Friday, September 8, 2023

MODUL HADIS 40: PPIM BIDAS KENYATAAN ARUN DORASAMY - SINAR HARIAN - 08/09/2023

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengecam tindakan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy yang mempertikai dan membantah modul asal Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, dakwaan Arun mengenai lima hadis dikeluarkan termasuk hadis kelapan daripada hadis 40 itu juga sebagai melampau.

"Sebagai seorang peguam, Arun sepatutnya lebih cerdik dalam mengeluarkan kenyataan.

"Adakah KPM terlalu dungu sehingga tunduk kepada orang bukan Islam yang cuba menentukan ajaran Islam mana yang boleh diterima oleh umat Islam negara ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Arun membuat hantaran di laman Facebook menyatakan KPM telah mengeluarkan lima hadis antaranya yang kelapan melibatkan hadis perintah ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW untuk memerangi manusia yang belum bersaksi bahawa tiada tuhan selain ALLAH dan Muhammad utusan ALLAH sehingga mereka menerima Islam, mendirikan solat dan membayar zakat.

Dalam pada itu Nadzim menegaskan, Malaysia tidak akan mencapai keamanan dan rakyatnya pula tidak hidup dalam harmoni sekiranya orang bukan Islam terus menekan dan membuat provokasi terhadap agama itu.

Justeru katanya, PPIM akan terus mempertahankan agama Islam dalam apa juga keadaan dan meminta semua umat Islam turut berbuat demikian

"Tindakan Arun sama seperti (jika) umat Islam menyatakan ajaran agama Hindu salah dan tidak boleh diajar kepada orang beragama Hindu.

"(Atau) Ajaran Hindu itu boleh merosakkan perpaduan, jika itu yang dikatakan umat Islam, apakah Arun akan terima," ujarnya.

Artikel oleh: Sinar Harian

MODUL HADIS 40: PPIM BIDAS KENYATAAN ARUN DORASAMY

https://www.sinarharian.com.my/article/277867/berita/nasional/modul-hadis-40-ppim-bidas-kenyataan-arun-dorasamy

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL