Tuesday, November 18, 2014

2230) METRO AHAD 16/11/2014 - Rayu Peluang Kedua


Kuala Lumpur: Menanti masa menjalani hukuman gantung, tiga banduan yang kian terdesak menghantar ‘surat minta nyawa’ kepada Pertubuhan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam usaha terakhir mereka memujuk mahkamah menyemak semula keputusan asal.

Tiga pucuk surat rayuan, termasuk satu dengan tulisan tangan, dikirimkan tiga banduan akhir di Penjara Kajang yang percaya dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpengaruh itu boleh membantu mereka menyediakan khidmat guaman.

Bagi kedua-dua NGO berkenaan, surat itu sangat unik serta mempunyai nilai sentimental berikutan usaha banduan berkenaan supaya diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan sama seperti orang lain.

Bermula dengan mendengar slot pengguna di sebuah stesen radio, kesempatan itu digunakan mereka untuk meminta bantuan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi SUKAGUAM Datuk Khairul Anwar Rahmat melakukan penelitian semula terhadap kes berkenaan.

Menerusi surat berkenaan yang dihantar melalui pos pada Februari, September dan Oktober lalu, ketiga-tiga mereka berharap ada penelitian semula dilakukan demi mengharapkan peluang kedua bagi mereka.

Khairul Anwar berkata, pihaknya terharu dengan tindakan tiga banduan itu yang sanggup berusaha mengirim surat, termasuk sepucuk bertulisan tangan, supaya memperoleh peluang kedua dalam kehidupan mereka.

“Kami sifatkan surat ini sangat unik kerana mereka sanggup berbuat demikian bagi membolehkan penelitian semula dilaksanakan, sekali gus mungkin memberi sinar baru kepada mereka.

“Sehingga kini, kami meneliti kes ketiga-tiga banduan terbabit dan melihat jika benar seperti didakwa mereka. Penelitian itu perlu dilakukan dengan cermat dan terperinci supaya tidak menyinggung mana-mana pihak, terutama mahkamah,” katanya kepada Metro Ahad ketika ditemui di sini.

Khairul Anwar berkata, surat itu menyatakan secara panjang lebar hasrat serta tujuan mereka mencari NGO yang mungkin dapat membantu mereka dari sudut perundangan.

Sementara itu, Nadzim berkata, surat bertulisan tangan oleh seorang banduan diterima PPIM beberapa bulan lalu yang meminta bantuan pihaknya menghubungi SUKAGUAM bagi mendapatkan khidmat peguam bagi semakan semula kesnya.

Menurutnya, banduan berkenaan terpanggil untuk menghubungi pihaknya selepas mendengar slot kepenggunaan kendalian sebuah stesen radio mengenai khidmat guaman dan penyelesaian isu pengguna.

“Saya sudah teliti surat itu dan panjangkan kepada Khairul. PPIM juga kini memperhalusi kemungkinan untuk merujuk surat berkenaan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Peguam Negara selepas ini,” katanya.

Bagi kedua-dua aktivis itu, mereka senada bahawa kes seperti itu perlu dirujuk kepada pihak berwajib lebih awal, iaitu sebelum hukuman dijatuhkan bagi tujuan semakan dan pembetulan jika ada kesilapan teknikal dalam kertas pendakwaan.

“Kita berharap semuanya berakhir dengan baik kepada keluarga dan sahabat handai mereka. Apapun, kita doakan yang terbaik buat mereka. Jadikanlah iktibar dalam kehidupan kita,” katanya.


KHAIRUL Anwar menunjukkan surat yang diterimanya.




No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...