Monday, January 20, 2014

1121) BERITA MINGGUAN 19/1/2014 KESELAMATAN PENGHUNI TERABAI




Headline: Keselamatan penghuni terabai
Publication: BM
Date of publication: Jan 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias; Sarah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kebanyakan flet, rumah pangsa dan pangsapuri kos sederhana di negara ini disifatkan sebagai perangkap maut kerana aspek keselamatan bangunan dan penghuninya terabai.

Kemudahan disediakan juga dalam keadaan daif tanpa penyelenggaraan menyebabkan mutu hidup penghuni bangunan tinggi terjejas.

Malah, hampir semua bangunan itu juga tidak memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) yang mendedahkan penghuninya kepada bahaya kebakaran.

Tinjauan BH di rumah pangsa Kerinchi, Kampung Baru, Pantai Baru dan Bandar Baru Sentul di sini, mendapati ada antara struktur bangunannya sudah retak, tangga besi berkarat dan berlubang, lif tidak diselenggara, paras balkoni rendah dan laluan bomba sempit, peralatan bomba rosak, manakala tangganya tiada pemegang.

Tangki air utama bangunan juga sering bocor atau berkarat menyebabkan bekalan air untuk penduduk sering terputus dan kualiti air, meragukan.

Ada bangunan yang paip air najisnya bocor menembusi siling rumah, tangga kecemasan menjadi lokasi melonggok sampah, lampu koridor tidak berfungsi, tiada pili bomba jika berlaku kebakaran dan kawasan koridor menakung air ketika hujan serta menjadi pusat pembiakan nyamuk nyamuk aedes.

Isu keselamatan

Persoalannya, adakah penghuninya selamat jika berlaku kebakaran di aras tinggi?

Mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan 1984, bangunan ketinggian lebih 18 meter mesti mempunyai dinding pemetakan (compartment wall) di antara satu unit dengan unit lain bagi menghalang api merebak jika berlaku kebakaran.

Ia juga menetapkan, lebar tangga sepatutnya 1.1 meter, perlu ada sistem pemadam api automatik, sistem pancur basah, sistem pemercik, sistem pengesan asap serta api, lif dan tangga kecemasan.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati hampir semua bangunan kediaman kos rendah di negara ini tidak mematuhi peraturan itu.

Keadaan ini amat berbeza di pangsapuri atau kondominium mewah yang dilengkapi semua ciri keselamatan serta kecemasan bomba dan memiliki FC.

Perlukan pembelaan

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata penghuni flet dan rumah pangsa memerlukan pembelaan.

Katanya, penduduk pangsapuri terpaksa melalui kehidupan seharian dengan penuh kebimbangan kerana kediaman mereka menghadapi pelbagai masalah berkaitan keselamatan, termasuk dari segi struktur bangunan mahupun kemudahannya.

"Rumah kos rendah ini ibarat perangkap maut. Sekiranya berlaku kebakaran, pangsapuri tidak mempunyai alat kecemasan bomba yang diselenggara secara berkala pasti akan menyukarkan kerja memadam api.

"Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu badan khas untuk memantau aspek keselamatan dan keperluan penghuni bangunan tinggi," katanya kepada BH.

Bomba akui risiko

Malah, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, mengakui flet dan pangsapuri kos rendah yang lama boleh menjadi perangkap maut jika tidak diselenggara dengan baik.

"Risikonya menjadi lebih besar jika tiada dinding pemetakan atau dilengkapi alat kecemasan bomba yang sepatutnya kerana struktur bangunan selamat didiami perlu mematuhi piawaian ditetapkan undang-undang seperti memiliki FC," katanya.

Bergadai nyawa guna `kotak maut'

Kuala Lumpur: "Setiap hari kami bergadai nyawa kerana tinggal di kediaman tinggi kerana semua peralatan dan kelengkapan keselamatan sudah tidak berfungsi," kata Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seksyen 8 Kota Damansara, Johari Nander.

Johari, 46, berkata penghuni di semua empat blok 18 tingkat PPR itu juga tertekan kerana hanya satu lif berfungsi.

Keluhan penduduk

Katanya, lif di PPR itu umpama `kotak maut' dengan lampunya tidak berfungsi, berhenti di setiap tingkat dan bergerak sepanjang masa walaupun tidak digunakan.

"Masalah besi penghadang tangga tidak diganti turut mengancam keselamatan penghuni terutama kanak-kanak dan warga tua jika terpaksa menggunakan tangga," katanya.

Tinjauan BH di PPR itu mendapati semua peralatan bomba rosak, termasuk hosnya tidak dapat digunakan kerana dijadikan tempat simpanan barang, manakala penyembur kering hilang.

Keluhan sama disuarakan penduduk di Blok B PPR itu, R Vigneswaran, 35, yang menceritakan kejadian menimpa seorang warga tua yang patah kaki selepas terjatuh ketika menggunakan tangga yang tiada pemegang pada 2009 dan kes kanak-kanak lelaki empat tahun maut terjatuh di balkoni berikutan besi penghadangnya reput.

Tangga kecemasan reput

Penghuni Blok B, Pangsapuri PKNS, Kampung Baru, Mohd Akmal Abu Bakar, 17, berkata keadaan tangga kecemasan yang reput tidak selamat digunakan jika berlaku kebakaran, namun tiada usaha membaik pulih diambil pemilik bangunan 17 tingkat itu.

"Pangsapuri ini sudah lebih 20 tahun dibina, tiada lif bomba, paras balkoni juga rendah dan dibimbangi penghuni boleh terjatuh jika tidak berhati-hati.

"Nyawa kami seperti di hujung tanduk," katanya.

Penghuni PPR Seri Sarawak di Jalan Ipoh, Ariffin Ramlee, 22, berkata lif di bangunan 16 tingkat itu sering rosak dan tidak diselenggara walaupun setiap unit rumah diwajibkan membayar RM94 sebulan untuk kos penyelenggaraan.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat membuat pemeriksaan berkala di semua flet dan rumah pangsa supaya kemudahan asas dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik dan tempat tinggal mereka tidak menjadi perangkap maut.

Kualiti lif undang padah

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Sumber Manusia, Mohtar Musri, berkata lapan kes kemalangan lif dilaporkan berlaku, tahun lalu, membabitkan dua kematian di pangsapuri kos rendah, selain 13 kemalangan lif dan satu kes maut di kilang pada 2012.

"Kebanyakan kes kemalangan lif membabitkan penghuni pangsapuri. Lif tidak berfungsi dengan baik dan rosak berikutan masalah penyelenggaraan selain kualiti lif rendah.

Kualiti lif rendah


"Situasi ini berbeza dengan kediaman mewah jenis kondominium, pangsapuri dan rumah bandar yang dilengkapi lif berkualiti dan diselenggara baik setiap bulan," katanya. Info Kemalangan lif 18 Julai 2013: Kanak-kanak 11 tahun maut dengan lehernya hampir putus selepas terperosok di celah lif yang rosak di tingkat 3 Blok 8, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. 17 Februari 2013: Isteri anggota TLDM maut selepas lif dinaikinya terhempas apabila kabelnya putus di tingkat lima di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. 8 April 2013: Warga Indonesia maut selepas tersangkut dalam lif, sebelum mayatnya ditemui di dalam lubang penyelenggaraan lif di Pangsapuri BJ Court, Bukit Jambul, Pulau Pinang. 7 November 2011: Pelayan restoran makanan Cina di Kota Kinabalu, maut apabila lehernya hampir putus akibat tersepit di pintu lif di restoran tempat dia bekerja. Kemalangan tangga * 13 Oktober 2013: Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut selepas terjatuh dari tangga tingkat dua rumahnya di Bukit Belimbing, Kajang. * 10 Mac 2013: Kanak-kanak perempuan empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima Perumahan Anggota Penjara Kluang, Johor. * 19 Disember 2006: Remaja 15 tahun maut selepas koma selama satu bulan selepas tergelincir ketika turun tangga rumahnya di Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri, Rawang. Kemalangan balkoni * 13 Oktober 2004: Kanak-kanak perempuan tiga tahun mati selepas terjatuh dari tingkat 14, Flat Pelangi Damansara, Kuala Lumpur. * 8 September 2004: Kanak-kanak enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat Flet Bijangga, Dungun, Kuala Terengganu. * 8 Ogos 2002: Kanak-kanak berumur tiga tahun mati selepas terjatuh dari balkoni di tingkat sembilan Pangsapuri Sri Panglima A, Bukit Saujana, Johor Baharu, Johor. * 9 Ogos 2001: Kanak-kanak tiga tahun maut selepas jatuh dari tingkat 18, Kinta Heights, Ipoh, Perak. Kemalangan tingkap * 22 Mei 2010: Bayi lelaki sembilan bulan maut terjatuh menerusi tingkap bilik tidur di tingkat tiga kuarters pendidikan di USJ 6, Subang Jaya. * Mei 2008: Kanak-kanak lelaki lima tahun cedera parah setelah terjatuh dari tingkap ruang tamu rumahnya di tingkat tujuh Pangsapuri Subang Suria, Subang Jaya. * April 2008: Kanak-kanak empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di Blok 5 Pangsapuri Subang Suria, Subang Jaya. * 10 Disember 2001: Anak bongsu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim maut selepas terjatuh menerusi tingkap bilik di tingkat 31, Kondominium Sri Bistari, Jalan Putra, Kuala Lumpur.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL