Thursday, November 1, 2018

4696) IBU ANGKAT SANGGUP KORBAN APA SAJA ASALKAN ANAK SAKIT JANTUNG TERIMA RAWATAN TERBAIK – HARIAN METRO – 1/11/18


Pegawai Khas Ketua Aktivis (Komunikasi) PPIM, Jan Fazal Ladi (kiri) ketika melawat Muhammad Syafiq Khalish sambil diperhatikan Normarlina.
“Kami ambil tanggungjawab untuk jaga anak sejak dia bayi lagi selepas dilahirkan ibunya. Kami juga sudah rasa dia macam anak kandung sendiri.
“Kalau perlu, saya sanggup berkorban apa saja meskipun membahayakan nyawa sendiri asalkan dia menerima rawatan terbaik dan kembali pulih,” kata Normarlina Ahmad Mukhtar, 43.
Wanita itu berazam untuk melakukan apa saja ikhtiar demi kebaikan anak angkatnya, Muhammad Syafiq Khalish Rizal Abdullah, 2, yang mengalami masalah Tetralogy of Fallot (TOF) atau penyakit jantung konginetal sianotik.
Masalah kesihatan Muhammad Syafiq Khalish bertambah serius apabila hasil pemeriksaan terkini di Hospital Serdang, minggu lalu, mengesan berlaku pendarahan pada otaknya.
Menurut Normarlina, dia dan suaminya, Rosrizal Baharuddin, 43, mengambil Muhammad Syafiq Khalish sebagai anak angkat selepas ibu kandung kanak-kanak itu yang berasal dari Indonesia pulang ke negara asal.
Katanya, ibu kandung Muhammad Syafiq Khalish bersetuju menyerahkan kanak-kanak itu kepada mereka selepas dilahirkan pada 3 Februari 2016 kerana berdepan masalah kewangan.
“Selepas usianya memasuki 10 hari, Muhammad Syafiq Khalish dikesan menghidap masalah jantung dan sejak itu, dia kerap dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan dan dipantau doktor.
“Pada 20 Oktober lalu, dia sekali lagi dimasukkan ke Hospital Serdang kerana mengalami demam berpanjangan dan sampai hari ini (semalam), dia masih ditahan di Wad Pediatrik.
“Hasil ujian dijalankan doktor mengesahkan berlaku pendarahan pada otak Muhammad Syafiq Khalish menyebabkan kepalanya membesar satu sentimeter,” katanya di Hospital Serdang, di sini, semalam.
Menurutnya, pembedahan bagi merawat pendarahan pada otak Muhammad Syafiq Khalish sukar dan berisiko tinggi berikutan kanak-kanak itu menghidap penyakit jantung.
Katanya, sejak disahkan mengalami pendarahan pada otak, Muhammad Syafiq Khalish semakin kerap mengalami sawan.
“Keadaan anak tidak menentu, dalam sehari dia pernah mengalami sawan sebanyak tujuh kali.
“Kami dimaklumkan peluang untuk Muhammad Syafiq Khalish kembali pulih amat tipis dan perlu ditempatkan di wad untuk pemantauan doktor,” katanya.
Normarlina berkata, kos perubatan Muhammad Syafiq Khalish amat tinggi kerana kanak-kanak itu bukan pemegang status warga negara Malaysia.
Kerani di sebuah syarikat swasta itu berkata, dia terpaksa mengambil cuti untuk menjaga Muhammad Syafiq Khalish di wad.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank CIMB milik Normarlina, 7015067070.

Artikel Oleh : Harian Metro
IBU ANGKAT SANGGUP KORBAN APA SAJA ASALKAN ANAK SAKIT JANTUNG TERIMA RAWATAN TERBAIK



No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL