Friday, February 28, 2025

PERLU KAJIAN MENDALAM, MENYELURUH SEBELUM LAKSANA CAJ KESESAKAN - PPIM - SINAR HARIAN - 28/02/2025

 

KUALA LUMPUR - Cadangan untuk melaksanakan caj kesesakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan juga perlu mendengar dan melibatkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai dalam membuat keputusan tersebut.

"Saya dengar macam-macam termasuk caj kesesakan akan dikenakan untuk mengurangkan masalah kesesakan di bandar, mungkin selepas ini mahu caj kapal terbang pula.

"Tetapi apa pun keputusan yang dibuat, saya harap ia dibuat dengan logiknya dan dikaji secara mendalam terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan seperti isu pengangkutan awam yang masih berada pada tahap rendah.

"Kerajaan juga perlu mendengar pihak NGO, orang ramai dan apa-apa (saranan) yang membawa kepada kebaikan bersama," katanya ketika ditemui di pejabat PPIM di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pelaksanaan caj kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian itu, kadar caj kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.

Beliau berkata, kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion.

Artikel oleh: Sinar Harian

PERLU KAJIAN MENDALAM, MENYELURUH SEBELUM LAKSANA CAJ KESESAKAN - PPIM

https://www.sinarharian.com.my/article/715261/berita/nasional/perlu-kajian-mendalam-menyeluruh-sebelum-laksana-caj-kesesakan---ppim

PPIM GESA PENIAGA, PENGUSAHA HOTEL URUS LEBIHAN MAKANAN KETIKA RAMADAN - SINAR HARIAN - 28/02/2025

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa peniaga termasuk pihak hotel agar melaksanakan dasar pengurusan lebihan makanan untuk mengelakkan pembaziran khususnya pada Ramadan ini.

Ketua Aktivisnya, Nadzim Johan berkata, antara dasar yang perlu dipertimbangkan termasuk menyejukbekukan lebihan makanan dan memberi kepada golongan memerlukan atau gelandangan.

"Kami ada terima tiga aduan mengenai pekerja hotel yang ditahan kerana membawa balik lebihan makanan di tempat kerjanya selepas majlis tertentu untuk diberikan kepada anak-anak di rumah dan paling sedih apabila makanan berkenaan sebenarnya perlu dibuang.

"Kalau kita lihat terutama pada bulan puasa ini, makanan di sesetengah hotel ada yang mencapai RM60 hingga RM200 seorang tetapi mereka cuma makan sedikit dan tidak akan habis, jadi apa salahnya beri pelanggan bawa balik lebihan makanan.

"Selain itu, pengusaha makanan juga boleh membekukan lebihan makanan dan beri kepada golongan memerlukan seperti mangsa banjir, gelandangan atau orang susah kerana makanan sejuk beku ini boleh tahan sehingga tempoh dua tahun," katanya ketika ditemui di pejabat PPIM, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan, sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan pada tahun lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan sikap tidak tamak selain bersederhana bagi menghayati keindahan Ramadan.

"Kita sedih tengok keadaan ini kerana makanan berpuluh ribu tan yang dibuang pada bulan puasa ini boleh menjaga Palestin untuk berbulan-bulan dengan membeli makanan untuk mereka.

"Selain pengusaha makanan, rakyat juga perlu makan ala kadar sahaja dan jangan buang atau membazir, fikirkan orang yang kekurangan makanan.

"Kami juga akan keluarkan satu video dalam masa terdekat untuk mendidik masyarakat terutama anak-anak kecil supaya mereka faham dan prihatin dengan masalah ini," ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA PENIAGA, PENGUSAHA HOTEL URUS LEBIHAN MAKANAN KETIKA RAMADAN

https://www.sinarharian.com.my/article/715247/berita/semasa/ppim-gesa-peniaga-pengusaha-hotel-urus-lebihan-makanan-ketika-ramadan

MENGUMPUL DOSA DI BULAN PUASA? - SIDANG MEDIA PPIM - 28/02/2025

Pembaziran makanan di bulan Ramadan menjadi isu yang perlu diberi perhatian serius. Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan mengenai beberapa pekerja baharu di hotel 5 bintang yang berlainan. Oleh kerana tiada wang, pekerja tersebut mengambil beberapa ketul ayam yang tidak habis untuk dibawa pulang ke rumah untuk diberi kepada keluarga, tetapi ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.

Dasar kebanyakan hotel memang tidak membenarkan kakitangan atau pelanggan membawa pulang makanan yang tidak habis. Namun, bulan Ramadan seharusnya dijadikan bulan yang terbaik untuk mendidik umat Islam dalam pelbagai aspek, terutama berkaitan dengan disiplin dan pemakanan. Malangnya di Malaysia, kita gagal memanfaatkan kelebihan berpuasa dan sebaliknya menyalahgunakan amalan ini dengan pelbagai perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.

Isu seperti ini perlu diubah dan pelbagai langkah yang lebih bijak perlu diambil dalam menguruskan makanan berlebihan supaya tidak berlaku pembaziran. Bagi tujuan itu, satu sidang media telah diadakan pada pagi ini.

Tuesday, February 25, 2025

AKTIVITI | PROGRAM AMAL PENYERAHAN BANTUAN SUMBANGAN PERSEKOLAHAN & SAMBUTAN BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK 2025 - PPIM - 23/02/2025

23 Februari 2025 - Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri ke Program Amal Penyerahan Bantuan Sumbangan Persekolahan Fasa ke 9 & Sambutan Bulan Ramadhan Al-Mubarak 2025 anjuran Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia di JW Marriott, Bukit Bintang.












Monday, February 24, 2025

AKTIVITI | MAJLIS BANTUAN PROGRAM BACK TO SCHOOL SURAU DARULSSALAM - PPIM - 22/02/2025

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri ke Majlis Bantuan Program Back To School anjuran Surau Darulssalam, Perumahan Awam Sri Tioman, Kuala Lumpur.

Thursday, February 20, 2025

KUNJUNGAN HORMAT PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA (PPIM) - POLIS KL - 18/02/2025

 

𝑷𝒐𝒍𝒊𝒔𝑲𝑳, 18 Februari 2025 - YDH CP Dato' Rusdi bin Mohd Isa, Ketua Polis Kuala Lumpur, telah menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), YBhg. Dato’ Nadzim Johan @ Toqqi, di Bilik Kunjungan Hormat, Tingkat 12, Menara A, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah YDH DCP Dato' Azry Akmar bin Dato’ Hj. Ayob, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur; YDH SAC Ravindar Singh a/l Sarban Singh, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Kuala Lumpur; YDH ACP Kamarulzaman bin Md Alib, Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan / Operasi) Polis Kuala Lumpur; YDH ACP Fauzi bin Mohd Yusof, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan / Operasi) Polis Kuala Lumpur; dan YDH Supt. Nor Huda binti Salam, Pegawai Turus Perkhidmatan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur.

Dari pihak PPIM, kunjungan ini turut disertai oleh YBhg. Puan Gulab Jan, Pegawai PPIM; serta barisan peguam PPIM, YBhg. Peguam Nadia Abd Aziz, YBhg. Peguam Shahrin Satheer, dan YBhg. Peguam Jeff Jufliz Faiza.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk menjalin hubungan baik serta mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

#jomlikefbPolisKL #kunjunganhormat #18febuari2025

Artikel oleh: Polis KL (Facebook)

KUNJUNGAN HORMAT PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA (PPIM)

https://www.facebook.com/share/p/161RCHuCXG

PPIM DAKWA RAYER OBSES CAMPURI HAL EHWAL ISLAM - PERSPEKTIF360 - 19/02/2025

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang disifatkan selalu mencampuri urusan berkaitan agama Islam di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata, beliau kesal dengan tindakan wakil rakyat DAP itu yang sering mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam di negara ini," katanya.

Tambahnya lagi, Rayer didakwa “terlalu obses” mencampuri hal ehwal dan perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam sejak akhir-akhir ini.

"Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan menyanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?" soalnya.

Rayer sebelum ini mempersoalkan kemunculan pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik membuat ucapan ataupun dakwah terbuka di Perlis.

Beliau mendakwa Polis Diraja Malaysia telah mengumumkan pada 20 Ogos 2019 bahawa Zakir Naik dilarang daripada membuat apa-apa kenyataan ataupun ceramah agama di Malaysia.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika membalas kenyataan Rayen itu berkata, beliau bersedia untuk bertempur dengan DAP berkaitan isu tersebut.

#Perspektif360

Artikel oleh: Perspektif360 (Facebook)

PPIM DAKWA RAYER OBSES CAMPURI HAL EHWAL ISLAM

https://www.facebook.com/share/p/12Ff3sR4oFx/

PPIM SELAR RAYER, DAKWA OBSES CAMPURI HAL EHWAL ISLAM - MALAYSIAKINI - 19/02/2025

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membidas Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang disifatkan mencampuri urusan berkaitan agama Islam di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata dia kesal dengan tindakan wakil rakyat DAP itu yang menurutnya mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Nadzim juga mendakwa Rayer “terlalu obses” mencampuri hal ehwal dan perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam sejak akhir-akhir ini.

"Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan menyanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?" soalnya.

Kenyataan Nadzim dipercayai merujuk kepada tindakan Rayer mempersoalkan pendakwah Zakir Naik yang baru-baru ini menyampaikan ceramah di Perlis, meski terdapat larangan berucap terhadapnya.

Perintah larangan terhadap Zakir untuk menyampaikan ucapan dan berdakwah dikeluarkan pada 2019 berikutan kenyataan kontroversi mengenai masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia.

Bagaimanapun, kemunculannya semula pada satu acara di Perlis pada 2 Feb lalu mendorong Rayer mempersoalkan sama ada larangan itu masih berkuat kuasa.

Kemudian dilaporkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis telah memberikan tauliah kepada Zakir untuk mengajar agama Islam pada Oktober 2023.

Mufti Perlis Asri Zainul Abidin juga telah menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan pendiriannya berhubung Zakir.

Dalam video di saluran YouTube rasminya pada 6 Feb, Asri menambah bahawa Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk acaranya, sama seperti bagaimana dia tidak mempersoalkan ahli parlimen DAP itu apa yang dia calit di dahinya dan mengapa dia melakukannya.

Baru-baru ini, Rayer telah menyoal Asri sama ada dia akan mencontohi penjual jagung yang telah meminta maaf kerana kenyataannya tentang "vibuthi" di dahi kaum Hindu.

Asri menafikan menghina penganut Hindu dengan kenyataannya dan mempersoalkan Rayer kerana membangkitkan isu itu dua minggu selepas dia mengatakannya.

Pemimpin Bersatu turut mengecam Rayer sebelum ini kerana mempersoalkan kehadiran Zakir di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Afif Bahardin menuduh Rayer sebagai cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama dengan bertindak sedemikian.

Afif menuntut Rayer menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Asri dan semua umat Islam.

Sementara itu, mengulas lanjut, Nadzim menasihatkan Rayer agar tidak mencampuri perkara yang bukan menjadi urusannya.

Sebaliknya, Nadzim berkata Rayer seharusnya memberi tumpuan kepada tugasan hakikinya menjaga kemaslahatan rakyat di Parlimen Jelutong.

“Kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya,” katanya.

Menurut Nadzim dia juga ingin menegaskan kepada Rayer bahawa umat Islam di negara ini tidak pernah sama sekali mempersoalkan perkara berkaitan dengan agama lain khususnya agama Hindu.

“Saya ingin tegaskan kepada Rayer, umat Islam tidak pernah pun mempersoalkan apa jua yang berkaitan orang Hindu, walaupun kita sedar dengan jelas nisbah kuil dan warga Hindu di negara ini adalah jauh lebih banyak dari masjid.

“Itu belum lagi kita bangkitkan isu kuil-kuil yang dicacakkan di tanah-tanah milik orang Melayu. Setakat ini kerajaan juga dilihat sebagai amat longgar dalam mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi,” katanya.

Nadzim mempersoalkan sikap kerajaan yang menurutnya berlembut dalam menangani isu yang boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.

“Umat Islam negara ini tidak ada sebab untuk bertindak menghina agama lain dan tidak pernah ia dilakukan oleh orang Islam.

“Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?

“Jangan sampai kami sebagai NGO Islam bertindak menimbulkan isu-isu berkaitan Hindu pula,” tambahnya.

Artikel oleh: MalaysiaKini

PPIM SELAR RAYER, DAKWA OBSES CAMPURI HAL EHWAL ISLAM

https://www.malaysiakini.com/news/735069

KENAPA RAYER OBSES CAMPURI HAL EHWAL UMAT ISLAM - PPIM - MALAYSIA GAZETTE - 19/02/2025

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer kerana tidak henti-henti mencampuri urusan berkaitan umat Islam di negara ini.

Ketua aktivisnya, Nadzim Johan mendakwa, Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam negara ini.

Sedangkan, tegasnya, umat Islam negara ini tidak mempunya sebab untuk menghina agama lain dan tidak pernah melakukannya.

“Saya tidak faham mengapa Rayer terlalu obses untuk mencampuri hal ehwal dan program berkaitan Islam sejak akhir-akhir ini.

“Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan mencanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum Islam adalah agama bagi Persekutuan?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Rayer baru-baru ini yang telah mengkritik Mufti Perlis kerana menjemput pendakwah Islam terkenal Dr Zakir Naik ke suatu program.

Nadzim mencadangkan agar Rayer menjaga kemaslahatan rakyat Jelutong sahaja kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya.

Beliau turut mendakwa kerajaan dilihat amat longgar dalam mengambil tindakan pihak-pihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi.

“Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?,” soalnyanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

KENAPA RAYER OBSES CAMPURI HAL EHWAL UMAT ISLAM - PPIM

https://malaysiagazette.com/2025/02/19/kenapa-rayer-obses-campuri-hal-ehwal-umat-islam-ppim/

Wednesday, February 19, 2025

PPIM SELAR RAYER - KENYATAAN MEDIA PPIM - 19/02/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong kerana tidak henti-henti mencampuri urusan berkaitan umat Islam di negara ini.

"Rayer dan beberapa pemimpin DAP acapkali telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti umat Islam Negara ini," kata Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi.

Beliau tidak faham mengapa Rayer terlalu obses untuk mencampuri hal ehwal dan program berkaitan Islam sejak akhir-akhir ini.

"Adakah mungkin kerana mereka menganggap DAP sebuah parti yang punya suara yang ramai di Dewan Rakyat dan boleh mengeluarkan apa saja kenyataan mencanggahi umat Islam, walaupun mereka maklum bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?" tambah Toqqi lagi.

Rayer baru-baru ini telah mengkritik Mufti Perlis kerana menjemput pendakwah Islam terkenal Dr Zakir Naik ke suatu program anjuran Mufti itu.

Toqqi mencadangkan agar Rayer tetap dengan tugasan hakikinya menjaga kemaslahatan rakyat Jelutong sahaja kerana apa saja isu yang dikeluarkan beliau mengenai isu nasional akan memalukan parti yang diwakilinya.

"Saya ingin tegaskan kepada Rayer, umat Islam tidak pernah pun mempersoalkan apa jua yang berkaitan orang Hindu, walaupun kita sedar dengan jelas nisbah kuil dan warga Hindu di negara ini adalah jauh lebih banyak dari masjid.

Itu belum lagi kita bangkitkan isu kuil-kuil yang dicacakkan di tanah-tanah milik orang Melayu," ujar Toqqi.

Setakat ini kerajaan dilihat sebagai amat longgar dalam mengambil tindakan pihakpihak yang melanggar perlembagaan negara apabila mengkritik agama Islam sebagai agama rasmi.

Umat Islam negara ini tidak punya sebab untuk bertindak menghina agama lain dan tidak pernah ianya dilakukan oleh orang Islam. Adakah akibat sikap berlembut kerajaan ini bakal menghala ke arah pergaduhan kaum dan agama?

Menurut Toqqi lagi, jangan sampai kami sebagai NGO Islam bertindak menimbulkan isu-isu berkaitan Hindu pula.

Tuesday, February 18, 2025

AKTIVITI | KUNJUNGAN HORMAT PPIM KE ATAS KETUA POLIS KUALA LUMPUR - PPIM - 18/02/2025

Kunjungan hormat Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi ke atas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

AKTIVITI | SIDANG MEDIA KHAS NGO-NGO MELAYU ISLAM ISU AKTA PEMBAHARUAN SEMULA BANDAR - PPIM - 18/02/2025

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri ke sidang media khas NGO-NGO Melayu Islam membincangkan isu RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dibimbangi akan mengancam orang Melayu yang menghuni bandar.

AKTIVITI | KUNJUNGAN HORMAT PPIM KE ATAS TIMBALAN KSU (DASAR DAN ANTARABANGSA) KESUMA - PPIM - 17/02/2025

17 Februari 2025 - Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), YBhg Dato' Hajah Norison Ramli di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya.

PERSATUAN PENGGUNA BERANG HARGA SANTAN NAIK, 'TAK USAH REKA ALASAN' - MALAYSIAKINI - 14/02/2025

 

Persatuan pengguna berang dengan alasan-alasan diberikan berkaitan jangkaan kenaikan harga santan menjelang Ramadan awal bulan depan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membayangkan jangkaan-jangkaan itu sengaja dibuat bagi menyediakan minda orang ramai ketika kenaikan benar-benar berlaku.

“Berita-berita (kenaikan harga) ini seolah-olah memberikan isyarat awal pasti akan berlaku kenaikan.

“Jadi, orang ramai atau pun pengguna akan terima dan redalah sebab penghujungnya sebagai pengguna ialah kita, sama ada pengguna Melayu, India atau Cina, seolah-olah tidak ada pilihan,” kata setiausaha agungnya Maamor Osman.

Maamor Osman

Dia juga mendakwa alasan peningkatan permintaan dan kekurangan penawaran itu cuma rekaan. 

Media sebelum ini melaporkan harga santan di beberapa negeri dijangka terus meningkat kepada RM20 sekilogram menjelang Ramadan berikutan bekalan kelapa masih berkurangan.

Situasi itu juga dilaporkan berlaku sejak awal Disember lalu yang menyebabkan harga santan pada asalnya sekitar RM9 hingga RM10 sekilogram meningkat kepada RM17 hingga RM18.

Kenaikan harga itu antaranya dilaporkan berlaku di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Semakan harga semasa melalui aplikasi PriceCather Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagaimanapun mendapati harga di Lembah Klang lebih rendah sehingga RM5 sekilogram.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Maamor berkata isu kekurangan bekalan bukan perkara baru dan ia sepatutnya diuruskan lebih awal oleh pihak bertanggungjawab.

“Mereka sepatutnya dah tahu tarikh setiap perayaan di negara ini.

“Jadi, tak ada alasan barangan keperluan terbabit berkurangan,” katanya.

Maamor berkata tiada sebab bekalan berkurangan kerana Malaysia dan negara pengimport serantau seperti Indonesia tidak dilanda sebarang bencana alam.

Dia juga menyatakan kebimbangan dengan alasan kekurangan bekalan dalam pasaran.

Katanya, perkara itu hanya akan menggalakkan aktiviti menyorok barang.

“Tunggu harga naik (baru) mereka lambakkan dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengesahkan harga santan segar menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan ini. 

Setiausaha agungnya Saravanan Thambirajah berkata pada November 2024, harga santan segar dijual antara RM14 hingga RM20 sekilogram. 

Pada Januari tahun ini pula, katanya, harga kelapa mencapai RM2.80 sebiji berbanding RM1.80 pada September tahun sebelumnya, yang turut mempengaruhi harga santan.

Saravanan Thambirajah

Menurutnya kenaikan harga itu juga disebabkan beberapa faktor, termasuk kekurangan bekalan kelapa tempatan akibat faktor cuaca dan pengeluaran yang tidak mencukupi. 

“Kebergantungan kepada import dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand turut menjejaskan harga, terutama apabila kos pengimportan meningkat. 

“Selain itu, permintaan tinggi menjelang Ramadhan juga menyebabkan lonjakan harga di pasaran,” katanya.

Import segera, kata Fomca

Fomca justeru menggesa kerajaan segera mengimport kelapa bagi menangani kekurangan bekalan dan menstabilkan harga di pasaran. 

Langkah ini, katanya, penting untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga yang terlalu tinggi, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil. 

“Selain itu, usaha untuk meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipercepatkan, termasuk memberi insentif kepada petani untuk menanam lebih banyak kelapa dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Fomca juga menyarankan agar kawalan harga diperketat bagi mengelakkan spekulasi yang tidak munasabah. 

“Pihak kerajaan perlu memastikan rantaian bekalan lebih efisien dengan mengurangkan peranan orang tengah yang boleh menyebabkan kenaikan harga yang tidak terkawal. 

“Di samping itu, pengguna boleh mencari alternatif lain dalam masakan yang tidak memerlukan santan atau menggunakan produk pengganti yang lebih murah, sekiranya kenaikan harga ini berterusan. 

Artikel oleh: MalaysiaKini

PERSATUAN PENGGUNA BERANG HARGA SANTAN NAIK, 'TAK USAH REKA ALASAN'

ANTARA BERBUKA PUASA DI RUMAH ATAU DI LUAR... - HARIAN METRO - 16/02/2025

 

Kuala Lumpur: Harga juadah dan pakej berbuka puasa yang dijangka meningkat pada Ramadan ini mendorong orang ramai memilih untuk berbuka puasa di rumah.

Penjawat awam, Mohd Ikhwan Usop, 37, berkata dia memilih untuk berbuka puasa di rumah atau masjid kerana menjimatkan disebabkan tinggal bersendirian.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya lebih banyak berbuka puasa di rumah atau masjid kerana bujang. Berbuka di rumah atau masjid lebih menjimatkan bagi saya berbanding makan di luar.

"Ini kerana saya lihat banyak pakej berbuka puasa (Ramadan) akan datang lebih mahal berbanding tahun lalu, mungkin disebabkan peningkatan kos bahan mentah.

"Namun, saya mungkin memilih untuk berbuka puasa di luar bersama rakan di restoran yang harga pakej bufet ditawarkan jauh lebih murah berbanding di hotel," katanya.

Perkara itu disokong pegawai khidmat pelanggan, Amirah Abdul Rahman, 40, yang berpendapat berbuka puasa di rumah lebih jimat dan mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga.

"Dalam situasi ekonomi kurang baik ketika ini, ramai orang lebih memilih untuk berbuka di rumah, surau atau masjid terutamanya jika tujuan utama mereka untuk beramal ibadah dan berbelanja secara berhemah.

"Berbuka di rumah atau masjid memberi peluang untuk menikmati hidangan bersama tiga anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun dengan bersederhana dan mengutamakan keberkatan.

"Selain itu, berbuka bersama ahli keluarga di rumah atau komuniti di masjid juga mengeratkan silaturahim tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor berkata, orang ramai perlu memahami dan menyedari tujuan sebenar berpuasa pada Ramadan.

Menurutnya, ramai dalam kalangan masyarakat menjadikan Ramadan sebagai bulan pesta makanan, pesta berbelanja, pesta jualan dan lain-lain pesta.

"Sepatutnya Ramadan menjadi pesta ibadah, pesta mengejar ganjaran pahala berganda serta pesta untuk kita bersedekah dan bukannya membazir.

"Malangnya, kita sudah menyimpang jauh daripada semangat Ramadan yang sebenar, namun kita masih belum terlambat untuk perbetulkan niat.

"Seharusnya kita buat persediaan untuk mengejar ibadah dan kebaikan. Jauhkan diri daripada tawaran dan pesta yang menyanggahi tujuan sebenar Ramadan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

ANTARA BERBUKA PUASA DI RUMAH ATAU DI LUAR…

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/02/1187845/antara-berbuka-puasa-di-rumah-atau-di-luar

Friday, February 14, 2025

AKTIVITI | PERJUMPAAN KETUA AKTIVIS PPIM BERSAMA PENOLONG GABENOR BNM - PPIM

Perjumpaan Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi bersama Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Abu Hassan Al Shari Yahaya.



PPIM MEMANDANG POSITIF PELANTIKAN ROBERT F. KENNEDY JR. SEBAGAI SETIAUSAHA KESIHATAN DAN PERKHIDMATAN MANUSIA AMERIKA SYARIKAT - KENYATAAN MEDIA PPIM - 14/02/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang positif diatas pelantikan Robert F. Kennedy Jr. (RFK Jr.) sebagai Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat. Beliau ialah pejuang kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan hak asasi manusia yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran, ketelusan dan autonomi perubatan.

Beliau juga merupakan pengasas Children’s Health Defense (CHD), sebuah organisasi yang bertujuan melindungi kesihatan kanak-kanak dengan memperjuangkan keselamatan vaksin serta ketelusan dasar kesihatan.

PPIM melihat pelantikan ini sebagai langkah penting untuk memulihkan etika dan keadilan dalam sistem kesihatan global.  RFK Jr dikenali kerana menentang pengaruh korporat dalam sektor farmaseutikal dan institusi kesihatan antarabangsa, selari dengan misi PPIM yang memperjuangkan hak pengguna dan integriti kesihatan.

RFK Jr mendukung prinsip kebebasan kesihatan, informed consent dan ketelusan dasar kesihatan.  Beliau menolak dasar kesihatan yang memaksa serta mengkritik konflik kepentingan dalam organisasi seperti WHO.  Usahanya menyeru kepada reformasi sistem kesihatan global demi keadilan dan kebajikan masyarakat mengatasi keuntungan korporat.

PPIM yakin bahawa pelantikan RFK Jr akan membawa perubahan positif, mengukuhkan integriti kesihatan awam dan melindungi hak rakyat.  Langkah ini juga dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada Amerika Syarikat, tetapi kepada komuniti global, dengan memacu kerjasama antarabangsa dalam isu kesihatan yang kritikal.

PPIM menyeru semua pihak menyokong usaha RFK Jr untuk mewujudkan sistem kesihatan yang adil, telus dan beretika demi kesejahteraan masyarakat dunia.

PPIM juga menggesa kerajaan Madani untuk mengkaji semula semua dasar kesihatan Malaysia selari dengan polisi kesihatan baharu Amerika Syarikat yang dilihat lebih telus.

Kerajaan perlu bertanggungjawab atas kegagalan mempertimbangkan pendapat kedua semasa tempoh lockdown dan program vaksinasi yang lalu. Menolak permohonan perjumpaan daripada persatuan doktor pakar dalam negara serta mengabaikan memorandum kajian lengkap mengenai pandemik telah menyebabkan ramai rakyat menjadi mangsa akibat lockdown dan program eksperimen vaksin.  Menafikan akses kepada ubat-ubatan seperti Ivermectin dan lain-lain adalah satu jenayah. Pihak bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan atas pengabaian ini yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL