Friday, February 16, 2024

ISU GURU ENGGAN DIVAKSIN, KPM JANGAN TERBAWA-BAWA AGENDA KONGLOMERAT FARMASEUTIKAL - PPIM - MALAYSIA TRIBUNE - 15/02/2024

 

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) supaya bertindak dengan bijak dan tidak terbawa-bawa dengan agenda konglomerat farmaseutikel yang didokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak memberikan apa-apa kebaikan malah telah mengakibatkan kesan yang buruk kepada rakyat.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan yang dikenakan ke atas kakitangan KPM terutamanya para guru yang masih enggan mengambil vaksin COVID-19 perlu dihentikan.

“Saya hairan mengapa KPM begitu tegar berpegang kepada keperluan WHO yang sehingga hari ini rancak diperdebat dan dipersoal oleh masyarakat dunia?” soal Nadzim dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Kenyataan Nadzim adalah susulan kepada satu sidang akhbar semalam yang mana seorang guru dikenali sebagai ‘Cikgu J’ tampil membuat pengakuan bahawa dia dinafikan hak untuk menjalankan tugas beliau dengan sempurna.

Cikgu J mendakwa, walaupun dibenarkan mengajar, ia dilaksanakan di sebalik tabir plastik.

“Saya terpaksa mengajar di sebalik tabir plastik dalam keadaan murid-murid duduk membelakangkan saya. Inilah pengalaman paling menyedihkan dan paling kejam dalam sejarah saya sebagai pendidik!”

“Boleh tak bayangkan bagaimana seseorang murid yang terpaksa memusingkan badannya untuk menanyakan sesuatu kepada saya yang berdiri mengajar di belakang tabir plastik?” dakwanya.

Dalam sidang akhbar berkenaan, Cikgu J mendakwa, dia enggan mengambil vaksin atas pilihan sendiri kerana tidak mahu memasukkan apa-apa bahan yang kurang diyakini ke dalam tubuhnya.

“Lagi pun pada tanggapan saya dan juga yang lain-lain pengambilan vaksin COVID-19 adalah atas dasar sukarela dan tiada sebarang paksaan,” katanya lagi.

Selain itu, dia turut mendakwa dinafikan tuntutan pengajaran atas talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, serta pemberian elaun khas sebanyak RM700.

Kenyataan PPIM hari ini turut mendakwa, ada lebih kurang 600 guru sedang mengalami nasib yang sama dengan Cikgu J ketika ini.

Artikel oleh: Malaysia Tribune

ISU GURU ENGGAN DIVAKSIN, KPM JANGAN TERBAWA-BAWA AGENDA KONGLOMERAT FARMASEUTIKAL - PPIM

https://malaysiatribune.news/2024/02/15/isu-guru-enggan-divaksin-kpm-jangan-terbawa-bawa-agenda-konglomerat-farmaseutikal-ppim/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL