Tuesday, September 19, 2023

JANGAN AMBIL MUDAH SOAL LESEN TAMAT TEMPOH, INSURANS - KOSMO - 18/09/2023

 

KISAH penunggang p-hailing yang tular apabila motosikalnya di­sita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan antara kisah yang menjadi perbualan hangat netizen.

Belum pun reda cerita peserta Yamaha RXZ Members 5.0 yang ‘dipukat’ pihak berkuasa di Terengganu, timbul pula siri motosikal disita serentak itu berduyunlah rakyat jelata menjadi pakar dan menghukum.

‘Niat tidak menghalalkan cara’ mungkin bidalan paling sesuai berhubung dua kisah ini.

Penting untuk kita tahu bahawa dalam kes rider tersebut, motosikal disita disebabkan lesen motor tamat tempoh dan tiada insurans.

Lesen motor setahun hanya bernilai RM30, cukai jalan dan insuran paling murah RM125 untuk setahun jika cc bawah 150.

Pihak JPJ dalam kenyataan memaklumkan penyitaan motosikal lelaki terbabit dilakukan bagi menjaga keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilin­dungi insuran.

Betul ketika ini ramai yang susah tetapi adakah untuk mencari rezeki kita perlu perjudikan nyawa menunggang motosikal tanpa sebarang perlindungan.

Bagaimanapun situasi lebih parah, apabila kisah rider ini ibarat bola tanggung kepada pempengaruh yang berlumba-lumba membantu tanpa melihat kepada isu sebenar.

Benar ramai dalam kalangan kita simpati tetapi apa yang menjadi isu adalah cukai jalan mati dan perlindungan insu­rans.

Jadi kenapa pula perlu diberi motosikal baharu bukannya dibantu membayar saman dan memperbaharui lesen serta insurans, itu lebih wajar dan tepat.

Adakah selepas ini mereka mampu menghidupkan lesen dan insurans.

Bagaimanapun, benarlah semua ada hujah tersendiri.

Berita mengenai golongan penunggang p-hailing terbabit kemalangan banyak dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Di sebalik ramai dalam kalangan mereka berhati-hati di jalan raya, masih ada juga sesetengah yang tidak menitikberatkan soal keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ada yang menyatakan, ‘rider’ ini perlu mengejar order yang banyak dalam masa sehari. Tapi adakah ini juga alasan untuk mereka terus abaikan keselamatan diri dan orang lain?

Dalam Islam sendiri telah mengajar umatnya dengan melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang lain di persekitarannya, sama ada keluarga, masyarakat mahupun orang ramai tanpa mengira perbezaan agama.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan bahawa ke­selamatan diri dalam kalangan pekerja penghantar makanan ini perlu dititik berat dalam tugas harian mereka.

“Banyak kemalangan yang berlaku kebelakangan ini, jangan hanya kejar pesanan sehingga keselamatan diri kita sendiri terabai, ramai yang saya tahu lesen motosikal pun tiada cukai jalan sama sekali.

“Jika apa-apa berlaku ia kosong, jadi kita nak salahkan siapa lagi? Kita perlu ikhlas dalam mencari rezeki, kita turun kerja sebab nak jaga keluarga. Ramai yang abaikan soal keselamatan ini demi mengejar pesanan, itu sememangnya salah,” katanya.

Soal keselamatan dalam menjalankan pekerjaan adalah salah satu perkara yang paling pen­ting untuk ditekankan oleh setiap dari kita. Jangan ambil mudah.

Hendaklah diingat bahawa kese­lamatan bukanlah sesuatu yang diperoleh setelah mati.

Artikel oleh: Kosmo

JANGAN AMBIL MUDAH SOAL LESEN TAMAT TEMPOH, INSURANS

https://www.kosmo.com.my/2023/09/18/lesen-insurans-tiada-tapi-dapat-motosikal/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL