada Khamis, bersetuju supaya caj rawatan penuh atau 100 peratus bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan dalam tiga fasa mulai Januari tahun depan.

Bagi fasa pertama tahun depan bayaran sedia ada akan naik 30 peratus. Ini diikuti kenaikan 30 peratus lagi pada 2016, dan 40 peratus pada 2017.

SEKAT KEMASUKAN PENDATANG TANPA IZIN

Rohaila berkata langkah itu mungkin menimbulkan rasa kurang senang dan tidak selesa di kalangan warga asing, tetapi ia membantu kerajaan untuk menyekat kemasukan mereka yang masuk secara haram ke Malaysia.

Katanya warga asing yang masuk secara halal ke negara ini boleh mendapat perkhidmatan rawatan dan perubatan di klinik dan hospital kerajaan pada harga berpatutan, termasuk menggunakan kemudahan kesihatan menerusi polisi insurans.

Bagi mereka yang memasuki Malaysia secara haram, adalah tidak adil sekiranya mereka juga mendapat perkhidmatan rawatan pada harga yang rendah apatah lagi percuma, sekali gus membebankan kerajaan untuk menanggung kos perubatan, tegas Rohaila.

Menurut statistik terkini, jumlah pendatang asing di negara ini sudah mencecah 6.7 juta orang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata daripada 6.7 juta itu, hanya 2.1 juta orang yang mempunyai permit sah manakala bakinya 4.6 juta memasuki negara ini secara haram.

UTAMAKAN RAKYAT SENDIRI

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata sewajarnya keutamaan berkaitan kos bayaran perkhidmatan di hospital atau klinik kerajaan diberikan kepada rakyat negara ini.

"Kita tidak menafikan hak warga asing untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan namun kita perlu berbuat sesuatu agar ia tidak membebankan rakyat kita untuk menampung susbsidi kepada mereka," katanya.

Beliau berkata dengan menaikkan bayaran kos perkhidmatan bagi warga asing ia secara tidak langsung mampu menjana ekonomi, sekali gus dapat menyumbang kepada penambahbaikan infrastuktur dan kemudahan di hospital dan klinik kerajaan.

-- BERNAMA


Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1084979

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...