Keratan Mingguan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk
meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 adalah penghinaan kepada umat
Islam yang akhirnya boleh mengakibatkan gejala murtad berleluasa di negara ini.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, cadangan tersebut bukan sahaja
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah perbuatan itu seperti
menderhaka terhadap Sultan Selangor dan institusi raja di negara ini.
Menerusi pindaan itu katanya, gejala murtad boleh berlaku
secara terbuka kerana tindakan undang-undang tidak boleh diambil terhadap
kesalahan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan umat
Islam.
Jika pindaan berlaku sudah tentu
umat Islam akan marah dan bangkit secara terbuka untuk menentang habis-habisan
tindakan tiga wakil rakyat ini yang cuba bermain api dan mencetuskan
kemarahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan
Ali menyifatkan cadangan wakil rakyat DAP untuk membuat pindaan berkenaan
sebagai amat berbahaya kerana bakal mengundang implikasi terburuk kepada negara
sekali gus membawa perselisihan antara agama.
Hasan turut mempersoalkan asas pindaan itu sedangkan enakmen
berkenaan tidak terpesong daripada Perlembagaan Persekutuan dan mendapat
perkenan Raja-raja Melayu yang memayungi agama Islam selain disokong oleh
Majlis Fatwa Kebangsaan.
Tiga wakil rakyat itu mahu enakmen tersebut dipinda susulan
tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah
Bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di
premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya baru-baru ini.
Ismail berkata, tiga wakil rakyat ini tidak layak menetap di
Selangor kerana telah menderhaka kepada sultan yang bertitah melarang kalimah
Allah digunakan oleh bukan Islam sebagaimana diputuskan mahkamah.
Walaupun DAP dijangka tidak boleh
menang untuk cadangan diluluskan di dewan tetapi umat Islam jangan ambil mudah
kerana ini menunjukkan agenda sebenar DAP di negara ini," jelasnya.
Sementara itu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pindaan itu mengakibatkan umat
Islam hilang hak dan kuasa untuk memelihara kesucian agama Islam sebagaimana
dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan enakmen-enakmen negeri.
Sambil menyifatkan cadangan tersebut sebagai ancaman paling
besar kepada umat Islam, beliau berkata, penganut Islam perlu bersatu padu dan
bangkit menentang agenda DAP tersebut tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
Jika pindaan ini diluluskan maka
apa-apa sahaja perkara yang orang Islam hendak buat adalah tertakluk kepada
persetujuan bukan Islam, maknanya apa-apa sahaja membabitkan hal-ehwal Islam
seperti nikah kahwin, menyebarkan agama dan sebagainya, kita kena minta
kebenaran dan kelulusan mereka terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata, cadangan tersebut menunjukkan wajah sebenar
agenda DAP dan disebabkan itu umat Islam perlu berhenti berbalah sesama sendiri
demi masa depan umat di negara ini.
Tindakan tiga wakil rakyat ini
cukup biadab dan kita sepatutnya tidak berlembut dengan mereka untuk
mempertahankan hak-hak kita yang dijamin dalam undang-undang di tanah air kita
sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment