Thursday, May 16, 2024

PPIM TAGIH TINDAKAN SUSULAN KKM MENGENAI VAKSIN ASTRAZENECA - MALAYSIA GAZETTE - 16/05/2024

 

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad diminta menjelaskan tindakan susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas Firma Farmaseutikal AstraZeneca (AZ) mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengakuan itu secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

“Sebelum beliau (Dr Dzulkefly) melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengan KKM sebagai anti vaksin dan tidak berilmu sebagainya, jawab dahulu apa tindakan keatas AZ? Adakah beliau bersedia berdepan tindakan undang-undang demi melindungi syarikat itu?” kata Nadzim.

Nadzim berkata demikian sebagai kenyataan balas kepada ucapan Dzulkefly pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan dan Sidang Kemuncak Imunisasi Kebangsaan 2024 di Putrajaya yang diadakan semalam.

Dzulkefly ketika itu menyeru rakyat Malaysia tidak terlepas daripada fenomena global penyebaran “maklumat salah” mengenai vaksin.

Beliau membangkitkan peningkatan ibu bapa yang menafikan vaksinasi untuk anak-anak mereka dan menimbulkan ancaman keseluruhan kepada kesihatan awam melalui kemunculan semula penyakit seperti polio dan difteria.

Nadzim mempertikaikan kenyataan Dzulkefly dan meminta beliau bertanggungjawab atas semua rakyat Malaysia yang mengalami kesan sampingan akibat vaksin AZ yang dipaksa ke atas mereka oleh KKM.

“Salah maklumat itu dari siapa? Dzulkefly sendiri masih tak berani bersuara isu vaksin oleh AstraZeneca, beliau tidak layak sebagai Menteri Kesihatan, seharusnya Dzulkefly letakkan jawatan! ” tegas Nadzim.

Nadzim berkata, Dzulkefly tidak menjalankan tugas sebagai Menteri Kesihatan yang baik kerana gagal melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman kesihatan termasuk kesan sampingan vaksin. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM TAGIH TINDAKAN SUSULAN KKM MENGENAI VAKSIN ASTRAZENECA

https://malaysiagazette.com/2024/05/16/ppim-tagih-tindakan-susulan-kkm-mengenai-vaksin-astrazeneca/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...