KUALA LUMPUR 23 Okt. – Soal kebersihan premis menjual makanan kendalian pekerja warga asing yang tular sejak akhir-akhir ini mencetuskan perdebatan umum tentang sejauh mana pekerja berkenaan benar-benar menitikberatkan aspek kebersihan.
Sektor makanan yang banyak menggunakan khidmat pekerja warga asing juga sepatutnya memberi penelitian penuh terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan supaya tidak dicemari bakteria berbahaya.
Sehubungan itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan bersikap proaktif mengambil langkah tegas termasuk menghentikan pengambilan pekerja asing dalam sektor makanan secara berperingkat.
Katanya, pengusaha restoran dan premis menjual makanan juga perlu mencontohi restoran makanan segera yang mengambil pekerja tempatan serta diberikan pelbagai manfaat lain seperti tempat tinggal.
“Kebanyakan pengusaha restoran tidak menggajikan pekerja tempatan kerana tidak mahu mengeluarkan belanja yang lebih untuk membayar gaji. Mereka tidak harus memikirkan tentang keuntungan semata-mata, tetapi perlu juga melihat kepada aspek kualiti terbaik kepada masyarakat.
“Malah, pekerja asing yang diambil bekerja oleh pengusaha restoran ini juga tidak diberi latihan pengendalian makanan yang betul, mengikut kepada syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, sebuah tempat penyediaan sate tulang popular di Seremban, Negeri Sembilan yang didapati kotor dikatakan dikendalikan oleh seorang wanita warga Indonesia dan beberapa pekerja dari negara tersebut.
Kes melibatkan soal kebersihan premis menjual makanan sehingga dipaksa tutup buat sementara waktu tular sejak beberapa bulan lalu termasuk sebuah restoran nasi daun pisang terkemuka di ibu negara apabila video pekerjanya mencuci pinggan menggunakan lopak air tersebar dalam media sosial.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pemilik atau pengusaha premis menjual makanan sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika pekerja mereka didapati melakukan perkara sedemikian.
“Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kesihatan negeri perlu bekerjasama dan memainkan peranan lebih tegas dengan membuat pemeriksaan berkala terhadap semua premis menjual makanan di kawasan mereka,” katanya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PEKERJA RESTORAN PENGOTOR?
No comments:
Post a Comment