Saturday, October 13, 2018

4668) NOTIS JABATAN PEMBANGUNAN KEMAHIRAN MENGELIRUKAN PELAJAR, IBU BAPA – BERITA HARIAN – 13/10/18



KUALA LUMPUR: Notis pembatalan program Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia ke atas sebuah kolej swasta pada Jumaat lalu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.
Ia berikutan pengesahan daripada pihak JPK yang memaklumkan penutupan kolej selepas sijil pertauliahan jabatan itu ditarik balik selepas hasil siasatan mendapati berlaku perlanggaran syarat oleh kolej berkenaan.
Presiden Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani berkata, ramai ibu bapa dan pelajar kolej berkenaan membuat aduan menyatakan kebimbangan mereka berikutan arahan pembatalan program dan pentauliahan daripada JPK itu tidak menyebut kolej ditutup.
Katanya, tanpa arahan ditutup, ia menunjukkan kolej itu dibimbangi masih boleh melaksanakan program lain dengan modus operandi sama.
“Srikandi bimbang taktik mendapat keuntungan mudah, menerusi wang pendaftaran serta sebahagian gaji bulanan dengan cara membekalkan pelajar dari kampung ke industri sebagai tenaga kerja murah hanya bertopengkan kursus seperti kulinari dan masakan.
“Model perniagaan seolah ejen mencari dan membekalkan pekerja tetapi secara haram kerana mereka tidak mendapat manfaat sebagaimana pekerja sepenuh masa.
“Ibu bapa terpedaya dan mengharapkan kerana iklan dan tawaran kolej yang mengatakan tidak perlu pinjaman PTPTN malah dapat elaun bulanan pula. Bagaimanapun, tiada tempat untuk jadi rujukan dan semakan semua pihak, tidak ada atau tidak diketahui laman web. Tiada pangkalan data mana-mana yang dibenarkan.
“Kerajaan digesa memandang serius isu ini kerana membabitkan kepentingan awam dan masa depan belia khususnya golongan miskin yang merasa diri mereka terpedaya,” katanya kepada BH.
Dalam pada itu, wartawan BH berpeluang meneliti surat arahan pembatalan program JPK kolej berkenaan yang diserah dan diterima pihak kolej petang Rabu lalu bagaimanapun pihak kolej ketika ditemui enggan mengulas lanjut surat berkenaan.
Seorang penjaga kepada pelajar, Zania Nuhdi, 57, berkata beliau terkejut kerana kolej berkenaan masih beroperasi seperti biasa.
“Orang ramai keliru kerana penutupan hanya pada program JPK bukan kolej,” katanya kepada BH.
Pihak JPK memaklumkan berikutan satu sahaja program ditawarkan di kolej berkenaan maka secara tidak langsung kolej itu ditutup.
BH melaporkan pengesahan penutupan atas arahan oleh Ketua Pengarah JPK, Nidzam Kamarulzaman berhubung surat pembatalan pentauliahan kepada Pusat Bertauliah berkenaan.
Laporan turut memetik beliau mengesahkan tindakan itu berkata, surat terbabit dikeluarkan atas arahan Seksyen 29 Akta 652 di mana kolej terbabit harus memulangkan semua sijil pentauliahan dalam tempoh tiga bulan.
BH pada minggu lalu membongkar operasi mencurigakan sebuah kolej swasta yang didakwa memperdaya pelajarnya melalui latihan praktikal bersama industri, untuk membekalkan mereka sebagai tenaga kerja murah.
Kolej berkenaan yang disahkan JPK menerima penarafan satu bintang bermaksud lemah, kini disiasat JPK selepas pendedahan susulan aduan diterima daripada pelajar yang mendakwa menjadi mangsa.
BH pada Isnin lalu JPK yang sudah memulakan siasatan susulan isu berkenaan yang didedahkan BH, mengesahkan wujud perlanggaran kolej berkenaan yang menerima status penarafan satu berikutan kelemahan fasiliti dan operasi.
Semakan JPK mendapati hanya 25 pelajar didaftarkan kolej berkenaan sejak ia ditauliahkan pada 2016, dan mengikut syarat JPK tempoh latihan industri yang dibenarkan hanyalah antara 20 hingga 30 peratus sahaja.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah JPK, Nidzam Kamarulzaman ketika ditemui BH berkata, siasatan mendapati hanya satu sahaja program yang ditawarkan kolej berkenaan setakat ini.
“Dengan arahan penutupan program berkenaan bermaksud kolej ditutup. Bagaimanapun jika ada program ditawarkan kolej, ia tidak tertakluk kepada akta JPK,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM, Datuk Nadzim Johan mengulas berdasarkan pengalaman lalu, penipuan bersistematik dan terancang membabitkan cerdik pandai ini memang sukar untuk dibanteras tanpa tindakan bersepadu semua pihak berkuasa yang terlibat.
“Ini bukan penipuan along, tetapi lebih menjurus penipuan terancang dan penipuan akademik sukar dibanteras. Apabila mangsa membuat laporan, akan berlaku tolak menolak antara polis, kolej, JPK, KPDNHEP, Kementerian Sumber Manusia dan sebagainya.
“Akhirnya mangsa mungkin boleh terlepas tetapi tidak terbela dan tidak mendapat keadilan undang-undang. Kita mengalu-alukan pelajar membuat laporan polis untuk tindakan secara undang-undang,” katanya.

Artikel oleh : Berita Harian
NOTIS JABATAN PEMBANGUNAN KEMAHIRAN MENGELIRUKAN PELAJAR, IBU BAPA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL