Kuala Lumpur - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengucapkan tahniah atas ketegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam membetulkan segala kepincangan dalaman pasukan keselamatan itu.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi menyifatkan kenyataan Razarudin sebagai satu tamparan hebat terhadap kepincangan dalam pengurusan dalamannya walaupun disampaikan secara bersahaja.
"Kami percaya Tan Sri Razarudin ikhlas dalam tegurannya itu kerana beliau ingin memulihkan kembali kedudukan PDRM sebagai sebuah pasukan yang paling berintegriti dalam menjamin keamanan dalam negeri," katanya.
Tambah Nadzim, PPIM berharap anggota polis menerima teguran itu secara positif dan ikhlas demi keselamatan rakyat.
"Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah terhadap sikap Razarudin yang berterus-terang terhadap apa yang berlaku di dalam PDRM dan berharap setiap anggotanya di semua peringkat agar bekerja sebagai sebuah pasukan keselamatan yang paling mantap," ujarnya.
PPIM katanya, akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dan kerjasama kepada pihak polis dalam membanteras jenayah dan salah laku dalam masyarakat kita.
Semalam, PPIM turut dimaklumkan berlaku rombakan besar-besaran melibatkan pasukan MPV Polis Selangor.
"Walaupun ada anggota yang kurang senang dengan pertukaran mengejut itu, mereka harus faham ia sebahagian daripada tanggungjawab PDRM mengekalkan integriti pasukan dan mereka (anggota) harus memainkan peranan melaporkan segala salahlaku rakan sepasukan baru membersihkan nama PDRM," katanya.
PPIM sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan seluruh warga PDRM dan berharap punca utama keruntuhan integriti dikalangan anggota dapat diatasi segera.
"Kerajaan dan pihak pengurusan PDRM harus mengkaji apakah punca berlakunya masalah integriti dalam pasukan dan berusaha menanganinya secara telus," katanya.
No comments:
Post a Comment