SHAH ALAM - Sudah tiba masanya semua pekerja dalam sektor gig ekonomi mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun semua pemandu dan penunggang e-hailing sebelum ini diwajibkan mencarum dengan SKSPS, pihaknya dimaklumkan dua mangsa yang turut terkorban terdiri daripada penghantar makanan dalam talian dan pemandu e-hailing yang terkorban dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, di sini tidak membuat caruman.
Justeru menurutnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu lebih tegas dengan majikan atau penyedia perkhidmatan sektor ekonomi gig atau lejang untuk memastikan semua pekerja mereka sentiasa dilindungi.
"Dalam kita bersedih dengan kejadian yang menimpa saudara Islam kita, saya bersimpati dan sedih mengenang nasib keluarga mereka yang ditinggalkan.
"Semua pihak harus lebih proaktif dalam memastikan semua rakyat Malaysia yang bekerja di dalam sektor apa sekalipun mencarum dengan Perkeso untuk perlindungan mereka.
"Jika mereka hanya pekerja separuh masa, pastikan sedikit wang hasil pendapatan dicarumkan walaupun RM2 bagi memastikan nasib mereka terbela jika berlaku apa-apa musibah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Seramai 10 mangsa maut terdiri daripada enam penumpang, dua kru pesawat, termasuk dua orang awam yang secara kebetulan melalui lokasi nahas berkenaan dalam kejadian pada jam 2.40 petang Khamis.
Dua mangsa awam adalah penghantar makanan dalam talian, Foodpanda Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh dan pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari.
Selain itu, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turutmengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat jenis jet peribadi yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang.
Ia kemudiannya, mendapat kebenaran untuk mendarat Lapangan Terbang Sultan Abdul AzizShah, di Subang namun terhempas tiga minit sebelum mendarat.
Artikel oleh: Sinar Harian
PASTIKAN PEKERJA SEKTOR GIG EKONOMI CARUM PERKESO - PPIM
No comments:
Post a Comment