Thursday, January 26, 2023

LUPUS SEMUA KEPENTINGAN MULTINASIONAL SWEDEN - KENYATAAN MEDIA YPNM - 25/01/2023

Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) mengutuk perbuatan membakar al-Quran oleh seorang pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs, Rasmus Paludan di hadapan Kedutaan Turkiye Sabtu lalu. 

Perbuatan itu menunjukkan kebiadapan melampau terhadap kitab suci Al-Quran dan agama Islam.

Selain dari membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia tindakan tersebut bakal mencetus keadaan huru-hara agama yang tidak akan berkesudahan. 

Agama Islam mengajar umatnya menghormati agama dan kepercayaan lain dan ini tidak bermakna umatnya hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh jika agama mereka dihina sebegini rupa. 

Sebagai langkah membidas tindakan ini, YPNM menggesa setiap rakyat khususnya yang beragama Islam melahirkan semangat patriotik mereka dan memberhentikan pembelian mana-mana barangan dan perkhidmatan daripada Sweden.

YPNM juga menggesa agar mana-mana sayap pelaburan kerajaan melupuskan semua saham dan kepentingan dalam syarikat-syarikat multinasional dari Sweden.

Di samping itu, YPNM menggesa agar seluruh umat Islam menilai keadaan mereka sendiri dan memperkukuhkan ukhwah mereka serta membina semula kekuatan melalui ketaqwaan, penguasaan ilmu dan teknologi.

Cuma dengan ini sahaja umat Islam dapat menggerunkan pihak musuh dan tidak mencetuskan provokasi-provokasi sebegini.

PPIM GESA PENGGUNA BOIKOT PRODUK SWEDEN - KENYATAAN MEDIA PPIM - 25/01/2023

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pengguna di negara ini bertindak atas kebiadaban ahli politik Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata tindakan itu harus dipandang oleh umat Islam di Malaysia.

PPIM mengutuk tindakan tersebut dengan mendesak kedutaan Sweden di negara ini membuat penyataan maaf secara terbuka dan kerajaan negara itu mengambil tindakan terhadap Paludan.

"Kebebasan bersuara harus ada hadnya, jika kerajaan Sweden enggan bertindak melalui kedutaannya di sini, kami akan melakukan protes di hadapan bangunan kedutaan sehingga mereka sedar perbuatan itu adalah melampau,” katanya.

Nadzim mengajak pengguna Islam negara ini mula memboikot produk dari negara Sweden bagi 'mengajar' mereka. Antaranya adalah IKEA, H&M, Ericsson dan Electrolux.

PPIM akan mengeluarkan poster produk dari Sweden untuk rujukan pengguna Islam di negara ini.

Saturday, January 21, 2023

AKTIVITI | PROGRAM WACANA PENDIDIKAN KEPENGGUNAAN MAHASISWA SELANGOR - PPIM - 21/01/2023

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi hari ini telah dijemput sebagai ahli panel di Program Wacana Pendidikan Kepenggunaan Mahasiswa Selangor anjuran Universiti Malaya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor & Persatuan Mahasiswa Anak Selangor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Thursday, January 19, 2023

SURAT TERBUKA KEPADA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA - PPIM - 19/01/2023

 

KRISIS TELUR BERBULAN-BULAN, ADAKAH AYAM MALAYSIA SUDAH 'MANDUL'? - PPIM - SAMUDERA.MY - 18/01/2023

 

KUALA LUMPUR, 18 Januari 2023 – Krisis telur yang berlarutan sejak berbulan-bulan meninggalkan sebuah tanggapan adakah ayam di Malaysia sudah ‘mandul’ sehingga tidak mampu lagi untuk bertelur.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, biarpun Kerajaan telah mengimport telur dari luar, namun, harga telur import tersebut lebih mahal biarpun grednya lebih rendah.

“Akhirnya orang masih juga cari telur tempatan tapi itu pun susah nak dapatkan stok.”

“Tertanya-tanya juga, sudah berbulan-bulan kekurangan telur ini adakah ayam-ayam kita sudah ‘mandul’ hingga tidak mampu bertelur,” soal PPIM.

Kata PPIM lagi, sudah bertahun-tahun negara ini mengecapi kemerdekaan namun belum pernah ada masalah kekurangan telur seperti yang berlaku ketika ini yang dilihat bagai tiada kesudahan.

“Jika tidak diselesaikan, tidak mustahil krisis ini akan berlarutan sepanjang tahun ini?” memetik kepada hantaran itu lagi.

Sebelum ini, samudera.my pernah melaporkan bahawa kekurangan telur domestik akan mula berlaku mulai Januari tahun ini di mana ia akan menyusut sehingga 40 peratus.



Artikel oleh: Samudera.my

KRISIS TELUR BERBULAN-BULAN, ADAKAH AYAM MALAYSIA SUDAH 'MANDUL'?

https://www.samudera.my/krisis-telur-berbulan-bulan-adakah-ayam-malaysia-sudah-mandul-ppim/


JADIKAN KANAK-KANAK SEBAGAI MODEL IKLAN VAPE SUATU EKSPLOITASI - PAKAR - MAJORITI - 17/01/2023

 

PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape dilihat semakin membimbangkan apabila penjualannya tumbuh ibarat cendawan dan semakin laris.

Tambahan pula, penjualannya dalam talian tanpa kawalan memudahkan masyarakat tanpa mengira peringkat umur membeli rokok elektronik.

Lebih merisaukan, budaya menghisap vape atau vaping sudah menjadi kelaziman dan norma baharu kepada perokok dan bekas perokok yang sudah meninggalkan rokok tembakau.

Baru-baru ini, iklan kanak-kanak dan remaja bawah umur giat mempromosikan vape di media sosial menjadi tular dan mendapat kecaman orang ramai.

Lebih teruk, ada di kalangan remaja terbabit dilihat memakai tudung, sekali gus seolah-olah mencemarkan agama Islam.

Antara yang meluahkan rasa kecewa adalah seorang pengamal perubatan tempatan, Dr. Arisman Wenge Abd Rahman menerusi laman Facebook peribadinya, Dr. Arisman, MD.

Beliau berkata, perbuatan itu bukanlah satu jenaka, sebaliknya merupakan satu jenayah.

Lantaran itu, beliau meminta menteri dan pemimpin di negara ini supaya memandang perkara tersebut sebagai serius kerana boleh memudaratkan kesihatan mental dan fizikal.

1885377

Fauziah

Turut tampil mengulas tentang perkara itu adalah adalah Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad.

Dr Fauziah menganggap, tindakan menjadikan kanak-kanak atau remaja bawah umur sebagai model vape merupakan perkara tidak wajar dan suatu eksploitasi.

Beliau berkata, ia bukan sahaja memberi imej tidak baik, malah turut memberi kesan kepada ekosistem hidup kanak-kanak tersebut termasuk ibu bapa, sekolah dan sebagainya.

"Kalau di Malaysia, hisap rokok dan vape dalam kalangan kanak-kanak memang salah.

"Tapi kalau kanak-kanak atau remaja itu boleh uruskan segalanya dan tak beri kesan kepada kesihatan mental maka ia akan menjadi okey.

"Namun, memang salah kalau keluarga yang mengeksploitasi kanak-kanak tersebut untuk memberi kebaikan kepada mereka," katanya kepada Majoriti.

file7ngfwqowx7p1bzh2f7f0

Nadzim

Sementara itu, Datuk Nadzim Johan berkata, siaran iklan yang sepatutnya diurus tadbir oleh pemilik media ketika ini dilihat seolah-olah tiada kawalan.

Lantaran itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Malaysia (PPIM) tersebut berharap agar wujudnya garis panduan yang jelas buat peniaga di mana-mana platform, termasuk di media sosial dan media cetak bagi menyiarkan sebarang iklan.

"Ini penting untuk membantu masyarakat mengurus tadbir apa-apa iklan.

"Kita juga berharap agar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menguruskan garis panduan yang jelas tentang iklan yang disiarkan," tambahnya. — Majoriti


Artikel oleh: Majoriti

JADIKAN KANAK-KANAK SEBAGAI MODEL IKLAN VAPE SUATU EKSPLOITASI - PAKAR

https://majoriti.com.my/berita/2023/01/17/jadikan-kanak-kanak-sebagai-model-iklan-vape-suatu-eksploitasi---pakar

AKTIVITI | PROGRAM WACANA MEMBANGUN NEGARA MADANI DAN AMANAT PERDANA MENTERI UNTUK MALAYSIA - PPIM - 19/01/2023

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi hari ini menghadiri  ke Program Wacana Membangun Negara Madani dan Amanat Perdana Menteri Untuk Malaysia anjuran Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Institut Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). 



Tuesday, January 17, 2023

JERAT ALONG MELALUI APLIKASI TELEFON BIMBIT - HARIAN METRO - 16/01/2023

 

Kuala Lumpur: "Tuan mahu beli barang ini, jika mahu sila tekan ya." Begitu bunyi mesej menerusi satu aplikasi yang memperdaya ratusan pengguna apabila data di dalam telefon bimbit mereka 'disedut' bagi tujuan penipuan.

Ia adalah modus operandi ceti haram atau along yang tidak lagi menjerat mangsa secara bersemuka, sebaliknya menerusi pelbagai aplikasi yang dicipta khusus untuk memperdaya orang ramai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan pinjaman menerusi aplikasi itu hampir setiap hari dan sudah membawa isu berkenaan untuk diteliti Bank Negara Malaysia.

Katanya, hanya kerana menekan pautan tertentu, mangsa akan diganggu along yang mengugut mahu menyebarkan gambar serta maklumat peribadi yang ada di dalam telefon mereka.

"Nombor mereka ini digunakan untuk menghantar mesej meminjam wang daripada senarai kenalan.

"Dengan kata lain, telefon mereka sudah dikawal pihak ketiga dan semua aktiviti perbankan dalam talian juga dipantau pihak lain.

"Lebih malang, butiran mereka digunakan untuk mengeluarkan wang sehingga ada yang saya difahamkan, sampai tidak berbaki langsung," katanya ketika menerima kunjungan aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro sebelum ini mengenai lambakan aplikasi yang digunakan untuk memberikan tekanan dan ugutan kepada mangsa termasuk kenalan rapat sehingga ada yang sanggup membunuh diri.

Katanya, dengan aplikasi berkenaan, along dapat mengakses segala data peribadi di dalam peranti mangsa termasuk kamera hadapan, video, gambar, nombor telefon, lokasi dan e-mel yang dijadikan modal untuk mengugut mangsa.

"Segala data berkenaan akan disunting sebelum disebarkan kepada keluarga, majikan dan rakan-rakan untuk tujuan mengaib, memeras dan memalukan mangsa.

"Jika tidak mahu dimalukan, mereka perlu membayar kepada along ini dengan kadar faedah yang sangat tinggi.

"Jadi pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu bertindak segera demi memastikan keselamatan data peribadi dan aktiviti di dunia siber negara kita," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, antara isu lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu termasuklah pembanterasan lambakan along dari Singapura yang mencetuskan kebimbangan kebelakangan ini.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pembabitan ceti haram tempatan yang menjadikan along negara jiran sebagai alasan untuk menakut-nakutkan mangsa.

"Bagaimana along dari luar begitu berani menyerang mangsa di negara kita. Sudah tentu ada maklumat dari dalam tempatan.

"Menerusi kerjasama ini nanti, kita akan melihat beberapa faktor yang mungkin ada kaitan dan akan menyalurkannya kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

JERAT ALONG MELALUI APLIKASI TELEFON BIMBIT

1.2 JUTA WARGA CHINA 'HILANG', JANGAN HAIRAN JUMLAH MENINGKAT KEPADA 2 JUTA 3 TAHUN LAGI - PPIM - SAMUDERA.MY - 16/01/2023

PETALING JAYA,16 Januari 2023 - "Jika isu rakyat China 'hilang' di Malaysia ini tidak dibendung, jangan hairan 3 tahun akan datang jumlah yang 'hilang' dah meningkat jadi 2 juta orang!!” demikian kenyataan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Kenyataan PPIM menerusi hantaran di Facebook rasminya itu merujuk kepada berita yang tular pada tahun lalu apabila lebih 1.2 juta warga China `menghilang' dan tidak keluar dari Malaysia.

"Pernah dikatakan bahawa lebih 1.2 juta warga China 'hilang' di Malaysia. Namun sampai sekarang masih lagi tertanya-tanya di mana kah mereka?"

"Sekarang dah masuk tahun 2023. Tapi khabar berita kehilangan mereka ini masih lagi menjadi tanda tanya,"

"Ada rekod masuk dalam negara, tapi rekod keluar negara pula tak ada. Kenapa pula mereka menghilang ya?" memetik kepada hantaran itu lagi.

Hantaran itu turut mendapat reaksi daripada pengguna Facebook di mana ada antaranya mengatakan,

"Cari lah siapa yg yg benarkan mereka masuk ke Malaysia lama duk Malaysia segala mcm perangai timbul..rohingya pun dh ramai..fikir fikirkan..usah diam kerana rasuah..Allah dan Malaikat perhati..esok di mahsyar Semua jadi saksi segala perbuatan..itulah CCTV SEBENAR..ALLAHUAKBAR"

Satu lagi komen menyebut,

"Habis peluang pekerjaan anak2 bangasa Malaysia diorg dah kaup....kena buat operasi besar2an dan berkala setiap hari serta buat spot check setiap outlet dan rumah..keselamatan rakyat dan negara juga boleh tergugat..."

Tahun lalu, portal berita tempatan melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.


Artikel oleh: Samudera.my

1.2 JUTA WARGA CHINA 'HILANG', JANGAN HAIRAN JUMLAH MENINGKAT KEPADA 2 JUTA 3 TAHUN LAGI - PPIM

https://www.samudera.my/1-2-juta-warga-china-hilang-jangan-hairan-jumlah-meningkat-kepada-2-juta-3-tahun-lagi-ppim/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL