Wednesday, September 7, 2022

AKTIVITI | PERBINCANGAN MENGENAI ISU SEMBELIHAN HALAL DI AUSTRALIA - PPIM - 07/09/2022

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi hari ini mengahadiri perjumpaan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kompleks Islam Putrajaya.

Perjumpaan membincangkan mengenai kenyataan isu sembelihan halal di Australia yang telah dikeluarkan oleh PEKEMAS dan PPIM sebelum ini.

HARTA PUSAKA PERLU DIAGIH KETIKA HIDUP ELAK PEREBUTAN, GAGAL DITUNTUT - GETARAN - 07/09/2022

 

KUALA LUMPUR - Ahli keluarga seharusnya memaklum dan mengagihkan harta pusaka ketika masih hidup bagi mengelakkan tercetus konflik antara waris mereka, termasuk perebutan hak milik.

Menurut pendakwah terkenal, Datuk Daud Che Ngah, tindakan itu juga dapat memastikan kelancaran pengagihan harta, selain tidak menimbulkan keadaan ia sukar atau gagal dituntut.

“Gunakanlah syarikat yang boleh mengatur pemberian harta pusaka sewaktu hidup. Syarikat ini boleh uruskan wasiat, (buat) hebahan masa hidup dan sebagainya.

“Tetapi paling utama adalah urusan menghebahkannya ketika hidup. Apabila hebah ketika hidup, jadi anak-anak tidak boleh berebut kerana mak atau ayah sudah beri awal-awal,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Getaran melaporkan, hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoritinya membabitkan umat Islam, tidak dituntut sejak 65 tahun lalu hingga hari ini.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, justeru semua umat Islam diseru lebih celik dan memahami sepenuhnya ilmu faraid, memandangkan ia sangat penting bagi menguruskan pentadbiran harta pusaka.

Daud berkata, kesukaran atau kegagalan menuntut harta pusaka yang disebabkan masyarakat tidak memahami ilmu faraid itu, menimbulkan pelbagai kesan negatif.

Jelasnya, kesan itu termasuk pertelingkahan antara waris dan pembekuan harta pusaka.

Ditanya punca harta pusaka tidak dituntut, beliau berpendapat, ia disebabkan kecuaian anak-anak yang enggan menyelesaikan pengurusan harta dengan segera, selain kekangan status anak angkat dan anak tidak sah taraf.

“Apabila meninggal dunia, hendak menyelesaikan (pengurusan harta) mengambil masa lama dan belanja sangat tinggi jadi sebab itu saya kata, elok mencari syarikat yang boleh kita letakkan pembahagian harta pusaka itu mengikut kehendak kita ketika hidup.

“Yang paling senang kalau ada anak itu, agih masa hidup siap-siap, sama ada hendak tukar nama atau pemegang amanah. Itu caranya. Maka tidak terjadilah isu tidak dituntut sehingga RM70 bilion terkumpul,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma’amor Osman mencadangkan agar satu sistem merangkumi khidmat kaunseling dan guaman diwujudkan, bagi mengingatkan masyarakat mengenai harta tidak dituntut tersebut.

Tegasnya, kerajaan juga boleh mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kaedah menguruskan harta pusaka tidak dituntut secara sempurna, dari aspek keabsahan perundangan untuk dimasukkan ke dalam Baitulmal serta digunakan bagi tujuan kebajikan.

Ma’amor berkata, perkhidmatan kaunseling diperlukan bagi mendidik individu mengenai pengurusan harta pusaka memandangkan kadang-kadang, segelintir orang tidak tahu menguruskan peninggalan aset itu.

“Saya rasa kalau untuk tiada pembaziran sumber, kerajaan juga perlu melihat kewajaran adanya fatwa untuk membolehkan harta tidak dituntut ini digunakan untuk kemaslahan umum atau ummah.

“Ini semua mesti diuruskan bahagian perundangan,” katanya. - 7 September 2022


Artikel oleh: Getaran

HARTA PUSAKA PERLU DIAGIH KETIKA HIDUP ELAK PEREBUTAN, GAGAL DITUNTUT

https://www.getaran.my/artikel/semasa/30400/harta-pusaka-perlu-diagih-ketika-hidup-elak-perebutan-gagal-dituntut

Tuesday, September 6, 2022

ISU PUSAT SEMBELIH: JAKIM AKAN HANTAR PASUKAN AUDIT KE AUSTRALIA - KOSMO - 01/09/2022

 

BUKIT GANTANG – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menghantar pasukan auditnya ke Australia berhubung isu pusat penyembelihan di negara itu dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan tidak pernah diam atau menutup mata dengan isu pusat penyembelihan di Australia.

“Benda makan ini jadi darah daging kita, tak kan kita nak senyap bab benda halal haram. Kita mesti bertindak. Walaupun kita terima pelbagai desakan supaya kita longgarkan bab halal ini, itu tidak boleh dilakukan kerana kita punya piawaian yang ketat.

“Ini kerana piawaian beginilah menyebabkan orang lain menghormati piawaian halal yang ada pada Jakim,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 keluarga mangsa banjir di Dewan Kampung Air Kuning Changkat Jering di sini hari ini.

Menurut Idris, pihaknya sentiasa peka serta memantau sebarang maklumat terkini berhubung isu tersebut.

“Kita akan keluarkan segala maklumat yang terkini berhubung perkara itu kerana ia melibatkan isu halal haram yang sememangnya sensitif bagi masyarakat Islam di negara kita ini. Perkara ini sememangnya diberi perhatian yang serius dan kita tidak lalai untuk menangani isu terbabit,” katanya.

Bulan lalu, Ketua Pengarah Jakim dalam kenyataannya memaklumkan mereka masih lagi menunggu laporan audit daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melibatkan sembelihan di Australia.

Isu tersebut mendapat desakan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM) serta gabungan badan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan memberikan penjelasan berhubung pendedahan isu daging yang diimport dari pusat penyembelihan di negara itu yang diproses dengan cara tidak halal. – KOSMO! ONLINE


Artikel oleh: Kosmo

ISU PUSAT SEMBELIH: JAKIM AKAN HANTAR PASUKAN AUDIT KE AUSTRALIA

https://www.kosmo.com.my/2022/09/01/isu-pusat-sembelih-jakim-akan-hantar-pasukan-audit-ke-australia/

PPIM, MAPIM LANCAR TABUNG BANTU PAKISTAN - MEDIA VARIASI - 05/09/2022

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan MAPIM melancarkan tabung bagi membantu rakyat negara itu yang sedang berdepan ancaman banjir terburuk dalam tempoh lebih sedekad.

Puluhan juta penduduk terkesan apabila hujan monsun berterusan sejak Jun lalu mengakibatkan banjir yang menenggelami satu per tiga daripada Pakistan.

Bencana itu telah meragut lebih 1,100 nyawa, memusnahkan banyak tanaman dan merosak atau memusnahkan lebih sejuta kediaman.

Nadzim 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyeru orang ramai agar membantu rakyat Pakistan yang kehilangan segala-galanya selepas tragedi banjir besar tersebut.

“Tidak boleh dibayangkan situasi yang dialami mereka, bagaimana mereka mahu bangkit dari ‘kiamat’ dunia berkenaan.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai untuk menyalurkan bantuan di Sumbangan.com kerjasama antara PPIM dan MAPIM,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Pakistan telah melancarkan rayuan bantuan kecemasan mencecah AS$160 juta untuk rakyat negara itu.

Teleton, iaitu siaran khas televisyen bertujuan mengutip derma bagi membantu mangsa banjir anjuran bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, semalam, berjaya mengumpulkan lima bilion rupee (kira-kira AS$22.7 juta) dalam tempoh tiga jam.


Artikel oleh: Media Variasi

PPIM, MAPIM LANCAR TABUNG BANTU PAKISTAN

https://mediavariasi.com/2022/09/ppim-mapim-lancar-tabung-bantu-pakistan/

SUMBANGAN DAN BANTUAN KEMANUSIAAN BUAT PENDUDUK PAKISTAN - MEDIA VARIASI - 05/09/2022

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyeru orang ramai agar membantu rakyat Pakistan yang kehilangan segala-galanya selepas tragedi banjir besar yang menyebabkan kehilangan ribuan nyawa.

Bantuan boleh disumbangkan di Sumbangan.com kerjasama antara PPIM dan MAPIM.

#Toqqi #PPIM #Pakistan


Sumber: Media Variasi

SUMBANGAN DAN BANTUAN KEMANUSIAAN BUAT PENDUDUK PAKISTAN

https://www.youtube.com/watch?v=M47zitli2Z8

Monday, September 5, 2022

PENJAWAT AWAM GRED 48 PATUT NAIK GAJI LEBIH, BUKAN SAMA KGT - AHLI PARLIMEN PKR SETIAWANGSA - THE MERDEKA TIMES - 01/09/2022

 

  • Kerajaan sepatutnya memberikan kenaikan gaji yang lebih bagi penjawat awam gred 48 ke bawah dan bukannya memberi kenaikan gaji tahunan (KGT) sama bagi semua kakitangan awam.
  • Ini kerana majoriti penjawat awam gred 48 ke bawah tergolong dalam kelompok B40 yang lebih terjejas akibat tekanan ekonomi.
  • Ahli Parlimen Setiawangsa dari PKR, Nik Nazmi bin Nik Ahmad berkata saranan memberikan penumpuan kepada golongan yang lebih terjejas itu juga berdasarkan kemampuan dan kedudukan kewangan negara yang terhad.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sepatutnya memberikan kenaikan gaji yang lebih bagi penjawat awam gred 48 ke bawah dan bukannya memberi kenaikan gaji tahunan (KGT) sama bagi semua kakitangan awam di negara ini.

Ini kerana majoriti penjawat awam gred 48 ke bawah tergolong dalam kelompok B40 yang lebih terjejas akibat tekanan ekonomi membabitkan kenaikan kos barangan asas, kenaikan inflasi dan harga minyak.

Ahli Parlimen Setiawangsa dari PKR, Nik Nazmi bin Nik Ahmad berkata saranan memberikan penumpuan kepada golongan yang lebih terjejas itu juga berdasarkan kemampuan dan kedudukan kewangan negara yang terhad.

“Saya tak kata mereka yang gred 48 atau gred 52 hidup senang lenang. Golongan M40 juga terasa sekarang bila harga barang naik. Cuma saya setuju dalam keadaan kewangan negara yang agak terhad, apalah salahnya kalau kita naikkan lebih (gaji) untuk golongan gred 48 ke bawah. 

“Dan kita tangguhkan dahulu untuk kenaikan gaji kakitangan kerajaan untuk gred 48 ke atas,” katanya kepada media selepas kempen tanaman pokok anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) di Kebun Bandar Sungai Bonus, Lorong Gurney di sini semalam. 

Beliau ditanya wartawan mengenai keputusan kerajaan menaikkan bayaran gaji tahunan (KGT) yang membabitkan penjawat awam di semua gred.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos lalu mengumumkan bayaran KGT tambahan khas sebanyak RM100 kepada 1.28 juta penjawat awam gred 11 hingga 56 membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

Nik Nazmi berkata penjawat awam gred 48 ke bawah lebih memerlukan berbanding pegawai gred atasan.

“Kalau dah sampai gred JUSA dan sebagainya. Dia ada simpanan. Mungkin akan pergi ke luar negara bercuti dan sebagainya. Jadi duit itu akan mengalir ke luar atau tidak berputar dalam ekonomi negara. 

“Tapi kalau orang susah, duit dia dapat hampir semua akan dibelanjakan untuk keperluan keluarga dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas usaha kerajaan dalam menurunkan harga barangan, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, lebih banyak tindakan perlu dilakukan kerajaan, khususnya ketika musim perayaan di mana berlakunya peningkatan harga barangan. – The Merdeka Times


Artikel oleh: The Merdeka Times

PENJAWAT AWAM GRED 48 PATUT NAIK GAJI LEBIH, BUKAN SAMA KGT - AHLI PARLIMEN PKR SETIAWANGSA

https://themerdekatimes.com/blog/2022/09/penjawat-awam-gred-48-patut-naik-gaji-lebih-bukan-sama-kgt-ahli-parlimen-pkr-setiawangsa/

F TEAM - DULU BERJUANG DEMI NEGARA, KINI UNTUK KEBAJIKAN AHLI - THE MERDEKA TIMES - 02/09/2022

 

  • Lanjutan siaran The Merdeka Times sebelum ini dengan tajuk, ““F TEAM, wira negara yang dilupakan?”
  • Kini F TEAM terus berjuang menuntut kebajikan ahli-ahlinya.
  • Satu perjumpaan F TEAM dengan Datuk Nadzim Johan – PPIM diadakan pada Khamis.
  • Diketua Mantan Pegawai Turus F TEAM Datuk Abdullah Abdul Hamid.
  • Tujuan pertemuan bagi menaikkan isu kebajikan ahli-ahli F TEAM.
  • Tetapi tidak membelakangkan pucuk pimpinan PDRM cuma berusaha perjuangkan kebajikan ahli F TEAM dengan segala jalan yang ada.

KUALA LUMPUR – Persoalan yang disiarkan The Merdeka Times sebelum ini dalam artikel “F TEAM, wira negara yang dilupakan?”, masih belum terjawab. Kini F TEAM terus berjuang menuntut kebajikan ahli-ahlinya.

F TEAM adalah satu-satunya pasukan elit Cawangan Khas yang ditubuhkan khas bagi menentang dan mengakhiri era keganasan komunis di Malaysia. F TEAM hanyalah sebuah pasukan kecil di mana bilangan keanggotaannya tidak melebihi 50 orang dalam satu-satu masa.

Keahlian pasukan elit F TEAM ini dianggotai bekas tentera, komando 69, Pasukan Polis Hutan (PPH) dan bekas pengganas komunis yang ditangkap dan menyerah diri. Kepakaran setiap ahli dalam F TEAM digembleng untuk mencapai misi utama iaitu menangkap hidup-hidup pengganas komunis dan mendapatkan risikan terkini.

Pada Khamis, pegawai dan anggota F TEAM yang diketuai Pesara Polis ACP Datuk Haji Abdullah Abdul Hamid (Mantan Pegawai Turus F TEAM & Mantan Pegawai Turus E1M), SM/D Haji Mohd Yusof Omar, SI/D Haji Hussein Saion, Konst./D Idros Said dan Sjn./D Haji Iesa Atan mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Ia bagi menjelaskan tentang jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan ahli F TEAM sepanjang penugasan sejak ditubuhkan pada 1971 hingga dibubarkan pada 1995. Sekaligus membincangkan tentang usaha untuk menuntut kebajikan bagi keseluruhan 165 orang ahli  F TEAM.

Ketika ditanya Datuk Nadzim Johan tentang jumlah penangkapan pengganas komunis yang dibuat F TEAM, Datuk Haji Abdullah menjawab, “Seramai 48 orang pengganas komunis telah ditembak mati. Manakala 1,700 orang pengganas termasuk Kumpulan Bawah Tanah Komunis berjaya ditangkap hidup-hidup. Ini suatu kejayaan yang membanggakan dan hebat bagi F TEAM.”

Kemudian Abdullah menjelaskan bahawa kedatangan mereka ke PPIM bukanlah untuk membelakangi pihak PDRM. Tetapi mereka berusaha untuk mendapatkan kebajikan bagi ahli F TEAM dengan segala cara yang termampu.

Mereka juga sedang berusaha untuk memohon kebajikan melalui saluran dalaman PDRM, namun memang perkara tersebut akan memakan masa. Oleh itu mereka memohon kepakaran dan bantuan PPIM bagi menaikkan isu ini agar diberi perhatian sewajarnya oleh pihak atasan kerajaan.

Mengulas hal itu, Nadzim berkata, “F TEAM ini ialah satu aset kerajaan yang bernilai. Takkan lah aset kita nak buang begitu sahaja. Saya yakin pucuk pimpinan kerajaan terutama Perdana Menteri akan melihat hal ini sewajarnya jika isu kebajikan F TEAM kita bangkitkan kepadanya.”

Ketika ditanya masalah dan kesusahan yang dihadapi F TEAM, SM/D Haji Mohd Yusof berkata, “Banyak hal kebajikan tidak diberi perhatian. Contoh kes staff tanpa pencen. Mereka menjadi ahli F TEAM dengan perjawatan tanpa pencen sebab keperluan tugas dan kerahsiaan. Ketika itu memang diperlukan perjawatan sebegitu. Maknanya waktu dia bekerja dengan F TEAM dulu, dia dibayar gaji dan kebajikan seperti ‘Guarantee Letter’ (GL) dia dapat. Tapi bila tamat keje umur 55 tahun, mereka tidak dibayar gaji dan tiada pencen. Mereka ini juga tidak layak mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan hanya kerana tiada kad pesara.”

Tambahnya lagi, “Ada pula kes anggota F TEAM kita cedera di mata sewaktu dalam perkhidmatan. Kemudian matanya menjadi buta. Jadi dia dinasihatkan pencen awal sebab buta dan ada laporan ‘medical board’. Ketika itu pencen dia dapat hanya RM380 sebulan. Dia mempunyai dua orang  anak. Cukupkah dengan RM380 tersebut ?.”

Jadi mereka berharap pihak kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri dan kerajaan negeri serta pucuk pimpinan PDRM melihat kebajikan F TEAM ini dengan lebih serius. Mungkin masing-masing sibuk dengan tugas harian, tapi hargai lah mereka  yang bertarung nyawa membanteras pengganas komunis suatu ketika dulu.

F TEAM memohon diberikan rawatan kesihatan percuma di semua hospital kerajaan untuk semua ahli F TEAM yang masih hidup di usia emas ini. Hanya sekeping ‘kad pesara’ atau sekeping surat pengesahan ‘Guarantee Letter’ (GL) daripada kerajaan membolehkan mereka menerima rawatan percuma di hospital kerajaan.

Ahli F TEAM yang masih hidup ketika ini lebih kurang 115 orang. Dianggarkan seramai 30 orang ahli F TEAM tidak berpencen dan tidak boleh mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

Sjn/D. Haji Iesa berkata, “Jika ahli sukan bertanding di mana-mana dan mendapat pingat emas untuk negara, mudah sahaja mereka menerima hadiah seperti wang saguhati berpuluh ribu ringgit dan mendapat tanah kurniaan kerajaan negeri.”

“Tapi kami yang membanteras komunis dan bergadai nyawa demi negara, tiada yang mendapat kurniaan tanah atau wang saguhati. Cuma Alhamdulillah ada yang mendapat pingat dengan elaun bulanan. Tetapi ada juga yang mendapat pingat ‘besi’ sahaja tanpa apa-apa bayaran elaun bulanan bersama pingat tersebut,” kata Haji Iesa.

Pada akhir perbincangan tersebut, Datuk Nadzim Johan menyatakan akan membawa hal ini ke pihak atasan agar hal-hal kebajikan F TEAM diberi perhatian semua pihak. Cuma diharapkan tiada pihak yang salah faham tentang tujuan baik F TEAM hadir ke PPIM.

Ini adalah bagi memperjuangkan hak kebajikan ahli F TEAM tidak kira bangsa, tidak kira status perjawatan dan sebagainya. Semuanya perlu mendapat kebajikan yang sewajarnya. Namun begitu, bukan niat mereka membelakangi pucuk pimpinan PDRM, cuma mereka berusaha dengan segala jalan yang ada.

Bak kata bidalan, “Umpama menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus. Tepung tidak berselerak.” Begitulah yang diharapkan hasil perbincangan tersebut. Agar matlamat perjuangan menuntut kebajikan F TEAM tercapai. Namun tidak merosakkan hubungan baik antara ahli F TEAM dengan pucuk pimpinan atasan.

Pernah berlangsung satu Majlis Makan Malam ‘Pasukan F Jasamu Dikenang’ di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Jalan Semarak yang diadakan pada 6 Disember 2016, yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor; Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Puzi Harun dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1(M) Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.

Pada majlis itu memang telah dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Noor Rashid Ibrahim tentang hal kebajikan ini. Menurut Noor Rashid, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk mewujudkan insentif khas berbentuk bantuan kewangan, penjagaan kebajikan dan penganugerahan pingat penghargaan kepada 161 (bilangan ahli F TEAM ketika itu) pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang pernah berkhidmat dalam pasukan F sejak ditubuhkan pada 1971.


Artikel oleh: The Merdeka Times

F TEAM - DULU BERJUANG DEMI NEGARA, KINI UNTUK KEBAJIKAN AHLI

https://themerdekatimes.com/blog/2022/09/f-team-dulu-berjuang-demi-negara-kini-untuk-kebajikan-ahli/

USUNG IBU NAIK AMBULANS PERGI PERBAHARUI KAD ATM, "MANA HATI PERUT?" - GETARAN - 03/09/2022

 

KUALA LUMPUR - Seorang wanita lumpuh dan uzur terpaksa diusung menaiki ambulans menuju ke sebuah bank di Gurun, Kedah bagi memperbaharui kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya yang hampir luput.

Langkah itu diambil ahli keluarga wanita terbabit selepas pihak bank didakwa enggan bertolak-ansur mengenai proses pembaharuan kad berkenaan.

Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang dikalangan warganet selepas video dikongsi anak wanita itu yang dikenali sebagai Nur Hatini di aplikasi TikTok, malam kelmarin menjadi tular.

Video memaparkan kisah pilu wanita berkenaan meraih 1.1 juta tontonan, lebih 48,000 tanda suka dan 4,976 komen di aplikasi media sosial itu setakat ini.

Menurut Nur Hatini, kejadian berlaku apabila ibunya yang lumpuh seluruh badan memberitahu kad ATM miliknya akan luput dalam masa terdekat.

Berdasarkan perkongsian tersebut, Nur Hatini berkata, dia cuba menghubungi pihak bank untuk bertanya sekiranya ada prosedur lain bagi membolehkan kad ATM ibunya diperbaharui tanpa kehadiran wanita itu di premis terbabit.

Bagaimanapun dalam video berdurasi 13 saat itu, Nur Hatini memaklumkan, dia diberitahu pihak bank bahawa tiada cara lain melainkan membawa ibunya ke bank bagi memperbaharui kad tersebut.

Katanya, atas sebab itu ahli keluarganya terpaksa menyewa sebuah ambulans St John untuk membawa ibu mereka ke bank terbabit.

Perkongsian tersebut mengundang simpati warganet dengan majoriti mengecam sikap petugas bank terbabit yang tiada belas ihsan terhadap wanita itu.

“Sepatutnya dah (masuk) tahun 2022 ni sudah adalah pemudah cara untuk mereka yang sakit teruk menyelesaikan urusan bank mereka. Kadang pelik juga urusan macam mana pun kena pemilik datang ke bank,” kata Ibrahim Baim.

“Kenapa tak suruh pegawai bank yang sihat walafiat datang ke rumah? Menyusahkan betul. Tahun 2022 dah ni. Cari pengurus bank ini. Kenapa sampai jadi begini?” soal Pandadada.

“Allahu Akbar. Tolong letakkan hati perut dalam servis kamu. Ini adalah ‘wake up call’ untuk yang lain,” kata MrGambitflix.

Berdasarkan komen warganet, rata-rata menyarankan agar pelanggan bank terbabit menutup akaun mereka bagi memberi pengajaran terhadap syarikat perbankan itu.

Sementara itu, video tersebut turut mendapat perhatian Setiausaha Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM), Sukhdave Singh yang menggesa pihak bank agar lebih prihatin terhadap pelanggannya yang uzur.

Sukhdave Singh
Sukhdave Singh

“Pihak bank harus prihatin dalam membantu pelanggan mereka yang uzur. Tiada gunanya melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) dan menghebahkan dalam media apabila pelanggan mereka sendiri diabaikan dengan cara sebegini.

“Mereka sepatutnya boleh meminta bukti daripada ahli keluarga bahawa pelanggan tersebut kurang sihat dan menghantar pegawai mereka untuk menyelesaikan urusan itu,” katanya kepada Getaran.

Malah beliau turut menyeru supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan berkaitan layanan terhadap pelanggan uzur yang perlu dipatuhi semua syarikat perbankan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘bongok’ dan tidak berhati perut.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

“Urusan yang mudah kenapa peru disusahkan? Kenapa tidak hantar saja pegawai kamu untuk bertemu pelanggan tersebut dan selesaikannya dengan baik.

“Adakah layanan sama akan kamu berikan kepada pelanggan kaya? Sepatutnya tiada alasan logik boleh diberikan pihak bank untuk isu sebegini,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak bank boleh menggunakan budi bicara mereka memandangkan kes seperti itu jarang berlaku di negara ini.

“Polisi kamu (bank) menyusahkan ramai pihak dan jika keluarga tersebut daripada golongan tidak berkemampuan, mereka terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk menyewa ambulans.

“Mereka tiada pilihan melainkan terpaksa melakukannya semata-mata kerana pihak bank tidak boleh melonggarkan peraturan bagi kes tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, di ruangan komen video tersebut, ada beberapa individu berkongsi pengalaman mereka dibantu petugas bank tertentu bagi memudahkan urusan perbankan ahli keluarga yang uzur.

“Agro Bank, saya hanya bawa abah dalam kereta. Pegawai bank yang datang ke tempat letak kereta untuk urusan perbaharui kad. Terima kasih Agro Bank Bantura, Pahang,” kata KakMunah1979.

“Pesakit tak perlu masuk hanya tunggu dalam kereta. Tu yang CIMB dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan buat pada mak saya,” kata My Bliese.

“Saya Agro Bank, mak mertua terbaring. Beritahu bank, mereka datang rumah tolong buatkan. Sepatutnya mereka (bank) kena datang, bukan kita,” kata Faizal_Sidam. - Getaran, 3 September 2022


Artikel oleh: Getaran

USUNG IBU NAIK AMBULANS PERGI PERBAHARUI KAD ATM, "MANA HATI PERUT?"

https://www.getaran.my/artikel/semasa/30152/usung-ibu-naik-ambulans-pergi-perbaharui-kad-atm-mana-hati-perut

Friday, September 2, 2022

CAJ TEMPAT LETAK KERETA MAHAL & TAK MASUK AKAL? - BULETIN FM - 01/09/2022

Fokus Pagi Bersama Izwan Azir & Muaz

Sesi temubual bersama Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi


Sumber: Buletin fm

CAJ TEMPAT LETAK KERETA MAHAL & TAK MASUK AKAL?

https://player.whooshkaa.com/episode?id=1038562


 

MERDEKA ITU BEBAS BUAT KEPUTUSAN SENDIRI - NIK NAZMI - MEDIA VARIASI - 01/09/2022

 

KUALA LUMPUR: “Boleh buat keputusan dan menentukan hala tuju sendiri adalah erti kebebasan sebenar,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, selagi masih mengikut telunjuk orang dan takut membuat keputusan sendiri selagi itu diri masih belum bebas, belum ada pendirian.

“Tak tahu nak pilih yang mana, tak tahu apa hala tuju, tak tahu nak ikut siapa itu menunjukkan diri tiada prinsip dan tidak boleh memimpin diri sendiri jauh sekali orang lain.

“Kena tahu menilai sendiri semua perkara jangan ikut-ikut orang sahaja, kalau majoriti sokong kita pun sokong, itu salah kerana sokong juga boleh bawa rebah,” katanya ketika program tanam pokok sendiri di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Program itu adalah salah satu inisiatif keselamatan makanan agar rakyat merdeka daripada kelaparan walau apa jua impak ekonomi terhadap diri dan negara.

Mengulas mengenai semangat cinta negara yang luntur di kalangan generasi baru, Nazmi berkata apabila sudah lama kecapi kemerdekaan orang ramai mula hilang penghayatan.

“Macam orang yang sudah lama kahwin kurang hargai, kurang menyemarakkan kasih sayang tetapi hati sayang tak mahu kehilangan.

“Ramai yang ‘take it for granted’ ambil mudah sama dengan kita, kita tidak lalui zaman penjajahan tidak lalui zaman susah, kita tidak rasa pentingnya mahu menjaga, sebab itu kena hayati semula semangat dan roh perjuangan,” katanya.

Mengulas mengenai erti kemerdekaan, Nadzim berkata sikap berterima kasih dan menghargai orang lain yang membantu dirinya.

“Sikap terima kasih ini wajar dijadikan manifesto wakil terpilih agar membudayakan semangat kekitaan dan menghargai yang lain.

“Kita kurang nampak sikap menghormati generasi muda kepada yang lebih berusia, dan nilai yang hilang ini perlu dikembalikan agar penghayatan kemerdekaan itu lebih jelas dalam sanubari setiap insan,” katanya.


Artikel oleh: Media Variasi

MERDEKA ITU BEBAS BUAT KEPUTUSAN SENDIRI - NIK NAZMI

https://mediavariasi.com/2022/09/merdeka-itu-bebas-buat-keputusan-sendiri-nik-nazmi/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL