Thursday, May 16, 2024

KUMPULAN PENGGUNA GESA MENTERI KESIHATAN BERTANGGUNGJAWAB ISU VAKSIN - KENYATAAN MEDIA PPIM - 16/05/2024

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk menjelaskan apa tindakan susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas Firma Farmaseutikal AstraZeneca (AZ) mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin COVID-19 mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi berkata pengakuan itu secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

"Sebelum beliau (Dr Dzulkefly) melabelkan pihak yang tidak bersetuju dengan KKM sebagai anti vaksin dan tidak berilmu sebagainya, jawab dahulu apa tindakan keatas AZ? Adakah beliau bersedia berdepan tindakan undang-undang demi melindungi syarikat itu?" tegas Nadzim.

Nadzim berkata demikian sebagai kenyataan balas kepada ucapan Dzulkefly pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan dan Sidang Kemuncak Imunisasi Kebangsaan 2024 di Putrajaya semalam.

Dzulkefly menyeru rakyat Malaysia tidak terlepas daripada fenomena global penyebaran "maklumat salah" mengenai vaksin.

Dr Dzulkefly membangkitkan peningkatan ibu bapa yang menafikan vaksinasi untuk anak-anak mereka dan menimbulkan ancaman keseluruhan kepada kesihatan awam melalui kemunculan semula penyakit seperti polio dan difteria.

Nadzim mempertikaikan kenyataan Dzulkefly dan meminta beliau bertanggungjawab atas semua rakyat Malaysia yang mengalami kesan sampingan akibat vaksin AZ yang dipaksa keatas mereka oleh KKM.

"Salah maklumat itu dari siapa? Dzulkefly sendiri masih tak berani bersuara isu vaksin oleh AstraZeneca, beliau tidak layak sebagai Menteri Kesihatan, seharusnya Dzulkefly letakkan jawatan! " tegas Nadzim lagi.

Nadzim berkata Dzulkefly tidak menjalankan tugas sebagai Menteri Kesihatan yang baik kerana gagal melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman kesihatan termasuk kesan sampingan vaksin.

Aktivis pengguna itu berkata PPIM menerima banyak aduan daripada orang awam yang marah dan mahukan Dzulkefly untuk letak jawatan kerana buat kerja tak masuk akal.

"Sudahlah Dzulkefly, bertaubatlah," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...