KUALA LUMPUR 1 Jun – Pengelola jemaah haji (PJH), MKM Ticketing Travels & Tours (MKM) menafikan dakwaan syarikat tersebut menipu beberapa jemaah Haji Furada atau haji orang kenamaan (VIP) pada musim haji tahun lalu.
Pengurus haji MKM, Humaidi Mat Jahaya berkata, syarikat tersebut tidak melakukan sebarang penipuan malah memenuhi segala yang dijanjikan kepada semua jemaah yang mengambil pakej berharga RM70,000 dan RM90,000 berkenaan.
Sebaliknya beliau berkata, apa yang berlaku adalah berpunca daripada salah faham mengenai perkhidmatan yang ditawarkan yang mana kesemua khidmat tersebut telah diperjelaskan disahkan tiada unsur penipuan oleh pihak berwajib.
Tambah beliau, pihaknya juga telah bertemu dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk memberikan penjelasan serta mengemukakan bukti-bukti bagi membersihkan nama syarikat.
“Wakil MKM telah menjelaskan dan memberikan bukti-bukti untuk menyangkal dakwaan yang dibuat dan PPIM juga bersetuju bahawa apa yang berlaku berpunca daripada salah faham.
“Justeru, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan telah mencadangkan untuk diadakan satu pertemuan empat mata antara MKM dan pengadu yang mana PPIM akan bertindak sebagai pemudahcara bagi menyelesaikan isu yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menyentuh isu sama, Nadzim menerusi kenyataan memaklumkan, pertemuan berkenaan diadakan di ibu pejabat persatuan pada petang Rabu lalu.
Katanya, PPIM akan menganjurkan dan memudah cara satu pertemuan pada satu tarikh di minggu hadapan.
Beliau menjelaskan, pertikaian berkenaan sebenarnya berpunca daripada penggambaran dan penerimaan persepsi yang berbeza di kedua belah pihak.
“Saya menyarankan agar semua pihak bertenang sehingga pertemuan antara kedua belah pihak yang terlibat dan berharap tidak ada lagi pihak yang membuat dakwaan bahawa syarikat PJH melakukan sebarang penipuan dan memberi ruang kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Artikel Oleh : UTUSAN MALAYSIA
MKM BERSIH DARI PENIPUAN
No comments:
Post a Comment