Wednesday, November 5, 2014

2210) SINAR HARIAN 4/11/2014 - Imej Berhala: Sensitif, PPIM Gesa Ambil Tindakan

Dari kiri: Mustafa, Nazim dan Syeikh Abdul Kareem menunjukkan label botol air mineral yang mengandungi gambar berhala dan logo halal.

Tinjauan mendapati label botol mineral jenama berkenaan mengandungi pelbagai imej lokasi tarikan pelancong sempena kempen Visit Malaysia 2014.

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung imej berhala yang digunakan pada label pembalut plastik botol air mineral yang turut tertera logo halal.

Penggunaan gambar berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan kempen Visit Malaysia 2014.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah menyentuh sensitiviti pengguna Islam dan ia perlu diberi perhatian serius kerana produk tersebut dijual secara terbuka di pasaran.

“Perkara ini amat sensitif, kita gesa jualan produk ini digantung atau dibekukan serta-merta sehingga satu keputusan dibuat oleh pihak bertanggungjawab.

“Kami di PPIM menerima aduan daripada dua pengguna yang terkejut dengan penggunaan lambang agama lain di atas label botol mineral yang mempunyai logo halal.

“Kita tidak tahu apakah ini sengaja atau tidak. Namun ia melibatkan akidah umat Islam kerana penggunaan peralatan yang ada lambang-lambang agama lain ini adalah tidak dibenarkan dalam Islam,” katanya pada sidang media, semalam.

Ujarnya, penggunaan lambang agama lain ini juga dikhuatiri mengandungi unsur pemujaan.

“Jika mereka menjualnya tanpa menggunakan logo halal, ia tidak memberi sebarang masalah tetapi apabila ia turut menggunakan logo halal sudah tentu boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat Islam," tegasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, sebagai sebuah syarikat pengeluar air, pihak berkenaan perlu sensitif dengan hal berkenaan.

Katanya, penggunaan imej berhala itu amat tidak wajar dan menunjukkan pihak berkenaan tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Sejauh mana mereka sensitif terhadap agama persekutuan dan menghormati nilai perlembagaan negara. Dengan penggunaan logo halal, ia juga seperti satu penghinaan kerana menyebabkan kekeliruan.

“Menerusi Akta Perihal Dagangan juga tidak membenarkan penggunaan simbol keagamaan yang menyentuh sensitiviti," katanya.

Bagi seorang lagi aktivis PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah, pengguna Islam juga perlu lebih berhati-hati dan berharap kerajaan memandang serius hal ini dengan tidak menggunakan perkhidmatan syarikat yang dimonopoli oleh mereka yang tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini.

“Satu laporan polis akan dibuat esok (hari ini) berhubung perkara ini, dan kita mahu pihak polis siasat kerana ia melibatkan isu sensitif,” katanya.


Tidak menyalahi akta perdagangan

Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNKK, Akhtar Sahari berkata, hasil semakan pihaknya mendapati penggunaan label imej berkenaan tidak menyalahi perihal akta perdagangan.

“Dari penelitian saya, gambar berkenaan adalah salah satu promosi oleh Kementerian Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit mendapati ia dijual seperti biasa.

Daripada penilitian, terdapat sekurang-kurangnya tujuh gambar lokasi pelancongan menarik di Malaysia turut dijadikan label pada pembalut plastik botol air mineral yang dipasarkan.

Manakala, bahagian bawah gambar setiap label berkenaan turut tertera ringkasan maklumat berhubung lokasi pelancongan yang dipamer.

Bagaimanapun ia hanya tertera pada label di botol mineral bersaiz kecil sahaja.

Sementara itu, pengurus sebuah pasar raya yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyedari sejak bila label berkenaan digunakan untuk bekalan air mineral jenama berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebelum ini tiada sebarang label berkaitan 'Visit Malaysia 2014'  tertera pada botol mineral itu.

“Biasanya dapat stok, kita akan terus susun di rak. Tidak pasti sejak bila ada gambar-gambar lokasi pelancongan ini,” katanya.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...