KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya campur tangan bagi menyelesaikan dan meneliti semula larangan pengambilan tukang masak asing di restoran-restoran tempatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran kelmarin.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Prisma), P. Muthusamy berkata, Perdana Menteri perlu campur tangan kerana isu tersebut melibatkan pelbagai pihak termasuk pengusaha, pekerja dan berjuta-juta pelanggan.
“Ia akan memberi kesan langsung kepada industri makanan dan minuman serta pelancongan di negara ini jika larangan pengambilan tukang masak asing dilaksanakan secara terburu-buru,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Tambahnya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Kulasegaran bagi membincangkan lebih lanjut berhubung perkara tersebut minggu depan.
Kosmo! semalam melaporkan Kulasegaran menggesa semua pengusaha di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing bermula 1 Julai ini.
Bagaimanapun, Kulasegaran memberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk pihak terlibat berbuat demikian sebelum larangan itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2019.
Menurut Muthusamy, Prisma sudah menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja dalam industri tersebut sejak beberapa tahun lalu dan peraturan baharu itu bakal merumitkan lagi keadaan.
“Dalam tempoh beberapa tahun lalu, ahli-ahli kami terpaksa menutup lebih 500 restoran kerana kekurangan tenaga kerja selain perlu membayar levi sebanyak RM2,085 bagi setiap pekerja asing,” ujar beliau.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya perlu menggantikan lebih 100,000 tukang masak sedia ada sekarang untuk bekerja di lebih 6,000 restoran Prisma di seluruh negara jika larangan itu dikuatkuasakan.
“Sebagai contoh, bagi restoran berkeluasan 20×80 kaki yang beroperasi 18 jam sehari, kita memerlukan tukang masak dan tukang bancuh air sehingga 20 orang.
“Restoran berkeluasan dua kali ganda yang beroperasi 24 jam sehari pula memerlukan pekerja dua kali ganda daripada jumlah tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, kajian menyeluruh harus dilakukan terlebih dahulu berhubung cadangan tersebut.
“Kita memang menyambut baik hasrat kerajaan untuk mengurangkan tenaga pekerja asing di negara ini, namun pelbagai aspek mesti diambil kira termasuk kebolehpasaran tenaga tempatan dan minat mereka untuk menceburinya,” katanya.
Ujar beliau lagi, sikap rakyat tempatan serta isu gaji dan ponteng kerja juga menjadi punca majikan sukar mengambil mereka bekerja.
Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan pula berpendapat, ekonomi industri makanan serta rangkaian restoran bakal lumpuh andainya larangan itu dilaksanakan.
“Beliau (Kulasegaran) sebagai menteri perlu bijak menangani masalah dan adil dalam pembangunan industri itu di negara ini.
“Di Pulau Pinang, misalnya, kebanyakan pelancong datang disebabkan kepelbagaian serta keenakan makanannya. Tarikan itu akan lenyap jika tidak dipandang serius oleh kerajaan,” jelasnya.
Artikel Oleh : KOSMO
PM DIMINTA CAMPUR TANGAN
No comments:
Post a Comment