Wednesday, August 30, 2023

HADIS 40 DI SEKOLAH: PPIM, FIRDAUS WONG PESAN NGO BUKAN ISLAM JANGAN MASUK CAMPUR - XKLUSIF - 24/08/2023

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam khususnya dalam pelaksanaan subjek berkaitan hadis di sekolah bagi pelajar Islam.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

“Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu,” katanya.

Terdahulu MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari  Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Sementara itu, Nadzim menegaskan mereka tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan terhadap agama Islam.

“Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut senada dengan Nadzim, pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung menegaskan walaupun hak MCCBCHST sebagai rakyat untuk bersuara dan mempertahankan hak, tetapi tetap perlu berpada-pada.

“Apakah mereka fikir hanya mereka sahaja yang ada hak dan sensitiviti tetapi kami sebagai muslim tiada hak dan tiada sensitiviti?

“Bila muslim protes, kami pula dituduh ekstrim, mudah keliru dan sensitif tetapi bila mereka protes itu untuk melindungi hak mereka. Apa punya’ double standard’?”

“Mereka pula sibuk nak tentukan apa muslim boleh buat dan perlu buat sedangkan apa yang nak dilakukan muslim tak bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Firdaus secara sinis berkata, sekiranya umat Islam melakukan perkara sama dengan masuk campur urusan agama lain ibarat kecoh satu dunia malah mungkin ribuan laporan polis dibuat.

“Kami muslim tak pernah masuk campur dalam urusan agama kamu kerana menghormati hak kamu tetapi tolonglah, hormati juga hak dan sensitiviti kami!

“Saya berharap pihak berkuasa ambil tindakan tegas terhadap NGO ini kerana bukan sekali dua dah mereka masuk campur urusan agama Islam. Bukankah ini juga isu 3R?” soalnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying sebelum in berkata berkata Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu melancarkan modul itu memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Xklusif

Artikel oleh: Xklusif

HADIS 40 DI SEKOLAH: PPIM, FIRDAUS WONG PESAN NGO BUKAN ISLAM JANGAN MASUK CAMPUR

https://xklusif.my/hadis-40-di-sekolah-ppim-firdaus-wong-pesan-ngo-bukan-islam-jangan-masuk-campur/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL