Kuala Lumpur: Seorang aktivis berputih mata apabila mendapati kediamannya bernilai RM1.7 juta di Shah Alam, dipindah milik kepada sebuah syarikat pembangun aplikasi.
Mangsa, Hafizah Abdul Latiff, 51, berkata dia hanya menyedari perkara itu awal tahun ini selepas melakukan carian rekod di Pejabat Tanah dan Galian (PTG), yang kemudian mengesahkan hartanah itu di bawah nama syarikat yang beroperasi di Seri Kembangan, di sini.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa pertukaran hak milik kediaman dua tingkat yang dimilikinya sejak dua dekad lalu itu berlaku melalui penyelewengan dokumen, berikutan tidak pernah menurunkan tanda tangan untuk sebarang pemindahan hak milik.
“Pada Ogos 2016, suami saya mendakwa mendapat suntikan modal RM180,000 daripada syarikat pembangunan aplikasi berkenaan kononnya untuk memulakan perniagaan, dengan rumah terbabit dijadikan sebagai cagaran melalui perintah kaveat.
“Selepas tiga bulan, suami gagal membayar balik pinjaman itu dan pada Disember 2017, saya mendapat tahu pinjaman bank untuk kediaman itu sudah dibayar sepenuhnya,” katanya kepada BH dalam satu pertemuan yang turut disertai wakil daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, semalam.
Hafizah yang juga Presiden Persatuan Perjuangan Hak Wanita, berkata beliau sudah diberikan arahan mengosongkan kediaman terbabit, malah iklan jualan hartanah turut diletakkan syarikat terbabit.
“Saya kini tertekan dengan kehilangan rumah dan akan dihalau bersama dua anak kecil berusia lapan dan dua tahun, manakala suami yang membuat pinjaman itu juga gagal dikesan sejak Jun lalu.
“Tidak cukup dengan itu saya berterusan diganggu pemiutang yang meletakkan beban pinjaman yang diambil suami atas nama saya,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Damansara pada 14 Ogos lalu.
Hafizah berkata, selain laporan polis beliau turut membuat akuan bersumpah serta mendaftar kaveat untuk hartanah berkenaan sebagai perintah halangan ke atas syarikat terbabit di PTG pada 16 Ogos lalu.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan daripada mangsa dan pihaknya akan menjalankan siasatan untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“PPIM ada menerima purata 15 kes pertukaran hak milik rumah setahun dengan jumlah keseluruhan membabitkan nilai puluhan juta ringgit, yang disyaki membabitkan taktik kotor untuk memperdaya pemilik asal,” katanya.
Artikel Oleh : Berita Harian
AKTIVIS HILANG RUMAH RM1.7J AKIBAT PINJAMAN SUAMI
No comments:
Post a Comment