Showing posts with label MTUC. Show all posts
Showing posts with label MTUC. Show all posts

Wednesday, October 24, 2018

4692) PEKERJA RESTORAN PENGOTOR? – UTUSAN MALAYSIA – 24/10/18


KUALA LUMPUR 23 Okt. – Soal kebersihan premis menjual makanan kendalian pekerja warga asing yang tular sejak akhir-akhir ini mencetuskan perdebatan umum tentang sejauh mana pekerja berkenaan benar-benar menitikberatkan aspek kebersihan.
Sektor makanan yang banyak menggunakan khidmat pekerja warga asing juga sepatutnya memberi penelitian penuh terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan supaya tidak dicemari bakteria berbahaya.
Sehubungan itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan bersikap proaktif mengambil langkah tegas termasuk menghentikan pengambilan pekerja asing dalam sektor makanan secara berperingkat.
Katanya, pengusaha restoran dan premis menjual makanan juga perlu mencontohi restoran makanan segera yang mengambil pekerja tempatan serta diberikan pelbagai manfaat lain seperti tempat tinggal.
“Kebanyakan pengusaha restoran tidak menggajikan pekerja tempatan kerana tidak mahu mengeluarkan belanja yang lebih untuk membayar gaji. Mereka tidak harus memikirkan tentang keuntungan semata-mata, tetapi perlu juga melihat kepada aspek kualiti terbaik kepada masyarakat.
“Malah, pekerja asing yang diambil bekerja oleh pengusaha restoran ini juga tidak diberi latihan pengendalian makanan yang betul, mengikut kepada syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, sebuah tempat penyediaan sate tulang popular di Seremban, Negeri Sembilan yang didapati kotor dikatakan dikendalikan oleh seorang wanita warga Indonesia dan beberapa pekerja dari negara tersebut.
Kes melibatkan soal kebersihan premis menjual makanan sehingga dipaksa tutup buat sementara waktu tular sejak beberapa bulan lalu termasuk sebuah restoran nasi daun pisang terkemuka di ibu negara apabila video pekerjanya mencuci pinggan menggunakan lopak air tersebar dalam media sosial.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pemilik atau pengusaha premis menjual makanan sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika pekerja mereka didapati melakukan perkara sedemikian.
“Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kesihatan negeri perlu bekerjasama dan memainkan peranan lebih tegas dengan membuat pemeriksaan berkala terhadap semua premis menjual makanan di kawasan mereka,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia
PEKERJA RESTORAN PENGOTOR?

Friday, January 26, 2018

4329) KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA JANGAN BERDIAM ISU LARANGAN BERTUDUNG – MALAYSIA GAZETTE – 25/1/18


KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia diminta tidak mengambil pendekatan ‘peluk tubuh’ sahaja berhubung isu larangan pemakaian tudung dalam kalangan pekerja hotel yang hangat diperkatakan sejak tahun lalu.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabanga Malaysia (Uni-MLC) Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, sikap membisu kementerian itu seolah-olah mencari jalan selamat tanpa satu penyelesaian.
Lantaran itu, Uni-MLC menggesa Kementerian Sumber Manusia mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa dua minggu ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
“Kementerian tidak boleh terus senyap dan hanya bercakap di surat khabar sahaja. Jumpa kita buat mesyuarat tergempar dan jangan hantar orang bawahan, menteri sendiri kena jumpa kita,” katanya.
Terdahulu Mohamed Shafie bersama-sama beberapa badan bukan kerajaan mengadakan sidang media untuk memastikan isu larangan pemakaian tudung pekerja-pekerja hotel tidak lenyap begitu sahaja.
Antara yang hadir ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, wakil dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Affendy Abdul Gani, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAQIF) Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim Nurul Syuhadah Shuib.
Beliau turut mendesak kementerian tersebut menyerbu hotel yang menguatkuasakan larangan itu sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP).
“Kementerian perlu serbu (hotel) jangan mengambil langkah selamat kerana ia hanya membangkitkan sentimen kemarahan orang ramai,” jelasnya.
Tambah Mohamed, menteri-menteri besar dan mufti di seluruh negara juga perlu memberi amaran keras terhadap hotel-hotel yang menindas pekerja-pekerja wanita Muslim.
“Menteri besar ni kita minta campur tangan juga, mereka pun berkuasa. Jangan diam,” tambahnya.
Nadzim dalam pada itu memberi amaran untuk melakukan demonstrasi di semua hotel yang mendakwa larangan itu adalah sebahagian daripada SOP yang disifatkan sebagai tidak wajar.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga perlu berganding bahu bersama-sama dalam bantahan ini dengan menarik semula sijil halal hotel terlibat.
“Kita nak anjurkan piket dan paling jelas kita mahu Jakim tarik sijil halal mana-mana hotel kurang ajar,” ujar beliau sambil mengajak semua pihak boikot hotel yang menindas para pekerjanya.
Sementara itu, Nurul Syuhadah pula mencadangkan melakukan pindaan Akta Kerja 1995 yang bakal etika berpakaian orang Muslim dalam Perlembagaan Persekutuan. –

Artikel Oleh : Malaysia Gazette
KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA JANGAN BISU ISU LARANGAN BERTUDUNG

4328) PERSATUAN HOTEL MALAYSIA MINTA TUNJUK SOP – BERITA HARIAN – 25/1/18



Kuala Lumpur: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mencabar Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) yang didakwa bertaraf global bagi melarang pekerja wanita bertudung bekerja di hotel.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, berkata sehingga kini MAH masih gagal menunjukkan SOP berkenaan yang menyebabkan diskriminasi kepada wanita bertudung untuk bekerja masih berlarutan.
Katanya, sehingga kini sebanyak 28 hotel bertaraf lima bintang dikenal pasti melarang kakitangan wanita memakai tudung dan ini seolah-olah bertentangan Perlembagaan Persekutuan yang mengamalkan kebebasan beragama dan menghormati agama lain.
“Kita tidak tahu motif sebenar peraturan itu ditetapkan di setiap hotel yang terbabit. Justeru, selagi tiada SOP ditunjukkan, kita menyeru pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menarik lesen hotel yang melarang pekerja wanita bertudung.
“Kedegilan pihak MAH bekerjasama dalam perkara ini membuatkan kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) tidak teragak-agak berpiket di depan hotel mereka, menyebarkan nama hotel atau membuat laporan polis,” katanya pada sidang media larangan pemakaian tudung bagi wanita yang beragama Islam bekerja di hotel, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Exco Hal Ehwal Wanita, Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Shuhadah Shuib dan Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani.
Mohamed Shafie berkata, beliau turut kesal dengan tindakan sambil lewa dilakukan Kementerian Sumber Manusia (KSM) terhadap isu ini yang dilihat seolah-olah memihak kepada pihak hotel.
“Ini bukan isu baharu, jadi kita berharap dalam tempoh masa terdekat ini, KSM akan memanggil semua pihak terbabit bermesyuarat dan melihat apakah penyelesaian yang boleh dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Dr Rafidah Hanim berkata, pihaknya mendapat lebih 20 aduan daripada pekerja hotel yang dinafikan hak memakai tudung biarpun sudah hampir 27 tahun bekerja.
“Kami juga mendapat aduan daripada pelajar yang ingin menjalankan latihan industri tidak diterima atas alasan sama, walhal di universiti sudah banyak kursus menawarkan bidang hospitaliti dan kulinari.
“Situasi ini boleh menyebabkan masalah mental kerana perasaan kecewa menguasai diri individu berkenaan, tertekan dan rasa seperti tidak dihargai. Persoalannya adakah rambut lebih penting daripada kemahiran mereka,” katanya.

Artikel Oleh : Berita Harian
PERSATUAN HOTEL MALAYSIA DICABAR TUNJUK SOP

4327) SELESAIKAN SEGERA ISU TUDUNG – UTUSAN MALAYSIA – 26/1/18





KUALA LUMPUR 25 Jan. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan sekerja berpe­ngaruh di negara ini memberi kata dua kepada Kementerian Sumber Manusia supaya menyelesaikan segera isu larangan pekerja Islam bertudung di sektor perhotelan tanpa perlu menunggu sehingga Akta Kerja 1955 dipinda.
Menyifatkan proses perunda­ngan bakal mengambil masa panjang, pertubuhan terbabit diketuai Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu kementerian terlibat mengarahkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) membatalkan serta-merta lara­ngan yang jelas bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Presiden ­UNI-MLC, Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, lima pertubuhan ini termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memberi tempoh dua minggu kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menga­turkan pertemuan bersama dengan MAH untuk cari jalan keluar segera kepada isu ini.
Katanya, apa yang dimahukan adalah jelas iaitu larangan ini mesti ditarik balik dan pekerja Islam di semua hotel antarabangsa atau tempatan dibenarkan memakai tudung seperti mana yang dijamin hak mereka dalam Perlembagaan.
“Kami mendesak tindakan segera, sebab kalau tunggu Akta Pekerjaan 1955 dipinda, ia akan melibatkan beberapa perkara lain seperti waktu solat bagi pekerja, penyediaan surau di tempat kerja dan lain-lain. Jadi ia akan mengambil masa lama.
“Justeru, tindakan lebih tegas dan cepat dituntut sebab isu ini bukan perkara baharu dan masyarakat tertanya-tanya me­ngenai langkah yang diambil kerajaan. Jika tidak, kami akan ambil tindakan susulan lain termasuk membuat laporan polis dan ‘menyerbu’ hotel terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Setiausaha Kewangan MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani; Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti Wafiq, Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan Exco Hal Ehwal Wanita Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Suhadah Shuib.
Dalam masa sama, Mohammed Shafie berkata, pihaknya juga mencabar MAH supaya membuktikan wujudnya prosedur operasi standard (SOP) pekerja wanita di barisan hadapan dalam sektor perhotelan yang melarang mereka memakai tudung seperti didakwa.
“Jika benar SOP itu wujud, adakah ia boleh mengatasi Perlembagaan? Kementerian Sumber Manusia perlu bertindak ke atas hotel-hotel tersebut kerana mereka mencabar Perlembagaan negara selain mewujudkan sentimen kemarahan,” katanya.
Sementara itu, Nadzim menyifatkan 87 hotel bertaraf empat dan lima bintang yang kononnya mempunyai SOP tersebut sebagai kurang ajar dan tidak mempunyai etika, sekali gus menggesa seluruh masyarakat supaya memboikot kesemua hotel tersebut.
“Sekiranya tiada tindakan dalam tempoh terdekat, kami merancang untuk membuat piket bagi membantah SOP tersebut selain mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pihak berkaitan supaya menarik balik sijil halal yang dikeluarkan kepada hotel yang terlibat.
“Kita hendak tengok sejauh mana pengusaha hotel-hotel ini bertahan. Mereka ambil sijil halal tapi menekan hak asasi pekerja. Sepatutnya kalau larang pekerja wanita memakai tudung, pelanggan yang memakai tudung pun perlu dihalang daripada makan di situ,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
SELESAIKAN SEGERA ISU TUDUNG

Thursday, December 12, 2013

1031) UTUSAN MALAYSIA 12/11/2013 AMBIL TINDAKAN TEGAS -MTUC-






KUALA LUMPUR 11 Dis. - Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang mengamalkan diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja seperti mensyaratkan penguasaan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan berkata, amalan diskriminasi seperti itu seharusnya tidak berlaku lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

"Kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk mengawal perkara ini daripada terus berlaku kerana jika dibiarkan boleh mencetuskan isu perkauman.

"Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan juga ada menyentuh tentang kesamarataan dan menyebut tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras dan keturunan dalam mana-mana perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) yang menerima banyak aduan daripada golongan muda Melayu yang mendakwa mereka didiskriminasi oleh majikan bukan Melayu.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anuar Rahmat memberitahu, aduan yang banyak diterima adalah berkaitan syarat untuk diterima bekerja iaitu mesti mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin atau Kantonis.

Mohd. Khalid berkata, majikan bukan Melayu tidak seharusnya meletakkan syarat tersebut sebagai syarat kelayakan untuk diterima bekerja, sebaliknya mahir berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris sudah cukup memadai untuk diambil bekerja.

"Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi manakala bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua, ini sudah cukup untuk diterima bekerja," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara tersebut dalam konteks memastikan perpaduan dapat dikongsi secara inklusif, adil dan saksama.


"Perkara itu sudah berlarutan, jelas menunjukkan majikan berkenaan telah mewujudkan amalan diskriminasi yang melanggar dasar negara dalam mewujudkan integrasi antara kaum," katanya.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL