Monday, September 25, 2023

MAIN PERANAN DALAM ISU PELARIAN, JANGAN HUKUM MEREKA - SINAR HARIAN - 25/09/2023

 

KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu memainkan peranan besar dalam menyantuni isu pelarian di negara ini dan tidak terus menghukum golongan berkenaan termasuk desakan untuk mengusir mereka keluar.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pelarian ini terpalit dengan pelbagai persepsi buruk oleh masyarakat awam sedangkan yang melakukan kesalahan atau jenayah itu hanya segelintir kecil.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa memang wujud segelintir pelarian yang terbabit dengan kegiatan jenayah seperti yang dipaparkan oleh media arus perdana.

"Namun, ia tidak memberi gambaran keseluruhan bahawa semua pelarian begitu (terbabit dengan jenayah) dan masyarakat awam kita perlu lebih objektif dalam menilai sesuatu perkara.

"Jika kita lihat, pelarian yang ada di negara ini bukan saja daripada Rohingya (Myanmar), sebaliknya ada juga pelarian daripada negara Timur Tengah.

"Mereka ini lari menyelamatkan diri ke negara kita kerana sudah tidak ada kehidupan di negara mereka sendiri atau keselamatan mereka terancam oleh kepelbagaian masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika 'Dialog Kerjasama Kemanusiaan: Laporan Berita Seimbang Mampu Selamatkan Nyawa' anjuran Kelab Kebajikan Anak Kami bersama Kelab Wartawan Kuala Lumpur Selangor (KLS) di Kolej Universiti Saito, di sini.

Ahli panel lain antaranya Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengasas Kembara Kitchen, William Cheah.

Moderator yang mengendalikan dialog tersebut ialah wartawan veteran, Syahril Kadir.

Menyentuh laporan berita isu pelarian di media arus perdana, Yusmizal berkata, media sememangnya memberi laporan yang seimbang termasuk sisi positif.

Beliau yang juga pemenang Anugerah Kajai 2022 berkata, kebanyakan persepsi yang terhasil adalah berpunca daripada segelintir kecil pelarian yang terbabit dengan isu jenayah.

"Kebanyakan persepsi umum ini tercipta daripada pembabitan jenayah atau salah laku dalam kalangan pelarian sehingga mencetuskan penolakan terhadap golongan berkenaan.

"Kita perlu akui bahawa memang wujud insiden jenayah membabitkan pelarian dan pada masa sama, kita juga perlu bersikap adil dalam menilai bahawa tidak semua pelarian sebegitu," katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

MAIN PERANAN DALAM ISU PELARIAN, JANGAN HUKUM MEREKA

https://www.sinarharian.com.my/article/280549/berita/nasional/main-peranan-dalam-isu-pelarian-jangan-hukum-mereka

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...