Thursday, January 9, 2014

1090) BERNAMA 8/1/2014 Wujudkan Dialog Bersama Rakyat, Perjelaskan Isu Semasa






KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kerajaan perlu mengadakan lebih banyak dialog atau forum bersama rakyat bagi memperjelaskan isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan peningkatan kos sara hidup, demikian menurut penganalisis politik.

Mutakhir ini, isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan termasuk minyak, gula dan tarif elektrik hangat diperkatakan berikutan usaha rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Langkah kerajaan itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk perhimpunan untuk membantah dan dengan itu ia perlu diperjelaskan segera.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata perkongsian maklumat dan pendapat antara kerajaan dan masyarakat penting kerana interaksi sedemikian dapat membantu memudahkan sesuatu dasar dilaksanakan.

Persoalannya, bagaimana kerajaan dapat menerangkan kewajaran pelaksanaan dasar-dasar ini?

Mengulas perkara itu, Sivamurugan berkata rakyat mesti diberi peluang untuk memahami intipati dan tujuan sesuatu dasar terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan.

Penjelasan dan penyebaran maklumat mengenai sesuatu dasar secara berkesan boleh mengelakkan kekeliruan atau meredakan kekhuatiran di kalangan masyarakat.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar enam peratus pada April 2015 itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 di mana rakyat perlu diperjelaskan mengenainya.

"Tahun 2013 kita beri tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), maka untuk tahun ini rakyat ingin melihat apa sahaja aku janji atau manifesto yang dibuat semasa PRU13 ditunaikan kepada rakyat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata komunikasi berkesan berhubung sesuatu isu boleh membantu rakyat memahami dengan lebih jelas akan kewajaran tindakan kerajaan, sekaligus menjadi benteng kepada rakyat daripada terpengaruh dengan dakyah pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk dalam air keruh.

Realitinya, pengurangan subsidi menyebabkan harga barangan berkenaan membayangkan harga pasaran semasa dan persekitaran ekonomi sebenar.

Bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Dis lepas mengumumkan 11 langkah termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Jan.

Kerajaan juga mengurangkan elaun keraian sebanyak lima hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) ke atas.

Sivamurugan berkata langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan sektor awam melalui 11 langkah itu membuktikan kerajaan memandang berat akan beban yang ditanggung rakyat.

"Bagaimanapun dalam tempoh jangka panjang kerajaan perlu mempertimbangkan pengurangan kos-kos yang bakal naik dan melakukan pengurusan teratur. Ini penting untuk masyarakat berasa lebih yakin dengan kerajaan," katanya.

Langkah kerajaan itu boleh dicontohi sektor swasta juga.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata meskipun pengguna terpaksa berdepan dengan situasi kenaikan harga barang dan perkhidmatan, mereka perlu melihatnya secara positif.

"Pengguna perlu mengubah persepsi mereka supaya tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. Ubahlah gaya hidup dan cara berbelanja, contohnya kalau individu itu merokok cubalah berhenti merokok.

"Selain itu, pengguna perlu bijak mengurus kewangan dan memikirkan bagaimana untuk menambah sumber pendapatan," katanya, yang tidak menafikan rakyat memang berasa tertekan dengan isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Bagi bekas Presiden Pergerakan Pemuda Malaysia Tan Pei Leong, masyarakat perlu bersedia menghadapi cabaran 2014 dengan tenang dan mengekalkan perpaduan antara kaum.

"Setiap keputusan itu pasti ada yang bersetuju dan tidak bersetuju. Namun, kita sebagai rakyat tiada gunanya terus merungut tanpa melakukan apa-apa yang memberi kebaikan pada diri sendiri," katanya.


Tan berkata sebagai masyarakat berilmu setiap individu perlu melengkapkan diri dengan kemahiran kendiri bagi menghadapi segala cabaran dan kos kehidupan yang terus meningkat.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL