Sunday, September 27, 2015

2857) KES AH LONG: #PPIM JADI SANDARAN MASYARAKAT KERANA PIHAK BERKUASA GAGAL

Ketika menjadi ahli panel sempena laporan Terkini Ekonomi Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Kuala Lumpur, Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wahid Omar menarik perhatian betapa perlunya kerajaan mengutamakan sistem persekolahan satu aliran.


Awang angkat topi kepada Wahid. Beliau menegaskan hal tersebut ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tony Fernandes yang bertanyakan pada sesi itu tentang prospek Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik banyak isu perkauman yang dibangkitkan kebelakangan ini.

Dalam hujahnya, Wahid menyatakan keharmonian kaum di negara ini perlu bermula seawal sekolah rendah lagi, selain sekolah satu aliran mampu menjamin pertumbuhan ekonomi melalui perpaduan kaum yang lebih kukuh dan meyakinkan.

Pandangan itu mendapat reaksi positif banyak pihak termasuk Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong. Beliau menyatakan masih belum terlewat untuk kerajaan "campur tangan" melalui sekolah satu aliran menggunakan Bahasa Kebangsaan bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khususnya dalam kalangan generasi muda.



"Biarlah orang kata, sesat di tengah jalan tapi pulang ke pangkal jalan,'' kata beliau sambil menekankan perlunya ia dilaksanakan segera. Awang sangat setuju, pelbagai aliran terutama berasaskan bahasa ibunda sebagaimana yang ada sekarang ini menjadi duri dalam daging bagi membina sebuah bangsa Malaysia yang lebih tinggi nilai perpaduan dan jati diri.

Sudah terlalu banyak diperkatakan tentang kelebihan negara-negara lain serata dunia termasuk negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand yang mengamalkan sistem satu sekolah sedangkan Malaysia masih jauh terkebelakang. Padahal, tidak merosot apalagi hilang kecinaan kaum Cina di ketiga-tiga negara itu biarpun melaksanakan sistem pendidikan tunggal. Di Indonesia, kaum Cina berbangga dengan sekolah satu satu aliran.

Bahkan rasa bermaruah dapat menguasai dengan baik dan mengamalkan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Memandangkan sentimen perkauman makin menjadi ancaman bagai bom jangka menanti ledakan, kerajaan perlu memulakan sesuatu yang konkrit ke arah menggerakkan pelaksanaan sekolah satu aliran. Ini memerlukan kemahuan politik sebagaimana dirintis oleh mendiang Lee Kuan Yew dalam mengurus masyarakat majmuk di Singapura, yang kini terbukti berhasil.

DAP di Malaysia sepatutnya mencontohi kematangan dan keterbukaan PAP yang memerintah Singapura, kerana kedua-dua parti itu pernah berkongsi sejarah suatu ketika dahulu. Hari ini, DAP masih mengekalkan reputasinya sebagai parti rasis dan cauvinis. Dalam kaitan ini, Awang percaya kerajaan Malaysia sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, yang berani mengambil risiko melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), berkemampuan untuk melakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara.

Akuilah hakikat bahawa sekolah pelbagai aliran adalah polisi yang tidak lagi relevan dan menjadi legasi malapetaka buat generasi muda dan akan datang. Biar apa pun cabaran, penentangan dan serumit mana isunya, jalan keluar perlu dicari bagi memulakan sekolah satu aliran. Kuan Yew juga menghadapi bantahan pelbagai pihak ketika mahu melaksanakan sekolah satu aliran tetapi beliau tidak berganjak kerana yakin itu yang terbaik buat Singapura.

Hari ini, rakyat Singapura termasuk golongan muda menghargai dan berterima kasih atas polisi tersebut. Kepada semua, berlapang dada dan utamakan negara berbanding kepentingan kaum yang sempit. Janganlah ghairah mahu meminta lebih dan secara keterlaluan sehingga terlupa untuk adakalanya perlu memberi kepada negara. Seperti kata Prof. Teo, sampai bila mahu sesat.

Awang seperti biasa selalu ingatkan kepada ungkapan di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Jangan biar buruh asing yang mencari rezeki di sini, lebih menghayati peribahasa itu berbanding kita yang mengaku warganegara.

Awang tidak teruja dengan pembentukan pakatan pembangkang baharu yang diberi nama Pakatan Harapan. Bezanya tiada istilah rakyat pada nama, tanpa penyertaan Pas dan DAP lebih berkuasa. Yang menjadi tanda tanya ialah keputusan mengekalkan Anwar Ibrahim yang kini dipenjara buat kali kedua atas kesalahan meliwat oleh mahkamah, sebagai Perdana Menteri jika pakatan itu menguasai pilihan raya umum akan datang. Maklum balas termasuk dalam laman sosial yang diterima sangat hambar.

Ternyata Anwar telah menjadi liabiliti besar. Aneh, pakatan tersebut tiada keyakinan untuk mengangkat pemimpin baharu. Pemilihan Anwar dilihat tidak realistik. Majoriti rakyat Malaysia masih menjunjung moral dan akhlak. Sudah banyak kali isyarat diberi tetapi tidak juga faham. DAP agaknya memang mahu pemimpin yang menghadapi isu moral jadi Perdana Menteri untuk kepentingan mereka. Apa peluang dan harapannya? Dengan kecacatan besar kerana ketiadaan Pas dan terus diterajui Anwar, pakatan tersebut awal-awal lagi mahu membunuh sisa-sisa harapan yang ada.

Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Hilmi Yahaya baru-baru ini membuatkan Awang geleng kepala. Malaysia mempunyai penduduk paling gemuk tertinggi di Asia Tenggara diikuti Thailand dan Singapura. Berdasarkan kajian, 44.5 peratus (13.8 juta) rakyat Malaysia mengalami masalah kegemukan, meningkat 14 peratus berbanding 2006 selain mengatasi kadar kegemukan global iaitu 30 peratus.

Sebanyak 73 peratus kematian di hospital kerajaan pula disebabkan penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada obesiti. Makan banyak termasuk lewat malam sehingga awal pagi menjadi antara punca, selain diet tidak seimbang dan kurang senaman. Semua itu mengganggu fikiran Awang - menakutkan. Tabiat makan berlebihan adalah masalah serius di Malaysia. Jangan lupa, rakyat yang sihat dan cergas adalah salah satu komponen dalam konsep pertahanan menyeluruh sesebuah negara. Persoalannya apakah kajian tersebut sekadar untuk kita perkatakan tanpa tindakan?

Tidak perlu rasanya untuk semua perkara menunggu kempen kerajaan. Mengawal dan mengurangkan berat badan serta atasi perut boroi adalah tanggungjawab sendiri. Nafsu makan boleh dikawal di minda. Marilah cabar diri kita sendiri umpama menyertai program biggest loser. Lakukannya dengan cekal tanpa rasa tertekan, pasti akan ada perubahan. Seperkara lagi, elak atau kurangkan minum dan makan yang manis. Seperti yang menjadi pegangan Profesor Diraja Ungku Aziz, gula itu racun. Mulakanlah.

Awang tidak tahu kenapa sampai hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menyiasat isu pemindahan aset kerajaan negeri sebanyak RM30 bilion kepada Darul Ihsan Investment Group (DEIG) di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Di sebalik isu itu panas, menggegar serta melibatkan kepentingan awam, SPRM belum bertindak. Dana RM30 bilion bukan kecil malah boleh dianggap pecah rekod. Dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam pemindahan aset itu seperti yang dilaporkan menuntut siasatan segera yang menyeluruh. Hal ini dibangkitkan kerana ada tanggapan SPRM kurang berani menyiasat pemimpin pembangkang berbanding pemimpin kerajaan, yang Awang harap tidak benar.

Salah satu yang menjadi perbandingan adalah Khir Toyo yang mudah didakwa ketika dalam jawatan Menteri Besar. Itulah persepsi ramai. Dalam isu DEIG, Awang percaya Azmin tidak gentar disiasat berdasarkan penafiannya sebelum ini. Pada masa yang sama, banyak tanda tanya belum terjawab, yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa tunggu lagi...

Ketika pihak berkuasa masih gagal menangani ancaman isu ceti haram atau ah long, Persatuan Pengguna Islam (PPIM) nampaknya menjadi sandaran masyarakat pelbagai kaum.

Awang dapat tahu begitu banyak kes penipuan, penyelewengan, ugutan malah keganasan ah long dirujuk kepada PPIM di bawah Ketua Aktivisnya, Nadzim Johan. Yang menarik, hampir kesemua kes telah dapat diselesaikan. Walaupun berdepan dengan ancaman keselamatan, kompleksiti kes dan pelbagai kekangan, Nadzim dan seluruh aktivis PPIM tidak pernah mengalah. Hanya mangsa-mangsa ah long dan keluarga mereka yang telah dibantu serta diselamatkan, lebih mengerti betapa bernilainya sumbangan PPIM.

Realitinya di Malaysia hari ini, ramai yang menderita kerana terjebak dengan pinjaman ah long yang akhirnya membawa kepada manipulasi yang dahsyat. Kisah PPIM dalam membantu mangsa ah long sudah jadi bahan mulut dan Awang sendiri banyak menerima maklum balas positif. Itu belum menyentuh peranan PPIM dalam isu-isu kepenggunaan lain termasuklah pelbagai kes penipuan, memantau produk halal dan memerangi judi haram. Awang angkat topi kepada Nadzim dan seluruh aktivisnya atas komitmen mereka. Teruskan perjuangan.

Negara besar China sudah tentu tidak suka mana-mana pihak mencampuri urusan domestik negara itu dan selama ini Malaysia cukup menghormati pendirian tersebut. Campur tangan asing dianggap pantang besar dan hal yang sangat sensitif.

Bagaimanapun tindakan Duta China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang melawat Petaling Street dan turut mengeluarkan kenyataan berkaitan isu demonstrasi, ternyata bercanggah dengan dasar negaranya.

Malulah, anda seorang diplomat yang sepatutnya tahu batas di samping menterjemahkan polisi negara sendiri dengan tingkah laku. Awang suka ingatkan China juga berdepan banyak masalah dalam negara, yang diplomat asing termasuk Malaysia juga boleh menyibuk untuk mengulas apa sahaja.

Dr. Huang seharusnya beri keyakinan kepada pihak berkuasa negara ini menangani isu ancaman demonstrasi haram di Petaling Street, yang tidak pun berlaku. Alangkah baiknya jika duta itu beri lebih tumpuan kepada isu lambakan warga China dalam industri pelacuran dan urut di negara ini ketika kerajaan China lebih tegas menentang gejala itu di tanah air mereka.

Apa pun, Dr. Huang perlu memohon maaf atau pulang sahaja ke negaranya dan digantikan dengan diplomat lain yang lebih tahu adab. Harap-harap itu pelanggaran yang pertama dan terakhir daripada seorang diplomat China. Jagalah tepi kain sendiri dan janganlah lebih sudu daripada kuah.- UTUSAN

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL