“Nak langsaikan hutang, kahwin dengan abang.” Itu ugutan seorang warga emas kepada ibu tunggal didakwa meminjam sejumlah wang daripadanya untuk dijadikan modal bagi mengembangkan perniagaan.
Tidak cukup dengan itu, ibu tunggal itu mendakwa warga emas berusia 80 tahun itu mengugut akan mengambil tindakan udang-undang selepas dia menolak lamarannya dan tidak melunaskan ‘hutang’ dituntut.
Salmiah Sharif, 42, berkata, pada Mei lalu warga emas itu datang ke kedai menjual pakaian wanita yang diusahakannya di Sri Rampai sebelum menawarkan bantuan modal kepadanya untuk mengembangkan lagi perniagaan.
Katanya, pada awalnya, dia menyangka lelaki itu ikhlas mahu membantunya, malah menganggap hubungan mereka sebagai adik dan abang berikutan jarak usia yang begitu jauh.
“Mula-mula saya tak mahu terima, tetapi lelaki itu memaklumkan dia hanya ingin membantu perniagaan saya. Kebetulan, saya menjaga anak tunggal yang menghidap masalah jantung.
“Menggunakan wang diberikan saya menambah stok pakaian. Malah, dia juga memberikan sebuah kereta untuk kegunaan saya berniaga,” katanya yang ditemui selepas membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Keramat Hujung di sini, semalam.
Ibu tunggal itu berkata, mereka juga berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan dia tidak menyangka lelaki itu menyimpan perasaan terhadapnya.
Dakwanya selepas lamaran ditolak secara baik, lelaki berkenaan mula mengungkit mengenai bantuan diberikan yang dianggar berjumlah RM10,000.
“Dia minta saya langsaikan hutang menyebabkan saya kebingungan kerana selama ini menganggap bantuan dihulurkan ikhlas. Malah saya tak pernah minta dia sendiri yang nak beri.
“Selepas itu saya terima surat daripada warga emas itu yang menuntut saya membayar semua wang diberikan atau berkahwin dengannya.
“Hidup saya jadi tak tenteram kerana perkara ini. Saya juga tidak tahu nak buat apa kerana bimbang dia akan mengganggu saya di kedai,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.
Sementara itu, aktivis PPIM, Azman Kang berkata, pihaknya sudah menghubungi lelaki berkenaan dan meminta supaya perkara itu diselesaikan dengan cara baik tanpa sebarang pergaduhan.
Beliau berkata, PPIM juga menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika berurusan dengan sesiapa saja terutama membabitkan wang ringgit kerana mempunyai implikasi lain seperti tuntutan dan sebagainya.
Artikel Oleh : Harian Metro
BANTUAN DIHULUR TERSELIT “HARAPAN”
BANTUAN DIHULUR TERSELIT “HARAPAN”
No comments:
Post a Comment