Monday, November 5, 2018

4699) MEKANISME PEMBERIAN BSH PERLU DIUBAH – BERITA HARIAN – 2/11/18


KUALA LUMPUR: Mekanisme pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) perlu diubah daripada berbentuk tunai kepada baucar yang lebih berguna untuk manfaat jangka masa depan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata untuk masa depan, kerajaan perlu melihat perkara itu penting dari segi impak jangka panjang berbanding bantuan wang tunai ‘on-off’ yang disalurkan kepada golongan B40.
“Kita tidak nafikan BSH yang disalurkan berjumlah sehingga RM1,000 digunakan rakyat untuk menampung perbelanjaan harian. Namun, dengan jumlah yang diberikan kerajaan ini, mereka mungkin menggunakan untuk tujuan lain termasuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat.
“Untuk masa depan, kerajaan perlu mengubah cara pemberian seperti baucar kesihatan, tuisyen, buku dan sebagainya,” katanya ketika menjadi panel dalam Bicara Bajet 2019 anjuran Kumpulan NSTP di Balai Berita, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Felo Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zulkiply Omar. Bicara Bajet 2019 dihoskan oleh Che Wan Badrul Alias dan Lidiana Rosli.
Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan meneruskan dan menambahbaik BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.
Bermula Januari 2019, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000; isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750; dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
Menyentuh mengenai cadangan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal, Nadzim berkata, mekanisme pelaksanaan penting untuk mengelakkan golongan tidak berkaitan turut menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan.
“Perkara ini sudah lama berlarutan. Jadi kerajaan memerlukan mekanisme yang sangat jelas untuk melaksanakan cadangan ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, terdapat juga perkara yang tidak ditekankan dalam pengumuman Belanjawan 2019 termasuk langkah pengenaan cukai kepada pekerja asing seperti mana rakyat Malaysia di negara ini.
“Kita lihat kerajaan bercadang untuk membantu sektor pertanian dengan mengurangkan kadar levi lanjutan bagi pekerja asing yang berkhidmat melebihi 10 tahun daripada RM10,000 setahun bagi setiap pekerja kepada RM3,500.
“Namun, kita tidak dapati bahawa pekerja asing ini juga perlu dikenakan cukai tertentu kerana mereka sudah dapat subsidi kerajaan dan menikmati segala kemudahan yang ada dalam negara secara percuma,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian

Mekanisme pemberian BSH perlu diubah

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL