PETALING JAYA – Isu mengenai caj parkir mahal yang dikendalikan oleh pengendali swasta atau pemilik tanah persendirian boleh diselesaikan dengan cara pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan satu garis panduan mengenai caj bayaran.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, PBT di sesuatu tempat juga perlu meneliti perkara tersebut dan mencari jalan penyelesaian agar ia tidak membebankan pengguna terutama mereka yang bekerja di Lembah Klang.
Katanya lagi, perlu juga ada kategori untuk parkir berbayar supaya tidak timbul unsur mengambil kesempatan terhadap orang ramai.
“Kena ada kaedah atau kategori sebagai panduan. Sebagai contoh, bangunan yang mahal maka kadar caj parkir mungkin tinggi sedikit, tetapi untuk kategori lain lebih rendah.
“Ini semua PBT kena kawal. Tidak boleh serah saja kepada mereka (pengendali parkir swasta) walaupun lokasi itu di tanah milik mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Nadzim berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi selepas pandemik Covid-19, kadar caj parkir yang tinggi akan menambah beban masyarakat yang kini perlu kembali bekerja untuk menyara kehidupan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman menyarankan PBT mewujudkan paras siling untuk kadar caj parkir di kawasan mereka.
Menurut beliau, paras siling yang dikenakan itu mungkin berbeza mengikut lokasi atau tahap fasiliti disediakan bagi memastikan situasi menang-menang kepada pengguna mahupun pengendali parkir.
Menurut beliau, langkah tersebut juga akan memudahkan orang ramai untuk membuat anggaran perbelanjaan untuk parkir setiap kali perlu menggunakan kenderaan persendirian.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan lebih banyak parkir awam diwujudkan di lokasi-lokasi tumpuan awam dengan kerjasama PBT dan pihak swasta.
“Kita mahu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, tetapi perlu ada tempat parkir yang mencukupi dengan caj yang munasabah di lokasi pengangkutan awam.
“Jika hal ini tidak ditangani lambat laun boleh menyebabkan ramai kembali menggunakan kenderaan persendirian kerana kesulitan yang dihadapi untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Artikel oleh: Kosmo
PENGENDALI PARKIR TAK BOLEH SESUKA HATI TENTUKAN CAJ
https://www.kosmo.com.my/2022/09/01/pengendali-parkir-tak-boleh-sesuka-hati-tentukan-caj/
No comments:
Post a Comment