Tuesday, November 6, 2018

4703) AGIHAN PERLU FOKUS GOLONGAN MEMERLUKAN – BERITA HARIAN – 5/11/18




PELBAGAI bantuan dan insentif diumumkan dalam Belanjawan 2019, khususnya untuk isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), sepatutnya tidak melekakan golongan berkenaan sehingga terlupa memajukan ekonomi keluarga.
Belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng petang Jumaat lalu, memang memberi banyak manfaat yang bakal dinikmati golongan itu, khususnya penambahbaikan Bantuan Sara Hidup (BSH), subsidi minyak serta elektrik dan perlindungan kesihatan.
Ada dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meniru insentif yang disediakan pentadbiran terdahulu, namun ia disangkal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan, bajet itu dirangka mengikut kemampuan kerajaan yang akan memastikan negara tidak lagi dibebani hutang berbilion ringgit seperti ditinggalkan kerajaan lama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyifatkan Belanjawan 2019, menunjukkan usaha kerajaan untuk tetap membantu rakyat walaupun negara kini berhadapan kekangan ekonomi.
Tak abai B40
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai menjelaskan, berdasarkan pelbagai insentif yang diumumkan, golongan B40 sekurang-kurangnya memperoleh manfaat sekitar RM500 sebulan.
Isi rumah B40 secara puratanya memperoleh pendapatan kurang RM2,000 sebulan, sedangkan perbelanjaan mereka lebih besar daripada pendapatan, iaitu sekitar RM2,530 sebulan. Bantuan itu dengan sendirinya mengurangkan bebanan mereka, sekali gus membuktikan kerajaan baharu tidak mengabaikan golongan terbabit.
“Bagaimanapun, mereka perlu berusaha meningkatkan ekonomi keluarga kerana bantuan itu bukan struktur berpanjangan yang dinikmati setiap tahun dan bukan juga untuk jangka panjang,” katanya.
Pelbagai bantuan dan insentif disalurkan mungkin bagi menghargai pengundi yang berjasa memilih PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.
Kalangan pemerhati menganggap ia sebagai sebahagian langkah untuk membalas budi rakyat kerana membantu kemenangan PH membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi peti undi untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Sebab itulah kerajaan melaksanakan sesuatu yang menarik menepati kehendak rakyat, bukannya mengabaikan mereka seperti didakwa pembangkang.
Sebagai kerajaan baharu yang membentangkan belanjawan sulung, pastinya PH memberikan sesuatu yang baharu dan menepati kehendak semua lapisan masyarakat untuk dikenang rakyat selama-lamanya sebagai pemberian yang sangat istimewa.
Bantuan, insentif luar jangka
Kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion dalam Belanjawan 2019, berbanding RM290.4 bilion dalam Bajet 2018 dengan RM259.8 bilion sebagai belanja mengurus dan RM54.7 bilion perbelanjaan pembangunan.
Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, belanjawan kali ini mencakupi tiga fokus dengan 12 strategi bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia, menggembirakan semua pihak, sama ada B40, golongan pertengahan mahupun berpendapatan tinggi.
Barjoyai sendiri mengakui beliau pada peringkat awal, terkejut dengan belanjawan berkenaan kerana sebelum pembentangan, Dr Mahathir dan Guan Eng memberi gambaran sebagai ‘belanjawan zaman susah’ dan tidak mahu mengumumkan pemberian baharu kepada rakyat.
Malah, mukadimah pembentangan belanjawan juga berkisar kepada masalah ekonomi dan obligasi kewangan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
Kerajaan turut meningkatkan kadar subsidi bil elektrik isi rumah daripada RM20 dan ke bawah kepada RM40 dan ke bawah, selaras hasrat melaksanakan subsidi bersasar, khusus kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih.
Bantuan berkenaan sekali gus memanfaatkan 185,000 akaun dengan peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan.
Namun, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bimbang bantuan dan insentif kepada kumpulan B40 akan menyebabkan mereka kurang produktif dan hanya mengharapkan insentif kerajaan semata-mata.
“Bantuan bagi meringankan beban isi rumah dalam mengharungi kehidupan di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar amat digalakkan, namun kita bimbang mereka tidak akan menghargainya malah akan bersenang-lenang tanpa perlu buat apa-apa,” katanya.
Meskipun negara dibelenggu pelbagai hutang, kerajaan masih cuba menyediakan belanjawan yang memberi manfaat kepada rakyat melalui pelbagai insentif.
Bagi anggota pasukan keselamatan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyifatkan belanjawan itu memanfaatkan 130,000 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Belanjawan 2019 juga kekal dengan peruntukan terbesar untuk bidang pendidikan, malah peratusan lebih tinggi daripada bajet tahun lalu. Ia jelas menunjukkan kerajaan terus memberi keutamaan kepada pihak yang memerlukan khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Penyaluran kena telus
Walaupun tidak diperincikan, bantuan buku teks, makanan tambahan dan tunai akan diteruskan, namun diharap penyaluran memberi fokus kepada masyarakat memerlukan dan tidak dibazirkan kepada golongan berkemampuan.
Peruntukan lebih besar juga dilihat untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah dengan dana RM652 juta, berbanding RM615 juta pada tahun ini. Ia termasuk RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara, selain masing-masing R50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah tahfiz serta RM25 juta untuk sekolah pondok berdaftar.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh juga tidak dipinggirkan yang membuktikan kerajaan prihatin dengan semua lapisan masyarakat.
“Memang wajar peruntukan lebih kepada Sekolah Kebangsaan (SK) supaya sekolah itu terus diperkasa dan diperhebatkan lagi,” kata Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Datuk Mohamad Ali Hasan.
Belanjawan 2019 ternyata merangkumi hampir semua pihak, namun paling penting adalah usaha menutup kepincangan dan ketirisan ditinggalkan kerajaan terdahulu untuk manfaat rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Artikel Oleh : Berita Harian
AGIHAN PERLU FOKUS GOLONGAN MEMERLUKAN

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL