Malahan, sebolehnya masyarakat cuba untuk mengelak daripada dikenakan cukai.
Cukai merupakan satu instrumen yang sangat diperlukan oleh sesebuah kerajaan dalam usaha membangunkan negara.
Kesemua negara di dunia mempunyai sistem cukainya yang tersendiri.
Di Malaysia sendiri terdapat beberapa jenis cukai yang dikenakan oleh kerajaan sama ada untuk individu dan juga peniaga.
Antara jenis cukai yang sering diperdebatkan di negara ini pada ketika ini adalah berkaitan cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kerajaan sebelum ini telah mengenakan GST sekitar tahun 2015.
Apabila kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan, mereka ingin kembali kepada SST.
Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, wujud beberapa kekeliruan dan salah tafsir mengenai GST yang memerlukan kepada penjelasan.
Jelasnya, penjelasan ini penting bagi merungkai kekeliruan yang dihadapi oleh rakyat mengenai GST.
“Terdapat tiga persoalan utama yang perlu dijawab. Pertama, benarkah cukai GST lebih mahal dan menekan kos pengeluar berbanding SST? Secara teknikalnya, cukai GST lebih murah berbanding SST.
“GST adalah cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah ataupun bahasa mudahnya margin keuntungan di setiap rantaian bekalan. SST pula cukai yang dikenakan ke atas harga jualan akhir barangan. Walaupun GST dikenakan pada setiap rantaian bekalan, ianya lebih kecil kerana dikenakan ke atas penjanaan nilai ditambah,” katanya.
Tambahnya, ramai keliru di dalam membuat perbandingan kaedah pengiraan GST dan SST.
Kekeliruan wujud juga disebabkan oleh penggunaan perkataan GST.
Di kebanyakan negara cukai ini dipanggil value added tax atau VAT.
Penggunaan VAT lebih tepat kerana maksudnya lebih jelas.
Mohd. Yusof berkata, jika GST lebih murah, kenapa harga barangan meningkat di pasaran sebelum ini adalah secara teknikalnya, kos cukai GST yang dibayar oleh pengeluar lebih rendah kerana ianya adalah cukai yang dikenakan ke atas nilai ditambah yang dijana pada setiap rantaian bekalan.
“Apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk turun. Secara praktikalnya, penurunan harga tidak berlaku selepas tiga tahun pelaksanaan GST.
“Kajian menunjukkan terdapat empat faktor mengapa harga terus meningkat selepas pelaksanaan GST. Pertama, kadar kepatuhan firma kepada sistem GST masih rendah. Tidak sampai 50 peratus daripada firma mendaftar di bawah sistem GST sedangkan andaian yang digunakan bila GST dilaksanakan ialah kepatuhan 100 peratus,” katanya kepada Kosmo!
Penguatkuasaan
Tambahnya, faktor kedua adalah disebabkan, penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berwajib menyebabkan berlakunya manipulasi harga di pasaran.
Ketiga, kadar pemahaman kepada sistem GST oleh firma, pengguna dan pihak berwajib masih rendah.
Mohd. Yusof berkata, bagi faktor keempat ia disebabkan tekanan harga bukan GST seperti nilai Ringgit yang lemah menyebabkan import menjadi mahal, upah minimum yang meningkatkan kos buruh dan struktur pasaran yang bersifat monopoli.
“Faktor pertama sehingga ketiga tidak lagi relevan apabila GST dihapuskan. Faktor keempat masih relevan walaupun GST dihapuskan. Impak ke atas harga akibat penghapusan GST mungkin tidak terkesan ataupun hanya minimal kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan kos pengeluaran akibat daripada kos import bahan mentah dan kos buruh.
“Selain itu, pasaran yang bersifat monopoli juga menekan sebahagian pengeluar untuk bersaing dengan lebih kompetitif. Rakyat dapat melihat walaupun pada masa kini tiada sebarang cukai dikenakan sama ada GST atau SST, harga barang di pasaran tidak menunjukkan tren yang menurun,” tegasnya.
Tambahnya tanggapan bahawa GST sebagai punca kenaikan harga adalah tidak tepat.
Namun akan timbul persoalan jika pengenalan semula SST akan menyebabkan harga meningkat?
“Wujud kecenderungan harga akan meningkat selepas pengenalan semula SST. Hal ini kerana kadar SST lebih tinggi berbanding GST dan ditambah dengan pengaruh faktor-faktor bukan cukai seperti yang diterangkan di atas,” jelasnya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, pelaksanaan SST menimbulkan kerisauan kemungkinan peningkatan harga barang.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kedua-dua sistem cukai iaitu GST dan SST mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.
Jelasnya, kenaikan harga barang di pasaran adalah disebabkan kesempatan yang diambil oleh peniaga apabila sesuatu sistem cukai itu dilaksanakan.
“Kita tengok dengan pelaksanaan sifar GST baru-baru ini terdapat harga barangan tidak diturunkan oleh peniaga.
“Malahan tidak mustahil peniaga ini juga yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi harga apabila SST dilaksanakan kelak,” jelasnya.
Tambahnya, apa yang penting sekarang adalah penguatkuasaan oleh pihak berkuasa haruslah lebih tegas.
Pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga apabila sistem cukai SST akan diperkenalkan kelak.