Monday, September 5, 2022

USUNG IBU NAIK AMBULANS PERGI PERBAHARUI KAD ATM, "MANA HATI PERUT?" - GETARAN - 03/09/2022

 

KUALA LUMPUR - Seorang wanita lumpuh dan uzur terpaksa diusung menaiki ambulans menuju ke sebuah bank di Gurun, Kedah bagi memperbaharui kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya yang hampir luput.

Langkah itu diambil ahli keluarga wanita terbabit selepas pihak bank didakwa enggan bertolak-ansur mengenai proses pembaharuan kad berkenaan.

Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan rasa kurang senang dikalangan warganet selepas video dikongsi anak wanita itu yang dikenali sebagai Nur Hatini di aplikasi TikTok, malam kelmarin menjadi tular.

Video memaparkan kisah pilu wanita berkenaan meraih 1.1 juta tontonan, lebih 48,000 tanda suka dan 4,976 komen di aplikasi media sosial itu setakat ini.

Menurut Nur Hatini, kejadian berlaku apabila ibunya yang lumpuh seluruh badan memberitahu kad ATM miliknya akan luput dalam masa terdekat.

Berdasarkan perkongsian tersebut, Nur Hatini berkata, dia cuba menghubungi pihak bank untuk bertanya sekiranya ada prosedur lain bagi membolehkan kad ATM ibunya diperbaharui tanpa kehadiran wanita itu di premis terbabit.

Bagaimanapun dalam video berdurasi 13 saat itu, Nur Hatini memaklumkan, dia diberitahu pihak bank bahawa tiada cara lain melainkan membawa ibunya ke bank bagi memperbaharui kad tersebut.

Katanya, atas sebab itu ahli keluarganya terpaksa menyewa sebuah ambulans St John untuk membawa ibu mereka ke bank terbabit.

Perkongsian tersebut mengundang simpati warganet dengan majoriti mengecam sikap petugas bank terbabit yang tiada belas ihsan terhadap wanita itu.

“Sepatutnya dah (masuk) tahun 2022 ni sudah adalah pemudah cara untuk mereka yang sakit teruk menyelesaikan urusan bank mereka. Kadang pelik juga urusan macam mana pun kena pemilik datang ke bank,” kata Ibrahim Baim.

“Kenapa tak suruh pegawai bank yang sihat walafiat datang ke rumah? Menyusahkan betul. Tahun 2022 dah ni. Cari pengurus bank ini. Kenapa sampai jadi begini?” soal Pandadada.

“Allahu Akbar. Tolong letakkan hati perut dalam servis kamu. Ini adalah ‘wake up call’ untuk yang lain,” kata MrGambitflix.

Berdasarkan komen warganet, rata-rata menyarankan agar pelanggan bank terbabit menutup akaun mereka bagi memberi pengajaran terhadap syarikat perbankan itu.

Sementara itu, video tersebut turut mendapat perhatian Setiausaha Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM), Sukhdave Singh yang menggesa pihak bank agar lebih prihatin terhadap pelanggannya yang uzur.

Sukhdave Singh
Sukhdave Singh

“Pihak bank harus prihatin dalam membantu pelanggan mereka yang uzur. Tiada gunanya melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) dan menghebahkan dalam media apabila pelanggan mereka sendiri diabaikan dengan cara sebegini.

“Mereka sepatutnya boleh meminta bukti daripada ahli keluarga bahawa pelanggan tersebut kurang sihat dan menghantar pegawai mereka untuk menyelesaikan urusan itu,” katanya kepada Getaran.

Malah beliau turut menyeru supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan garis panduan berkaitan layanan terhadap pelanggan uzur yang perlu dipatuhi semua syarikat perbankan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘bongok’ dan tidak berhati perut.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

“Urusan yang mudah kenapa peru disusahkan? Kenapa tidak hantar saja pegawai kamu untuk bertemu pelanggan tersebut dan selesaikannya dengan baik.

“Adakah layanan sama akan kamu berikan kepada pelanggan kaya? Sepatutnya tiada alasan logik boleh diberikan pihak bank untuk isu sebegini,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak bank boleh menggunakan budi bicara mereka memandangkan kes seperti itu jarang berlaku di negara ini.

“Polisi kamu (bank) menyusahkan ramai pihak dan jika keluarga tersebut daripada golongan tidak berkemampuan, mereka terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk menyewa ambulans.

“Mereka tiada pilihan melainkan terpaksa melakukannya semata-mata kerana pihak bank tidak boleh melonggarkan peraturan bagi kes tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, di ruangan komen video tersebut, ada beberapa individu berkongsi pengalaman mereka dibantu petugas bank tertentu bagi memudahkan urusan perbankan ahli keluarga yang uzur.

“Agro Bank, saya hanya bawa abah dalam kereta. Pegawai bank yang datang ke tempat letak kereta untuk urusan perbaharui kad. Terima kasih Agro Bank Bantura, Pahang,” kata KakMunah1979.

“Pesakit tak perlu masuk hanya tunggu dalam kereta. Tu yang CIMB dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan buat pada mak saya,” kata My Bliese.

“Saya Agro Bank, mak mertua terbaring. Beritahu bank, mereka datang rumah tolong buatkan. Sepatutnya mereka (bank) kena datang, bukan kita,” kata Faizal_Sidam. - Getaran, 3 September 2022


Artikel oleh: Getaran

USUNG IBU NAIK AMBULANS PERGI PERBAHARUI KAD ATM, "MANA HATI PERUT?"

https://www.getaran.my/artikel/semasa/30152/usung-ibu-naik-ambulans-pergi-perbaharui-kad-atm-mana-hati-perut

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL