Monday, February 10, 2025

BERTINDAK SEGERA SEBELUM ISU GELANDANGAN MENJADI TIDAK TERKAWAL - HARIAN METRO - 09/02/2025


Kuala Lumpur: Pasukan khas perlu ditubuhkan bagi menangani isu gelandangan secara holistik sekali gus mengelakkan jumlah golongan terbabit meningkat.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor berkata, statistik mendedahkan bahawa jumlah gelandangan meningkat membabitkan warga emas, dewasa, remaja, kanak-kanak serta bayi.

"Fakta itu amat membimbangkan dan ia menjadi masalah nasional yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib serta masyarakat dengan tindakan segera harus diambil.

"Satu pasukan khas perlu diwujudkan untuk menangani masalah ini secara holistik bagi memberi sokongan dan bantuan penuh kepada gelandangan yang bersedia mengubah kehidupan dengan dilatih mendapatkan pekerjaan atau pendidikan.

"Selain itu, perlu ada penetapan suatu tempoh yang memadai untuk mereka mendapat bantuan dan sokongan penuh," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, golongan gelandangan yang tidak mampu menguruskan kebajikan diri atau keluarga akibat masalah kesihatan, emosi atau mental perlu ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau turut menyeru pihak berkuasa supaya bertindak segera sebelum isu gelandangan di negara ini menjadi tidak terkawal.

"Lambakan gelandangan di kota raya bukan saja menjejaskan imej negara, malah mampu menjadi punca kepada pelbagai masalah lain yang lebih besar," katanya.

Metro Ahad melaporkan kawasan didiami gelandangan di sekitar ibu kota dicemari dengan najis dan sampah selain berbau busuk.

Malah, ada di antara gelandangan dilaporkan membuang najis serta kencing di sekitar kawasan Jalan Petaling dan Lorong Bandar 13 berhampiran Pasar Seni, di sini.

Artikel oleh: Harian Metro

BERTINDAK SEGERA SEBELUM ISU GELANDANGAN MENJADI TIDAK TERKAWAL

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/02/1185592/bertindak-segera-sebelum-isu-gelandangan-menjadi-tidak-terkawal

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL