Hanya kerana enggan memakai pakaian seragam berlengan panjang, seorang jururawat berdepan pelbagai tekanan sehingga pernah dimaki dan dicerca kata-kata kesat.
Lebih memburukkan keadaan, Naziah Sauni Samat, 24, kini ditamatkan perkhidmatan dengan alasan atas kehendak dirinya.
Wanita kelahiran Bintulu, Sarawak itu bekerja di sebuah hospital swasta di ibu kota sejak September lalu.
Jelasnya, ketika ditawarkan pekerjaan, dia tidak dimaklumkan bahawa pakaian seragam hospital itu adalah berlengan pendek.
"Bulan pertama saya bekerja memang tiada masalah namun masuk bulan kedua, pihak Sumber Manusia telah menyuruh saya memotong lengan pakaian seragam itu.
"Saya membuat keputusan untuk akur dengan kehendak majikannya dengan memotong lengan pakaian seragam saya tetapi memakai stokin lengan berwarna kulit.
"Namun saya turut diarahkan menanggalkan stokin lengan tersebut dan diberitahu jika tidak, saya tidak dibenarkan bekerja.
"Saya tidak menanggalkan stokin lengan itu dan majikan kemudian mengarahkan saya supaya tidak lagi datang bekerja selagi tidak mematuhi etika pemakaian hospital itu.
“Tidak lama selepas itu, saya diberitau bahawa saya telah diberhentikan kerja dengan alasan saya tidak hadir bertugas tanpa sebab," katanya pada sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini hari ini.
Naziah mengaku dia mengalami tekanan emosi dan akibat tertekan tekah membuat keputusan untuk tidak pergi kerja selama tiga hari.
Mengulas lanjut, Naziah kesal dengan alasan yang diberikan oleh pihak hospital yang mengaitkan baju lengan panjangnya berkemungkinan boleh menyebabkan jangkitan kuman dan merebak kepada pesakit walaupun larangan seumpama itu tidak dibuat di hospital kerajaan.
“Hospital kerajaan seperti Hospital Kuala Lumpur juga membenarkan jururawat mereka berlengan panjang.
“Kalau nak cakap mengenai mengawal jangkitan kuman, pakaian, topi dan tali leher pun boleh kena jangkitan. Saya kalau buat kerja akan lipat lengan baju,” katanya.
Dia telah mengadakan perbincangan PPIM untuk meluahkan masalahnya namun majikan telah membuat laporan polis ke atas dirinya pada 16 November lalu.
Dalam laporan itu, wakil hospital menyatakan bahawa kakitangan Islam hospital itu harus berpakaian seragam seluar panjang, kemeja pendek dan anak tudung dan ini tidak dibantah oleh mana-mana kementarian dari kerajaan sehingga hari ini.
Laporan itu turut berkata, ini adalah ‘standard dress code’ untuk setiap kakitangan hospital itu.
Naziah turut membuat laporan polis pada 24 November lalu. Jelasnya, dia kini berdepan kompaun RM5,000 dan Sijil Latihan Praktikal akan digantung selama setahun.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, perkara ini tidak harus berlaku.
“Di Malaysia, amalan beragama dibenarkan dan sesiapa pun boleh mengamalkan kepercayaan mereka. Kita rasa terpanggil untuk mengutarakan perkara ini.
"Pihak kami menggesa Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kemajuan Islam mengambil tindakan sewajarnya.
No comments:
Post a Comment