KUALA LUMPUR: Keputusan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermula Januari tahun depan dianggap tidak menyeluruh kerana tidak membabitkan aktiviti menghisap vape.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun menghisap vape tanpa nikotin, ia tetap dianggap sebagai perbuatan yang mengganggu keselesaan orang sekeliling.
Katanya, asap tebal antara faktor mewajarkan vape untuk turut diharamkan di restoran dan premis makanan.
“Tiada siapa tahu sama ada kandungan vape itu mempunyai nikotin atau tidak dan tiada siapa pun akan memeriksa, namun untuk menjadikan peraturan larangan merokok itu berjaya, penguatkuasaan larangan vape juga perlu dilaksanakan.
“Arahan dan penguatkuasaan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) haruslah jelas dan menyeluruh supaya ramai yang bimbang akan disaman.
“Larangan merokok di kawasan rawat dan rehat (R&R) juga masih tidak dapat dilaksanakan, maka eloklah arahan itu dijelaskan semula dan menyeluruh,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, dilaporkan berkata larangan merokok tidak diperluaskan kepada penghisap vape berikutan tiada undang-undang berkaitan kecuali jika vape itu mengandungi nikotin.
Larangan merokok meliputi semua restoran berhawa dingin dan tidak berhawa dingin, kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan gerai jalanan.
Mereka yang melanggar undang-undang boleh didenda sebanyak RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.
Restoran yang didapati tidak menguatkuasakan larangan itu akan dikenakan denda RM2,500.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad, berkata perbuatan menghisap vape sama seperti merokok tembakau, namun asap dihasilkan dari keduanya berbeza dan memiliki kandungan berbeza.
Katanya, asap yang dihasilkan vape berasal dari cairan yang dipanaskan hingga berubah menjadi wap, kemudian wap itu dihisap sebagai pengganti asap rokok tembakau dan biasanya mempunyai perisa buah-buahan.
“Namun kadang kala, dicampurkan dengan nikotin bagi menambahkan keseronokan ketika menghisap vape yang mana ia ditambah pada kadar berbeza-beza antara dua miligram (mg) sehingga lapan mg bagi setiap mililiter (ml) cairan vape.
“Pada amnya menghisap vape yang tiada nikotin adalah suatu yang tidak berbahaya berbanding dengan menghisap rokok atau vape yang bernikotin.
“Namun asap vape yang banyak juga mengganggu kesihatan terutama sistem pernafasan orang di sekeliling. Malangnya tiada cara yang mudah dan ringkas untuk membezakan vape yang digunakan mengandungi nikotin atau tidak,” katanya.
Dr Zubaidi berkata, seorang mungkin boleh mengaku, vape yang dihisap tidak mengandungi nikotin, pada hal ia ada sama ada dalam dos yang tinggi atau rendah.
“Ia tetap memberikan kesan buruk pada orang sekeliling terutama kanak-kanak dan bayi, pesakit kronik, pesakit asma dan paru-paru, wanita hamil dan warga emas.
“Nikotin diketahui sebagai bahan berbahaya yang mengganggu kesihatan, khususnya terhadap jantung, saluran darah dan paru-paru.
“Justeru saya berpendapat, KKM harus bertegas terhadap larangan ini. Pengharaman rokok seharusnya membabitkan pengharaman vape termasuk yang tiada nikotin,” katanya.
Artikel Oleh : Berita Harian
SYOR LARANGAN VAPE DI RESTORAN, PREMIS MAKANAN
No comments:
Post a Comment