Monday, September 5, 2022

F TEAM - DULU BERJUANG DEMI NEGARA, KINI UNTUK KEBAJIKAN AHLI - THE MERDEKA TIMES - 02/09/2022

 

  • Lanjutan siaran The Merdeka Times sebelum ini dengan tajuk, ““F TEAM, wira negara yang dilupakan?”
  • Kini F TEAM terus berjuang menuntut kebajikan ahli-ahlinya.
  • Satu perjumpaan F TEAM dengan Datuk Nadzim Johan – PPIM diadakan pada Khamis.
  • Diketua Mantan Pegawai Turus F TEAM Datuk Abdullah Abdul Hamid.
  • Tujuan pertemuan bagi menaikkan isu kebajikan ahli-ahli F TEAM.
  • Tetapi tidak membelakangkan pucuk pimpinan PDRM cuma berusaha perjuangkan kebajikan ahli F TEAM dengan segala jalan yang ada.

KUALA LUMPUR – Persoalan yang disiarkan The Merdeka Times sebelum ini dalam artikel “F TEAM, wira negara yang dilupakan?”, masih belum terjawab. Kini F TEAM terus berjuang menuntut kebajikan ahli-ahlinya.

F TEAM adalah satu-satunya pasukan elit Cawangan Khas yang ditubuhkan khas bagi menentang dan mengakhiri era keganasan komunis di Malaysia. F TEAM hanyalah sebuah pasukan kecil di mana bilangan keanggotaannya tidak melebihi 50 orang dalam satu-satu masa.

Keahlian pasukan elit F TEAM ini dianggotai bekas tentera, komando 69, Pasukan Polis Hutan (PPH) dan bekas pengganas komunis yang ditangkap dan menyerah diri. Kepakaran setiap ahli dalam F TEAM digembleng untuk mencapai misi utama iaitu menangkap hidup-hidup pengganas komunis dan mendapatkan risikan terkini.

Pada Khamis, pegawai dan anggota F TEAM yang diketuai Pesara Polis ACP Datuk Haji Abdullah Abdul Hamid (Mantan Pegawai Turus F TEAM & Mantan Pegawai Turus E1M), SM/D Haji Mohd Yusof Omar, SI/D Haji Hussein Saion, Konst./D Idros Said dan Sjn./D Haji Iesa Atan mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Ia bagi menjelaskan tentang jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan ahli F TEAM sepanjang penugasan sejak ditubuhkan pada 1971 hingga dibubarkan pada 1995. Sekaligus membincangkan tentang usaha untuk menuntut kebajikan bagi keseluruhan 165 orang ahli  F TEAM.

Ketika ditanya Datuk Nadzim Johan tentang jumlah penangkapan pengganas komunis yang dibuat F TEAM, Datuk Haji Abdullah menjawab, “Seramai 48 orang pengganas komunis telah ditembak mati. Manakala 1,700 orang pengganas termasuk Kumpulan Bawah Tanah Komunis berjaya ditangkap hidup-hidup. Ini suatu kejayaan yang membanggakan dan hebat bagi F TEAM.”

Kemudian Abdullah menjelaskan bahawa kedatangan mereka ke PPIM bukanlah untuk membelakangi pihak PDRM. Tetapi mereka berusaha untuk mendapatkan kebajikan bagi ahli F TEAM dengan segala cara yang termampu.

Mereka juga sedang berusaha untuk memohon kebajikan melalui saluran dalaman PDRM, namun memang perkara tersebut akan memakan masa. Oleh itu mereka memohon kepakaran dan bantuan PPIM bagi menaikkan isu ini agar diberi perhatian sewajarnya oleh pihak atasan kerajaan.

Mengulas hal itu, Nadzim berkata, “F TEAM ini ialah satu aset kerajaan yang bernilai. Takkan lah aset kita nak buang begitu sahaja. Saya yakin pucuk pimpinan kerajaan terutama Perdana Menteri akan melihat hal ini sewajarnya jika isu kebajikan F TEAM kita bangkitkan kepadanya.”

Ketika ditanya masalah dan kesusahan yang dihadapi F TEAM, SM/D Haji Mohd Yusof berkata, “Banyak hal kebajikan tidak diberi perhatian. Contoh kes staff tanpa pencen. Mereka menjadi ahli F TEAM dengan perjawatan tanpa pencen sebab keperluan tugas dan kerahsiaan. Ketika itu memang diperlukan perjawatan sebegitu. Maknanya waktu dia bekerja dengan F TEAM dulu, dia dibayar gaji dan kebajikan seperti ‘Guarantee Letter’ (GL) dia dapat. Tapi bila tamat keje umur 55 tahun, mereka tidak dibayar gaji dan tiada pencen. Mereka ini juga tidak layak mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan hanya kerana tiada kad pesara.”

Tambahnya lagi, “Ada pula kes anggota F TEAM kita cedera di mata sewaktu dalam perkhidmatan. Kemudian matanya menjadi buta. Jadi dia dinasihatkan pencen awal sebab buta dan ada laporan ‘medical board’. Ketika itu pencen dia dapat hanya RM380 sebulan. Dia mempunyai dua orang  anak. Cukupkah dengan RM380 tersebut ?.”

Jadi mereka berharap pihak kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri dan kerajaan negeri serta pucuk pimpinan PDRM melihat kebajikan F TEAM ini dengan lebih serius. Mungkin masing-masing sibuk dengan tugas harian, tapi hargai lah mereka  yang bertarung nyawa membanteras pengganas komunis suatu ketika dulu.

F TEAM memohon diberikan rawatan kesihatan percuma di semua hospital kerajaan untuk semua ahli F TEAM yang masih hidup di usia emas ini. Hanya sekeping ‘kad pesara’ atau sekeping surat pengesahan ‘Guarantee Letter’ (GL) daripada kerajaan membolehkan mereka menerima rawatan percuma di hospital kerajaan.

Ahli F TEAM yang masih hidup ketika ini lebih kurang 115 orang. Dianggarkan seramai 30 orang ahli F TEAM tidak berpencen dan tidak boleh mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

Sjn/D. Haji Iesa berkata, “Jika ahli sukan bertanding di mana-mana dan mendapat pingat emas untuk negara, mudah sahaja mereka menerima hadiah seperti wang saguhati berpuluh ribu ringgit dan mendapat tanah kurniaan kerajaan negeri.”

“Tapi kami yang membanteras komunis dan bergadai nyawa demi negara, tiada yang mendapat kurniaan tanah atau wang saguhati. Cuma Alhamdulillah ada yang mendapat pingat dengan elaun bulanan. Tetapi ada juga yang mendapat pingat ‘besi’ sahaja tanpa apa-apa bayaran elaun bulanan bersama pingat tersebut,” kata Haji Iesa.

Pada akhir perbincangan tersebut, Datuk Nadzim Johan menyatakan akan membawa hal ini ke pihak atasan agar hal-hal kebajikan F TEAM diberi perhatian semua pihak. Cuma diharapkan tiada pihak yang salah faham tentang tujuan baik F TEAM hadir ke PPIM.

Ini adalah bagi memperjuangkan hak kebajikan ahli F TEAM tidak kira bangsa, tidak kira status perjawatan dan sebagainya. Semuanya perlu mendapat kebajikan yang sewajarnya. Namun begitu, bukan niat mereka membelakangi pucuk pimpinan PDRM, cuma mereka berusaha dengan segala jalan yang ada.

Bak kata bidalan, “Umpama menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus. Tepung tidak berselerak.” Begitulah yang diharapkan hasil perbincangan tersebut. Agar matlamat perjuangan menuntut kebajikan F TEAM tercapai. Namun tidak merosakkan hubungan baik antara ahli F TEAM dengan pucuk pimpinan atasan.

Pernah berlangsung satu Majlis Makan Malam ‘Pasukan F Jasamu Dikenang’ di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Jalan Semarak yang diadakan pada 6 Disember 2016, yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor; Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Puzi Harun dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1(M) Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.

Pada majlis itu memang telah dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Noor Rashid Ibrahim tentang hal kebajikan ini. Menurut Noor Rashid, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk mewujudkan insentif khas berbentuk bantuan kewangan, penjagaan kebajikan dan penganugerahan pingat penghargaan kepada 161 (bilangan ahli F TEAM ketika itu) pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang pernah berkhidmat dalam pasukan F sejak ditubuhkan pada 1971.


Artikel oleh: The Merdeka Times

F TEAM - DULU BERJUANG DEMI NEGARA, KINI UNTUK KEBAJIKAN AHLI

https://themerdekatimes.com/blog/2022/09/f-team-dulu-berjuang-demi-negara-kini-untuk-kebajikan-ahli/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL