Wednesday, November 5, 2014

2209) SUARA TV 4/11/2014 - Air Mineral Halal Ada Logo Berhala Hindu



Kuala Lumpur – Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan penggunaan logo ‘Halal’ yang terdapat pada botol air mineral yang turut menggunakan gambar berhala masyarakat India beragama Hindu dalam kempen ‘Visit Malaysia 2014′.
Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan berkata keadaan ini meragukan pengguna Islam dan hal ini merupakan suatu yang serius.
“Hal ini ada kena mengena dengan akidah umat Islam dan kami meminta supaya pasar raya yang menjual produk ini menggantungkan penjualannya secara serta merta,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, penggunaan logo berhala ini dikuatiri adanya unsur-unsur pemujaan melalui air.
“Kami pohon Jabatan Agama Islam (JAKIM) menyiasat secara serius dan ambil tindakan kerana ia melanggar Akta Perihal Dagangan yang melarang menggunakan logo-logo berbentuk keagamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bagaimana cop ‘Halal’ yang dikeluarkan oleh JAKIM turut berada pada pembalut plastik yang turut tertera logo berhala.
“Kalau mereka menjualnya tanpa menggunakan logo ‘Halal’, ia tidak memberi sebarang masalah tetapi apabila ia turut menggunakan logo ‘Halal’ sudah tentu boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat Islam,” katanya.
Ketua Biro Pemantauan Perkhidmatan, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, produk yang tertera logo berhala itu dikilangkan oleh Chuan Sin Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh pengedar tunggal Yee Lee Trading Co. Sdn. Bhd yang turut menjual produk air mineral Spritzer.
“Syarikat ini merupakan pembekal air utama kepada stesen minyak Petronas dan kedai-kedai makan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang kebanyakannya dihadiri pengguna Islam.
“Sebagai sebuah syarikat pengeluar air mereka perlulah sensitif dengan hal ini dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan,” katanya.
Tambah pegawai kerjanya Mohd. Mustaffa Hamzah pula, PPIM berharap agar kerajaan memandang serius hal ini dan di masa akan datang tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat yang dimonopoli oleh mereka yang tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini.
“In Sha Allah esok kami akan membuat laporan polis,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...