Thursday, January 9, 2014

1096) BERNAMA 9/1/2014 Penantian Penuh Makna-akta Baharu Undang-undang Kebankrapan





Artikel pertama daripada dua siri ini akan menyingkap keperluan akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967, berikutan diperkatakan akta sedia ada terlalu ketat dan sudah tidak relevan lagi.



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Setiap percaturan kewangan diteliti sebaik-baiknya supaya tidak terbeban dengan lambakan hutang di masa depan, itu prinsip Mohd Samran (bukan nama sebenar).

Biarpun memegang jawatan penting di sebuah syarikat, beliau tidak terpengaruh untuk berbelanja di luar kemampuan malahan kehidupannya masih dengan penampilan biasa.

Akan tetapi, segala langkah perbelanjaan berhemah dan pengurusan kewangan sistematik yang diamalkannya selama ini seperti tidak membawa apa-apa erti apabila beliau diisytiharkan muflis enam tahun lepas.

Semuanya, gara-gara menjadi penjamin kereta kepada isteri anak saudaranya.

Malang tidak berbau, dan nasib Mohd Samran yang menjadi mangsa keadaan ini turut dialami Fakhrul (bukan nama sebenar) namun berbeza coraknya kerana membabitkan penipuan perniagaan.

Kedua-duanya masih muda, tetapi telah dibelenggu status bankrap akibat ditipu rakan kongsi. Agak menyedihkan kerana ia bukanlah kesalahan mereka, akan tetapi terpaksa menanggung penderitaan hanya kerana tersilap melabuhkan 'kepercayaan'.

SUSU DIBALAS DENGAN AIR TUBA

Apa yang berlaku kepada Mohd Samran dan Fakhrul, merupakan antara secebis kisah masyarakat yang terjerat dengan masalah penipuan dan atas dasar ikhlas membantu akhirnya menjurus mereka kepada dunia 'kebankrapan'.

Ini kerana, kegagalan pihak peminjam melunaskan hutang mereka menyebabkan penjamin sosial menjadi mangsa.

Mungkin ada yang mempertikaikan mengapakah tidak berfikir dahulu sebelum rela hati menjadi penjamin, namun ada ketikanya situasi dan ikatan terjalin menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan.

Biar apapun polemik diperkatakan, isu penjamin sosial bagi apa-apa pinjaman selain daripada pinjaman komersil harus dipandang serius.

Penjamin sosial berada di tangga kelima terbanyak dalam senarai mereka yang diisythirkan muflis mewakili 5,781 daripada 116,488 individu muflis berdasarkan pada rekod tahun 2007 sehingga September 2013.

Senario ini membimbangkan kerana individu-individu ini telah gelap masa hadapan mereka gara-gara menanggung beban hutang orang lain dan isu ini telah menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

MENERIMA PERHATIAN NAJIB

Najib selaku Presiden Umno ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 telah berkata bahawa kerajaan akan membuat peraturan baharu kerana undang-undang kebankrapan sedia ada dilihat terlalu ketat.

"Tapi bukan semua kerana ada yang berhutang berjuta-juta. Yang mana boleh dan munasabah, kita akan bantu.

"Kalau diisytihar bankrap, kadang-kadang ia bukan salah kita, kita jadi penjamin sahaja. Kasihan, tak semena-mena kena," kata Najib dipetik dalam satu laporan berita.

Antara punca lain kes kebankrapan adalah berhubung sewa beli kenderaan 26.14 peratus, pinjaman perumahan (17.62 peratus), pinjaman peribadi (15.50 peratus) dan pinjaman perniagaan (12.39 peratus).

STIGMA

Sememangnya, bukan mudah menjalani kehidupan sebagai seorang bankrap. Selain stigma masyarakat memandang serong golongan ini, mengikut undang-undang mereka akan berhadapan hilang kelayakan dan sekatan dalam pelbagai perkara.

"Seseorang individu muflis itu akan terus hilang hak melakukan sesuatu. Contohnya, tidak boleh menjadi anggota Parlimen.

"Sekatan pula merujuk kepada seseorang muflis disekat berbuat sesuatu kecuali dengan kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi. Contoh, hendak ke luar negara," kata Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia, Lim Kui Lee kepada Bernama.

Menjelaskannya dengan merujuk kepada laman sesawang Jabatan Insolvensi Malaysia, semua harta milik muflis akan diletakkan hak di bawah Ketua Pengarah Insolvensi berlandaskan kepada Seksyen 24(4) Akta Kebankrapan 1967.

Manakala, semua akaun simpanan akan ditutup, segala transaksi akan disekat bagaimanapun mereka boleh membuka akaun baharu atau mengaktifkan akaun sedia ada bagi tujuan seperti kemasukan wang gaji dengan syarat mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi.

Mereka juga tidak dibenarkan bekerja di syarikat milik pasangan, anak atau saudara-mara, menjalankan perniagaan pemilikan tunggal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah.

KEPERLUAN AKTA BAHARU

Melihat antara implikasi yang ditanggung oleh si muflis, adalah sangat tidak adil apabila kebebasan hidup golongan teraniaya, tertipu, diragut akibat menjadi mangsa keadaan.

Atas sebab itu, Sekretariat Bebas Muflis ditubuhkan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertujuan membantu golongan muflis khususnya mereka yang teraniaya akibat menjadi penjamin sosial, masalah teknikal dan tertipu.

Pengerusi sekretariat berkenaan, Datuk Sohaimi Shahadan berkata terdapat kewajaran untuk mengkaji balik Akta Kebankrapan 1967 dengan menggantikannya dengan akta baharu kerana dilihat akta lama sudah tidak relevan lagi pada masa kini.

Selain masalah penjamin sosial, juga wujud kes penipuan seperti tandatangan ditiru atau kecurian kad pengenalan yang akhirnya mengakibatkan seseorang itu muflis.

Justeru, sekretariat telah mengemukakan beberapa cadangan yang telah dipanjangkan kepada pihak kerajaan dalam penambahbaikan akta itu.

Ini termasuklah menghapuskan sistem penjamin dalam semua jenis pinjaman dan bagi penjamin sedia ada patut dibenarkan menarik diri atas sebab tertentu dan ini perlu dimasukkan dalam syarat penjamin.

PELEPASAN AUTOMATIK

Kerajaan kini dalam proses mengkaji semula dan menggubal akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 yang turut tertumpu kepada peruntukan memudahkan individu yang diisythar muflis mendapat pelepasan kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dipetik berkata draf rang undang-undang kebankrapan itu telah dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Peguam Negara.

"Akta Kebankrapan 1967 sudah terlalu lama dan akan digantikan dengan akta baharu yang antara kandungannya meliputi pelepasan secara automatik.

"Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang dicadangkan adalah pelepasan secara automatik selepas kes ditadbir dalam satu tempoh masa tertentu," katanya.

Berdasarkan akta sedia ada, terdapat tiga cara bagi seseorang muflis itu keluar daripada status bankrap iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi dan pembatalan melalui perintah mahkamah.

"Kita minta mereka yang bayar dengan konsisten kepada jabatan setiap bulan dan memenuhi kriteria ditetapkan, dilepaskan secara automatik selepas tiga tahun. Ini membantu belia muflis termasuklah usahawan muda mendapatkan peluang kedua," kata Sohaimi.

Akta sedia ada terlalu ketat kerana hutang sebanyak RM30,000 sudah diisytihar muflis dan disebabkan itulah sekretariat juga mencadangkan hutang itu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM100,000, jelasnya.


1 comment:

Datuknaga2012 said...

Kerajaan Malaysia pengurusan tidak sempurna, terlalu memberi kuasa kpd bank. bank ialah punca utama menyebabkan seseorang dijatukan bankruptcy. Bank di Malaysia boleh charge anda dengan bunga yg tinggi dan sesuka hati kalau masa anda tidak keupayaan membayar insuran bulanan. Ia tidak adil dan mangsa tidak dapat bantal dengan charge sehingga anda muflis. Malaysia kita tidak ada department yang boleh membantu anda pada masa tersebut.

Apa kebaikan Malaysia? Ia hanya menyebabkan bankruptcy meningkat saja tahun ke tahun. Ia juga akan menyebabkan lagi perkembangan economic Malaysia masa depan. Tambahan pula bankruptcy laws di Malaysia akan menghukum seseorang muflis sampai boleh memusnahkan hidup seseorang. Kita sangat jelas, ini kebanyakan disebabkan oleh kuasa bank yg keterlaluan.

Bankruptcy laws di Malaysia memang boleh menyebabkan seseorang muflis melambatkan muflis untuk hidup semula. Di dalam undang-undang bankruptcy Malaysia ada banyak syarat yang menyikat muflis untuk perkembangan semula seseorang muflis, seperti: Tidak boleh berniaga sendiri, tidak boleh terima wang lebih RM500 dari lain orang(Dikehendaki melapor kpd JIM), tidak boleh keluar luar negara berkerja (Pastport disekat), tidak dapat memegang jawatan tinggi di syarikat dan lain-lain. Ini semua memang akan menyekat seseorang muflis menjadi wang untuk perlepasan.

Harap kerajaan kita sedar dan tidak membunuh masa depan seseorang muflis di Malaysia ini dan tidak membunuh sesama sendiri. Bankruptcy yg meningkat masa sekarang boleh menyelesaikan jika Malaysia

Bankruptcy Laws untuk menjatuhkan seseorang menjadi bankrupt hutangnya kalau melebihi RM150,000 keatas. Harap juga yg telah dilaporkan bankrupt pada masa sekarang akan dilepaskan secepat mungkin jika hutang tidak melebihi RM150,000. Inilah yang sempurna.

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL