Thursday, January 9, 2014

1095) BERNAMA 9/1/2014 Kenapa Pilih Pasar Chow Kit Atau Pasar Borong






KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pasar Chow Kit dan sebuah pasar borong besar di Selayang merupakan antara destinasi pilihan pengguna di Lembah Klang untuk membeli barang keperluan dalam menangani tanggapan fenomena 'semua barang naik harga' ketika ini.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti ini membolehkan pengguna memilih dan membandingkan harga sesuatu barang dengan pasar raya atau 'kedai-kedai berhampiran' rumah mereka.

Sikap mengutamakan 'menang-menang' dan 'alah membeli menang memakai ini' membolehkan mereka menjadi pengguna yang bijak sekaligus tidaklah sewenang-wenangnya menyalahkan sesiapa atas kenaikan harga sesuatu barang keperluan itu.

Sebagai contoh, ada yang suka membeli bekalan dalam kuantiti kecil untuk kegunaan harian dengan harga murah di Pasar Chow Kit ataupun memilih untuk membeli dalam kuantiti banyak di pasar borong dengan harga yang jauh lebih murah.

Bayangkan di Pasar Chow Kit, pengguna boleh membeli barang kering seperti bawang, telur dan pelbagai jenis sayur dengan penjimatan RM1 hingga RM2 berbanding di pasar raya misalnya, kata seorang peniaga Mohd Isa Chik, 35.

Mohd Isa telah berniaga selama 14 tahun di pasar itu yang dianggap tempat 'membeli barang masak murah di KL' dan barang yang dijual pun segar.

Katanya rata-rata penduduk asal ibu kota tahu kenapa Pasar Chow Kit dianggap begitu dan boleh membuat perbandingan dengan tempat lain.

"Kami tidak pernah naikkan harga sewenang-wenangnya seperti di tempat lain. Semua barangan basah dan kering ada dijual di sini kecuali jika bekalan putus disebabkan hujan atau banjir.

"Bukan hendak berlagak, tetapi yang datang sini semua sudah kenal kami dan sanggup datang dari jauh untuk dapatkan barang keperluan mereka," katanya.

Meskipun terpaksa bersaing dengan 'penjual tepi jalan' di sekeliling mereka, beliau berkata peniaga berlesen di pasar itu mampu memperoleh untung kira-kira RM600-RM1,000 sehari kerana faktor 'murah dan segar' dan jual-beli pun boleh tawar-menawar.

Mohd Isa turut percaya pasar ini akan lebih dikenali dan dikunjungi apabila projek penambahbaikan membabitkan bangunan baharu siap sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

Katanya kelak, pengguna tidak akan berdepan dengan masalah parkir atau disaman penguatkuasa, malah akan disajikan dengan persekitaran meletak kereta dan suasana jual-beli yang lebih menarik dan selesa.

Sementara itu di sebuah pasar borong di Selayang, kebanyakan pengguna adalah peruncit, pengusaha restoran, katerer dan sebagainya yang berbelanja untuk perniagaan mereka.

Turut ditemui ialah orang ramai yang membeli dalam kuantiti banyak untuk tujuan keramaian seperti jamuan, kenduri dan majlis perkahwinan.

Rata-rata yang ditemui menyifatkan kenaikan harga barang tidak mampu dielak tetapi tidak semestinya pengguna akan terjejas teruk kerana pilihan untuk berjimat di tangan mereka.

Seorang peruncit yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Mat berkata bawang boleh dibeli seguni dengan harga RM10 sahaja dan boleh dijual murah kerana kuantiti yang banyak di pasar borong itu.

"Jika beli di sini, kita dapat berjimat selain boleh menentukan harga jualan yang berpatutan dan tidak membebankan pengguna di tempat saya," katanya yang berniaga kedai runcit di Selayang.

Seorang suri rumah Roziah Selamat, 53, berkata ayam proses segar dijual di pasar borong itu lebih murah iaitu antara RM6 hingga RM7 sekilogram berbanding hampir RM10 sekilogram di tempat lain.

"Di sini banyak pilihan seperti ayam tua, ayam kampung dan ayam bulat. Semuanya segar. Kadangkala ada barang basah dijual dengan 'harga ahli' selain ada hari jualan tertentu untuk ahli membolehkan lebih penjimatan," katanya.

Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata pengguna seharusnya bijak dalam menentukan perbelanjaan sendiri.

Terdapat banyak pilihan tempat yang menawarkan barang berkualiti pada harga yang jauh lebih murah seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan pusat jualan yang menawarkan barang pada harga borong.

Nadzim juga menggesa kerajaan supaya mengawal aktiviti penentuan harga oleh kartel-kartel yang semakin berleluasa, tambahan pula ketika ekonomi negara yang semakin tidak menentu.

"Kalau kita perhatikan, ada tindakan daripada kumpulan ini yang sengaja mempengaruhi kenaikan harga. Ekoran tindakan mereka ini, bukan sahaja imej kerajaan sebagai regulator terjejas, malahan rakyat akan menjadi tertekan dan marah akibat situasi ini," katanya kepada Bernama.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL