Thursday, February 15, 2024

'KITA MASIH BELUM TERLEWAT UNTUK BERMULA' - PPIM - HARIAN METRO - 14/02/2024

 

Kuala Lumpur: Wujud keperluan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape demi kepentingan bersama dan ia harus dimulakan segera.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, menjadi amalan sejak dulu lagi, setiap perkara yang dilakukan perlu mempunyai garis panduan khusus agar tidak mendatangkan masalah kepada masyarakat.

Katanya, seperti mana perkara lain, vape tidak terkecuali daripada peraturan negara dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan kawalan yang terbaik ke atas produk alternatif itu.

"Sebenarnya kita mungkin agak terlewat, kerana vape sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat di negara ini.

"Bila sudah terbiasa, baru nak ada garis panduan, itu seperti terkebelakang, tetapi kita harus mulakan sesuatu. Tidak ada yang lewat untuk perkara baik," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya tampil dengan cadangan kepada pihak berwajib untuk mengawal produk berkenaan demi kebaikan semua terutama generasi muda.

Katanya, PPIM juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memastikan hasrat itu tercapai.

"Kita sedia bekerjasama. Tidak jadi masalah kerana yang penting garis panduan ini nanti untuk kebaikan semua.

"Sesiapa pun tidak mahu badan mereka dicemari dengan bahan berbahaya, jadi ini usaha yang baik demi masa depan semua," katanya.

Semalam Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.

Katanya, ketika ini, tidak ada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.

Artikel oleh: Harian Metro

'KITA MASIH BELUM TERLEWAT UNTUK BERMULA' - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060817/kita-masih-belum-terlewat-untuk-bermula-ppim

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL