JANGAN ‘menghalang’ dan masuk campur urusan S******* jika tak nak hidup susah. Itu ugutan yang diterima aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Mazlina Abu Bakar, malam Ahad lalu.
Amaran itu ditulis di atas sehelai kertas dan dilekatkan bersama sebilah pisau selain tulisan ‘Warning’ berwarna merah ditemui di pintu rumah wanita berkenaan di Bukit Antarabangsa, Ampang.
Dr Mazlina berkata, amaran berkenaan mempunyai kaitan dengan kes yang cuba diselesaikan PPIM di bawah kendaliannya di mana ramai mangsa yang muflis akibat terpedaya dengan syarikat berkenaan.
“Kes ini dipercayai membabitkan satu isu perumahan di Selangor. Selepas PRU (Pilihanraya Umum) saya berhenti sekejap mengendali kes ini, sebelum kembali agresif sejak beberapa minggu lalu.
“Saya memang terkejut apabila melihat kertas amaran itu di pintu rumah sebaik pulang dari rumah ibu. Laporan polis dibuat pada malam (Ahad) itu juga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial mendakwa aktivis berkenaan diugut pihak yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kes yang dikendalikan PPIM dengan melekatkan surat amaran bersama pisau.
Dr Mazlina berkata, dia akan terus mengendalikan kes berkenaan walaupun menerima ugutan dan mengakui ia kali pertama dirinya menerima amaran sedemikian.
“Bukan nak kata serik, tapi saya cuma bimbangkan keselamatan anak saya selain memikirkan situasi suami sebagai penjawat awam,” katanya.
Katanya, satu sidang media akan diadakan esok untuk menceritakan lebih lanjut berhubung kejadian selepas mendapat nasihat daripada Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Artikel oleh : Harian Metro
BUKAN MAIN LAGI !
No comments:
Post a Comment