Kuala Lumpur: Membeli beras hancur untuk makanan haiwan dari luar negara, diseludup ke negara ini dan kemudian dibungkus semula sebagai campuran dalam beras putih tempatan.
Itu taktik licik sebuah syarikat perdagangan beras yang dipercayai menggunakan modus operandi berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah dengan cara salah.
Namun kelicikan syarikat berkenaan akhirnya terbongkar susulan pemeriksaan di sebuah kilang beras di Seksyen U5, Shah Alam, dekat sini, kelmarin yang dilaksanakan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
Ketua Pengarah KPB, Datuk Azman Mahmood berkata dalam serbuan jam 1.10 petang kelmarin pihaknya menyita 410 kampit beras dengan setiap kampit seberat 50 kilogram (kg) dan keseluruhannya seberat 22,500kg.
"Pemeriksaan dibuat berdasarkan maklumat dan aduan dari orang awam berkaitan beras tidak sah. Modus operandi ialah belian dari pemborong mengelirukan iaitu beras untuk makanan haiwan. Pemeriksaan mendapati setiap kampit 50kg itu tiada sebarang label di kampit.
"Belum dapat dipastikan beras hancur seludup itu dibeli dari negara mana namun ada kemungkinan ia dari Vietnam atau Thailand. Siasatan masih dijalankan.
"Siasatan awal mengesyaki beras itu akan dijual semula kepada pemborong melalui sebut harga tertentu. Kemudian bergantung kepada pemborong sama ada dikampit untuk campuran dalam beras putih tempatan atau dijual kepada industri pembuat bihun dan kuew teow," katanya kepada Harian Metro.
Azman berkata, siasatan pihaknya mendapati pihak terbabit mengambil kesempatan daripada kenaikan harga beras import di pasaran dengan mencampurkannya dengan beras hancur.
Katanya hasil campuran itu, beras berkenaan dijual sebagai beras mahal, Basmathi serta beras import pada harga semasa.
"Mereka didapati mencampurkan beras ini lebih daripada yang dibenarkan iaitu lima peratus. Kita akan teruskan pemeriksaan rambang ini untuk memastikan pengguna tidak mendapat beras yang tidak bermutu," katanya.
Beliau berkata, turut dirampas dalam pemeriksaan itu adalah dokumen berkaitan iaitu Lesen Asal Beras Borong No C2519, sehelai invois belian beras, sehelai profarma invois beras dan salinan borang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Azman berkata, beras rampasan disimpan di Gudang Bernas (Jasa) Pelabuhan Klang manakala dokumen rampasan dibawa ke Ibu Pejabat KPB Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"Akan ada lagi serbuan susulan berkaitan kes berdasarkan sumber maklumat yang diperoleh.
"Syarikat yang berkenaan kini disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9 (4) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996. P.U (A) 624
"Jika sabit kesalahan di bawah seksyen 22(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] boleh denda tidak melebihi RM25,000 bagi kesalahan pertama," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa seseorang pemegang lesen borong yang terbabit dengan pembungkusan beras hendaklah mempamerkan label atau tag yang menunjukkan gred, berat, harga, nama, nombor lesen dan peratus kandungan beras hancur pada bungkusan atau bekas beras itu.
'Kita tidak tahu berapa lama mereka tipu pengguna'
Kawalan di pintu masuk utama (PMU) negara perlu diperkemas bagi memastikan tiada beras hancur yang dibawa masuk sindiket untuk dicampur dengan beras tempatan lolos dengan mudah.
Kegagalan itu hanya akan mengakibatkan berlaku penipuan harga komoditi itu sedangkan kualiti dinikmati pengguna tidak seperti sepatutnya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, isu mencampurkan beras berkualiti rendah dengan beras putih tempatan bukan perkara baru dan ia pernah dilaporkan media.
Katanya, sudah sampai masanya isu produk yang 'lolos' di PMU ini ditangani sebaiknya menerusi kaedah integrasi antara agensi kerana ia jelas menguntungkan sindiket semata-mata.
"Kita tidak tahu berapa lama kegiatan ini sudah dijalankan dan berapa banyak pula untung yang mereka buat dengan menipu pengguna.
"Seingat saya Harian Metro juga pernah buat isu beras campur sekitar 10 tahun lalu, nampaknya masih juga berlaku perkara seperti ini. Kita berharap, pihak berkuasa buka mata dan banteras kegiatan ini betul-betul. Buat sampai terbongkar sepenuhnya kegiatan tidak bertanggungjawab ini," katanya.
Nadzim berkata, pihaknya juga akan membawa isu ini kepada pihak berwajib dalam masa terdekat kerana menjangkakan lebih banyak manipulasi dilakukan terutama menjelang musim perayaan.
"Tak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Selain harga barang, kegiatan seperti ini juga dijangka akan bertambah. Jadi perlu tindakan segera," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
CAMPUR BERAS DEDAK HAIWAN DEMI NAK UNTUNG
https://www.hmetro.com.my/utama/2024/02/1063731/campur-beras-dedak-haiwan-demi-nak-untung
No comments:
Post a Comment