Showing posts with label F TEAM. Show all posts
Showing posts with label F TEAM. Show all posts

Wednesday, September 14, 2022

BEKAS AHLI F-TEAM MAHU KERAJAAN HARGAI JASA MEREKA LAWAN KOMUNIS - MALAYSIA GAZETTE - 13/09/2022

 

KUALA LUMPUR –  Jika di Amerika Syarikat, pegawai yang pernah berkhidmat untuk Central Intelligence Agency (CIA) yang bersara akan diserap semula bekerja dan kebajikannya dijaga.

Namun berbeza ceritanya di dalam negara apabila Pasukan F (F-Team) Cawangan Khas Bukit Aman yang mendakwa jasa mereka yang berjuang ketika negara berdepan dengan komunis tidak dihargai.

Mantan Pegawai Turus F-Team, Datuk Abdullah Abdul Hamid berkata, pasukan itu mahu sejarah dan jasa mereka diberikan pengiktirafan termasuk menjaga kebajikan bekas ahli-ahlinya yang kini sudah warga emas.

Beliau mendedahkan, hampir 30 orang bekas ahli F-Team memerlukan pelbagai bantuan seperti perubatan dan kewangan.

“Kini ada 30 anggota tidak berpencen dan hidup dalam kemiskinan, mereka tidak mempunyai kad pesara kerana tidak diiktiraf.

“Jadi, kami mahu Pasukan F diiktiraf, sama ada diberi imbuhan atau pingat berjasa kepada negara.. terpulang kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas Abdullah, ada juga antara mereka yang berhenti sebelum tempoh atas sebab-sebab tertentu dan ada juga antara mereka yang bekerja sendiri untuk menyara hidup.

Terdahulu beliau bersama beberapa rakan sejawatnya berjumpa dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nazim Johan.

MGF13092022_SIDANG-MEDIA-WIRA-NEGARA-8-1024x683
Mantan Pegawai Turus F-Team, ACP (B) Datuk Abdullah Abdul Hamid. Foto MUHD NA’IM, 13 SEPTEMBER 2022.

Untuk rekod, ‘F’ Pasukan F bermaksud “Fight, Fighter, Fighting, Fearless” yang berslogankan ‘Hanya Yang Berani’ menyertainya.

Pasukan F ditubuhkan pada 1971 dengan kekuatan seramai 165 anggota dan kemudian dibubarkan dibubarkan secara rasmi pada 1995.

Pasukan itu terkenal antaranya dalam operasi Kelong, Kelah dan Telemong sehingga berjaya menangkap ketua pengganas komunis paling dikehendaki, Chong Chor.

Kejayaan ‘pembersihan’ komunis mereka termasuk penyerahan diri 83 komunis di Tanjung Malim, Perak pada 12 Disember 1988.

Cerita mereka ini kurang diketahui awam kerana ia operasi rahsia dan tidak terpampang di akhbar atau buku ekoran operasi mereka yang sulit.

“Penubuhan F-Team adalah kerana kemasukan semula kedua pengganas komunis yang bermula di Kedah kemudian di Perak dan akhirnya di Pahang”

“Dua kali negara menentang komunis, sekali pada tahun 1948 sehingga 1960, sekali lagi pada 1968 sehingga 1988 di Semenanjung” katanya.

Menurut Abdullah, F-Team ditugaskan untuk mendapat info  dan risikan dan menangkap komunis secara hidup-hidup untuk digunakan sebagai sumber informasi menjejaki konco-konco mereka yang lain.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

BEKAS AHLI F-TEAM MAHU KERAJAAN HARGAI JASA MEREKA LAWAN KOMUNIS

https://malaysiagazette.com/2022/09/13/bekas-ahli-f-team-mahu-kerajaan-hargai-jasa-mereka-lawan-komunis/

TVPPIM | TOQQI MINTA IKHTIRAF PEJUANG F TEAM PDRM.... - TVPPIM - 14/09/2022

 

"TOLONG IKTIRAF JASA KAMI..." - HARIAN METRO - 13/09/2022

 

Kuala Lumpur: Beri kami pengiktirafan. Itu permintaan pasukan elit rahsia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan F, kepada kerajaan.

Bekas Pegawai Turus Pasukan F, Datuk Abdullah Abdul Hamid berkata, kira-kira 165 bekas anggota pasukan F menyertai pasukan itu sejak tahun 1971 sehingga dibubarkan secara rasmi pada 1995.

"Namun kini, hanya terdapat 116 pegawai dan anggota yang masih ada dan selebihnya sudah meninggal dunia atas pelbagai faktor antaranya kesihatan dan usia.

"Pasukan F ini bermula dengan 16 individu namun pada era komunis ia bertambah kepada 165 anggota pada tahun 1995, "katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Abdullah berkata, terdapat kira-kira 30 anggota pasukan itu yang tidak berpencen kini hidup dalam keadaan daif dan kemiskinan kerana tidak mempunyai kad pesara polis dan tidak diiktiraf.

"Sebenarnya terdapat tiga kategori pegawai dan anggota yang menyertai pasukan F, yang pertama adalah mereka yang berpencen iaitu berkhidmat sehingga usia 60 tahun, kedua ialah mereka yang keluar atau menamatkan perkhidmatan awal dan tanpa pencen serta ketiga ialah anggota yang bekerja secara kontrak.

"Anggota kontrak ini adalah bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang diserap ke pasukan F untuk mengumpul maklumat ketika itu, mereka ini kita jadikan sumber dan letak bersama masyarakat, "katanya.

Menurutnya, kebanyakan anggota kontrak ini tidak mahu terdedah kerana khuatir akan keselamatan mereka dan keluarga.

"Mereka ini sangat setia kepada pasukan, banyak membantu menyalurkan maklumat dan sangat efektif ketika berada di hutan serta menyertai banyak operasi pasukan.

"Saya pernah berjumpa dengan mereka, ada yang sakit dan tidak mampu untuk ke hospital kerana kos yang sangat tinggi sedangkan mereka membantu negara, "katanya.

Justeru itu, beliau memohon kerajaan memberi pengiktirafan , kemudahan kesihatan dan imbuhan kepada individu yang menyertai pasukan ini.

"Bayangkan jika saya ketika itu adalah pegawai dan berpangkat Asisten Komisioner (ACP) hanya menerima gratuiti sebanyak RM2,000 sahaja.

"Mereka ini hanya menerima gratuiti perkhidmatan dua bulan setengah gaji saja, "katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memohon kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menilai semula penghargaan terhadap pasukan ini.

"Ia tidak semestinya imbuhan, banyak cara lain lagi boleh dinilai seperti contoh lesen perniagaan, tanah atau sebagainya.

"Kita perlu menghargai mereka ini kerana berjasa pada negara, jika kita tidak menghargai akan memberikan kesan buruk pada masa akan datang, "katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

"TOLONG IKTIRAF JASA KAMI…"

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/09/881569/tolong-iktiraf-jasa-kami

Tuesday, September 13, 2022

F TEAM WIRA-WIRA NEGARA YANG TAK DIDENDANG - SIDANG MEDIA PPIM - 13/09/2022

F TEAM merupakan sebuah pasukan elit dalam Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ditubuhkan pada tahun 1971 bagi menghapuskan ancaman militan pengganas komunis.  Puncak kejayaan F TEAM adalah apabila kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Damai Hatyai pada 1989 dengan Parti Komunis Malaya (PKM) terus meletakkan senjata dan terus terkubur. Oleh kerana ancaman PKM yang semakin surut, maka pada 1995, F TEAM dibubarkan. Mengikut rekod, lebih 1000 orang komunis telah ditangkap/ditewaskan. Banyak cerita-cerita luar biasa pengorbanan kumpulan ini kepada Malaysia.

Sehubungan itu, PPIM telah mengadakan satu sidang media bagi mengambil langkah untuk mengenengahkan nasib mereka untuk perhatian pihak-pihak berwajib.

This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2022-09-13-at-15.37.14-1.jpeg
This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2022-09-13-at-15.31.35.jpeg
This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2022-09-13-at-15.31.36-1.jpeg
This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2022-09-13-at-15.31.37.jpeg

Monday, September 5, 2022

F TEAM - DULU BERJUANG DEMI NEGARA, KINI UNTUK KEBAJIKAN AHLI - THE MERDEKA TIMES - 02/09/2022

 

  • Lanjutan siaran The Merdeka Times sebelum ini dengan tajuk, ““F TEAM, wira negara yang dilupakan?”
  • Kini F TEAM terus berjuang menuntut kebajikan ahli-ahlinya.
  • Satu perjumpaan F TEAM dengan Datuk Nadzim Johan – PPIM diadakan pada Khamis.
  • Diketua Mantan Pegawai Turus F TEAM Datuk Abdullah Abdul Hamid.
  • Tujuan pertemuan bagi menaikkan isu kebajikan ahli-ahli F TEAM.
  • Tetapi tidak membelakangkan pucuk pimpinan PDRM cuma berusaha perjuangkan kebajikan ahli F TEAM dengan segala jalan yang ada.

KUALA LUMPUR – Persoalan yang disiarkan The Merdeka Times sebelum ini dalam artikel “F TEAM, wira negara yang dilupakan?”, masih belum terjawab. Kini F TEAM terus berjuang menuntut kebajikan ahli-ahlinya.

F TEAM adalah satu-satunya pasukan elit Cawangan Khas yang ditubuhkan khas bagi menentang dan mengakhiri era keganasan komunis di Malaysia. F TEAM hanyalah sebuah pasukan kecil di mana bilangan keanggotaannya tidak melebihi 50 orang dalam satu-satu masa.

Keahlian pasukan elit F TEAM ini dianggotai bekas tentera, komando 69, Pasukan Polis Hutan (PPH) dan bekas pengganas komunis yang ditangkap dan menyerah diri. Kepakaran setiap ahli dalam F TEAM digembleng untuk mencapai misi utama iaitu menangkap hidup-hidup pengganas komunis dan mendapatkan risikan terkini.

Pada Khamis, pegawai dan anggota F TEAM yang diketuai Pesara Polis ACP Datuk Haji Abdullah Abdul Hamid (Mantan Pegawai Turus F TEAM & Mantan Pegawai Turus E1M), SM/D Haji Mohd Yusof Omar, SI/D Haji Hussein Saion, Konst./D Idros Said dan Sjn./D Haji Iesa Atan mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Ia bagi menjelaskan tentang jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan ahli F TEAM sepanjang penugasan sejak ditubuhkan pada 1971 hingga dibubarkan pada 1995. Sekaligus membincangkan tentang usaha untuk menuntut kebajikan bagi keseluruhan 165 orang ahli  F TEAM.

Ketika ditanya Datuk Nadzim Johan tentang jumlah penangkapan pengganas komunis yang dibuat F TEAM, Datuk Haji Abdullah menjawab, “Seramai 48 orang pengganas komunis telah ditembak mati. Manakala 1,700 orang pengganas termasuk Kumpulan Bawah Tanah Komunis berjaya ditangkap hidup-hidup. Ini suatu kejayaan yang membanggakan dan hebat bagi F TEAM.”

Kemudian Abdullah menjelaskan bahawa kedatangan mereka ke PPIM bukanlah untuk membelakangi pihak PDRM. Tetapi mereka berusaha untuk mendapatkan kebajikan bagi ahli F TEAM dengan segala cara yang termampu.

Mereka juga sedang berusaha untuk memohon kebajikan melalui saluran dalaman PDRM, namun memang perkara tersebut akan memakan masa. Oleh itu mereka memohon kepakaran dan bantuan PPIM bagi menaikkan isu ini agar diberi perhatian sewajarnya oleh pihak atasan kerajaan.

Mengulas hal itu, Nadzim berkata, “F TEAM ini ialah satu aset kerajaan yang bernilai. Takkan lah aset kita nak buang begitu sahaja. Saya yakin pucuk pimpinan kerajaan terutama Perdana Menteri akan melihat hal ini sewajarnya jika isu kebajikan F TEAM kita bangkitkan kepadanya.”

Ketika ditanya masalah dan kesusahan yang dihadapi F TEAM, SM/D Haji Mohd Yusof berkata, “Banyak hal kebajikan tidak diberi perhatian. Contoh kes staff tanpa pencen. Mereka menjadi ahli F TEAM dengan perjawatan tanpa pencen sebab keperluan tugas dan kerahsiaan. Ketika itu memang diperlukan perjawatan sebegitu. Maknanya waktu dia bekerja dengan F TEAM dulu, dia dibayar gaji dan kebajikan seperti ‘Guarantee Letter’ (GL) dia dapat. Tapi bila tamat keje umur 55 tahun, mereka tidak dibayar gaji dan tiada pencen. Mereka ini juga tidak layak mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan hanya kerana tiada kad pesara.”

Tambahnya lagi, “Ada pula kes anggota F TEAM kita cedera di mata sewaktu dalam perkhidmatan. Kemudian matanya menjadi buta. Jadi dia dinasihatkan pencen awal sebab buta dan ada laporan ‘medical board’. Ketika itu pencen dia dapat hanya RM380 sebulan. Dia mempunyai dua orang  anak. Cukupkah dengan RM380 tersebut ?.”

Jadi mereka berharap pihak kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri dan kerajaan negeri serta pucuk pimpinan PDRM melihat kebajikan F TEAM ini dengan lebih serius. Mungkin masing-masing sibuk dengan tugas harian, tapi hargai lah mereka  yang bertarung nyawa membanteras pengganas komunis suatu ketika dulu.

F TEAM memohon diberikan rawatan kesihatan percuma di semua hospital kerajaan untuk semua ahli F TEAM yang masih hidup di usia emas ini. Hanya sekeping ‘kad pesara’ atau sekeping surat pengesahan ‘Guarantee Letter’ (GL) daripada kerajaan membolehkan mereka menerima rawatan percuma di hospital kerajaan.

Ahli F TEAM yang masih hidup ketika ini lebih kurang 115 orang. Dianggarkan seramai 30 orang ahli F TEAM tidak berpencen dan tidak boleh mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan.

Sjn/D. Haji Iesa berkata, “Jika ahli sukan bertanding di mana-mana dan mendapat pingat emas untuk negara, mudah sahaja mereka menerima hadiah seperti wang saguhati berpuluh ribu ringgit dan mendapat tanah kurniaan kerajaan negeri.”

“Tapi kami yang membanteras komunis dan bergadai nyawa demi negara, tiada yang mendapat kurniaan tanah atau wang saguhati. Cuma Alhamdulillah ada yang mendapat pingat dengan elaun bulanan. Tetapi ada juga yang mendapat pingat ‘besi’ sahaja tanpa apa-apa bayaran elaun bulanan bersama pingat tersebut,” kata Haji Iesa.

Pada akhir perbincangan tersebut, Datuk Nadzim Johan menyatakan akan membawa hal ini ke pihak atasan agar hal-hal kebajikan F TEAM diberi perhatian semua pihak. Cuma diharapkan tiada pihak yang salah faham tentang tujuan baik F TEAM hadir ke PPIM.

Ini adalah bagi memperjuangkan hak kebajikan ahli F TEAM tidak kira bangsa, tidak kira status perjawatan dan sebagainya. Semuanya perlu mendapat kebajikan yang sewajarnya. Namun begitu, bukan niat mereka membelakangi pucuk pimpinan PDRM, cuma mereka berusaha dengan segala jalan yang ada.

Bak kata bidalan, “Umpama menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus. Tepung tidak berselerak.” Begitulah yang diharapkan hasil perbincangan tersebut. Agar matlamat perjuangan menuntut kebajikan F TEAM tercapai. Namun tidak merosakkan hubungan baik antara ahli F TEAM dengan pucuk pimpinan atasan.

Pernah berlangsung satu Majlis Makan Malam ‘Pasukan F Jasamu Dikenang’ di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Jalan Semarak yang diadakan pada 6 Disember 2016, yang turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor; Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Puzi Harun dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1(M) Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.

Pada majlis itu memang telah dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara (ketika itu), Tan Sri Noor Rashid Ibrahim tentang hal kebajikan ini. Menurut Noor Rashid, pihaknya akan mengesyorkan kepada kerajaan untuk mewujudkan insentif khas berbentuk bantuan kewangan, penjagaan kebajikan dan penganugerahan pingat penghargaan kepada 161 (bilangan ahli F TEAM ketika itu) pegawai dan anggota serta kakitangan awam yang pernah berkhidmat dalam pasukan F sejak ditubuhkan pada 1971.


Artikel oleh: The Merdeka Times

F TEAM - DULU BERJUANG DEMI NEGARA, KINI UNTUK KEBAJIKAN AHLI

https://themerdekatimes.com/blog/2022/09/f-team-dulu-berjuang-demi-negara-kini-untuk-kebajikan-ahli/

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL