Tuesday, September 26, 2023

MALAYSIA PERLU BANTAH WHO CA+, PINDAAN IHR 2005 - HARIAN METRO - 26/09/2023

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut kerajaan turut membantah Pandemik Triti Pertubuhan Kesihatan Sedunia Perjanjian Konvensyen (WHO CA+) dan pindaan Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) kerana dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, Malaysia harus tegas dan wajib menolak pindaan IHR 2015 sebelum 1 Disember depan iaitu tarikh akhir bantahan supaya negara tidak dijajah anasir luar.

Menurutnya, sekiranya usaha itu gagal, WHO boleh mengambilalih pemerintahan sekali gus mengetepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan kerajaan termasuk dalam membuat keputusan berkaitan pengisytiharan pandemik serta darurat.

"Jika berlaku (pindaaan IHR 2005) dan tidak dibantah Perdana Menteri, kita akan terikat dengan terma serta syarat IHR 2005.

"Ia akan beri kuasa kepada WHO untuk ambil alih (negara) jika rasa negara ini perlu diselamatkan dengan cara dia (WHO).

"Kita hanya rakyat biasa tetapi melihat perkara ini amat bahaya dan mencabar institusi negara apabila sampai tahap Agong (Yang di-Pertuan Agong) tak boleh bantah (selepas pindaan dibuat). Kenapa nak bagi orang lain jaga keselamatan negara kita?".

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ahmad Jufliz Faizal; Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Masridzi Sat dan Penasihat PPIM, Datuk Asri Yusof.

Menurut Nadzim, memorandum bantahan itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesemua pejabat Ahli Parlimen.

"Minta semua Ahli Parlimen walaupun berlainan parti supaya bersatu demi keselamatan dan kedaulatan negara.

"Perjanjian itu akan menambah skop kuasa WHO dalam situasi yang bukan hanya membabitkan risiko kesihatan awam, malah menggugat kebebasan dan hak asasi rakyat malah kedaulatan negara, Raja-Raja Melayu serta Yang Di-Pertuan Agong boleh terancam," katanya.

Sementara itu, Ahmad Jufliz menyokong sepenuhnya usaha PPIM dalam membawa suara rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menghantar memorandum kepada Al-Sultan Abdullah.

"Ia kerana pindaan (IHR 2005) boleh menjejaskan kuasa dan melucutkan kuasa Tuanku (Yang Di-Pertuan Agong).

"Jika kerajaan hari ini gagal membantah, dikhuatiri pindaan itu akan berkuat kuasa pada Mei tahun depan," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

MALAYSIA PERLU BANTAH WHO CA+, PINDAAN IHR 2005

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/09/1013607/malaysia-perlu-bantah-who-ca-pindaan-ihr-2005

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...