Saturday, November 1, 2014

2202) ARKIB BERITA PPIM - 23/10/2014 ANTARAPOST - Sebar Bahan Lucah Perbuatan Tidak Matang, Kata PPIM


SHAH ALAM: Masyarakat khususnya pengguna tegar internet dan laman sesawang negara ini tidak cukup matang sehingga menyalahgunakan kemudahan yang ada, tegas Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan. 
Katanya, kebebasan menggunakan internet jelas menjadi peluang kepada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan perkara yang mengaibkan dengan tujuan menjatuhkan individu tertentu. 
 
"Kebebasan menggunakan internet atau media baru ini nampaknya tidak dihargai atau tidak digunakan dengan bijak.
 
"Sehingga menjadikan kerosakan kepada mereka yang terbabit mahupun yang tidak.
 
"Kita akan menanggung risiko jika kita tidak menggunakan kemudahan ini dengan baik. Mungkin kita juga tidak cukup dewasa untuk menguruskan diri kita dalam kecanggihan teknologi," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. 
 
Sebuah video seks yang memaparkan seorang lelaki mirip pendakwah bebas terkenal tanah air ustaz Azhar Idrus (UAI), tersebar di internet sejak malam tadi.
 
Sudah tentu sebaran video ini menjadi perhatian masyarakat yang memandang kedudukan beliau sebagai pendakwah. 
 
Rakaman video berdurasi 38 saat itu menampilkan seorang lelaki mirip ustaz Azhar dengan seorang wanita.
 
Lantaran itu, pembantu UAI, Zulkifli Wahab menafikan perkara itu dan menyifatkan individu yang menyebarkan video lucah itu mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan golongan ulama di negara ini.
 
Dalam pada itu, Nadzim menegaskan bahawa perkara seperti ini boleh mengundang risiko kerana ia membawa pengaruh negatif kepada generasi muda khususnya yang merupakan pengguna majoriti laman sosial. 
 
"Ini kita lihat sebagai satu perkara yang...boleh membawa kesan negatif," tegasnya. 
 
Justeru, katanya, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memperuntukan undang-undang tegas bagi mengekang pengguna internet yang tidak bertanggungjawab memalsukan fakta dan memanipulasi pihak tertentu. 
 
"Kerajaan perlu memberi amaran atau mengambil tindakan atau boleh menyenaraihitamkan mereka yang dilihat menyalahgunakan kemudahan yang ada," tambahnya. 
 
Jika dilihat laman sosial kini menjadi tumpuan golongan tertentu untuk menyebarkan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya termasuk dengan penyebaran video dan gambar lucah yang tidak sepatutnya menjadi tatapan umum. 


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...